Resepi yang selalu mendapat permintaan kebanyakkannya kek dan kuih muih. Kemudian barulah lauk-pauk, hidangan karbohidrat atau mungkin juga jenis-jenis dessert, coklat dan sebagainya. Jarang sekali sayur-sayuran mendapat permintaan. Minuman pun kurang. Tapi kali ini saya tetap ingin memaparkan resepi chapchai iaitu sejenis sayur campur yang popular dalam masakan cina namun kini hampir semua restoran masakan thai ada menyajikannya.


Chapchai dari restoran masakan thai mempunyai gabungan dari masakan cina dan thai. Sekarang ni pun memang banyak masakan thai mengandungi sos tiram. Jadi saya tak pasti chapchai tu bahasa cina atau thai. Yang saya tau, saya memang suka sayur-sayuran terutama sayur-sayuran yang manis rasanya seperti lobak merah, putik jagung, bunga kobis dan sebagainya.



Bahan-bahan untuk Resepi Chapchai atau Sayur Campur
2 ulas Bawang Putih
¼ bj Bawang Besar
2 cmt Sos Tiram
1 cmt Minyak Bijan
½ cmt Kicap Cair
1 cmt sos ikan.
1 cmt Garam
2 cmt Gula
1 cmb Tepung Jagung
500 ml Air Rebusan
1 cmb Minyak Masak
Sedikit isi ayam, atau daging, atau karangan laut sebagai perisa.
Pelbagai sayur-sayuran seperti lobak merah, kobis, putik jagung, kacang sepat, kacang buncis, cili merah, kalian, pak choy, bunga kobis, brokoli, lada benggala, tomato dan sebagainya.



Cara membuat Chapchai atau Sayur Campur.
  1. Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang putih dan bawang besar.
  2. Masukkan isi ayam, atau danging atau karangan laut jika suka.
  3. Percikkan sos ikan.
  4. Masukkan air rebusan dan sayur-sayuran yang memerlukan masa yang lama untuk masak. Tunggu mendidih.
  5. Perasakan dengan sos tiram, minyak bijan, kicap cair, garam dan gula.
  6. Masukkan sayur-sayuran yang lain.
  7. Bancuhkan tepung jagung dengan 100ml air biasa. Ketika chapchai mendidih, tuangkan air tepung  jagung sambil dikacau laju untuk memekatkan kuah.
  8. Bila chapchai mendidih semula, bolehlah tutup apinya dan hidangkan.



Tip Masakan Komersial.
  1. Di restoran masakan thai, mereka menggunakan apa sahaja sayuran yang biasanya mereka gunakan dalam masakan lain. Jadi chapchai mereka tidak tertakluk kepada sayur-sayuran tertentu. Paling banyak digunakan adalah, lobak merah, kobis, cili merah, kalian, bunga kobis, putik jagung dan mungkin juga tomato atau cendawan tiram.
  2. Chapchai menjadi popular dikalangan penggemar sayur-sayuran kerana rasa kemanisan sayur terserlah dalam kuahnya. Oleh itu, sebaiknya air rebusan sayur-sayuran digunakan.
  3. Warna memainkan peranan penting untuk chapchai yang menarik, Gunakan pelbagai gabungan warna sayur-sayuran seperti merah, hijau, putih dan sebagainya. Pelbagai warna ini menunjukkan perbezaan khasiat yang terkandungan dalam setiap sayur-sayuran dan semuanya baik untuk tubuh kita.
  4. Penggunaan isi ayam, daging dan sebagainya hanyalah sebagai penambah perisa semulajadi dalam masakan. Bahan perisa yang paling popular didalam chapchai adalah udang segar atau kering, ayam dan ikan bilis. Pilih salah satunya dan ia akan memberikan rasa chapchai yang berbeza. Dalam masakan thai mereka lebih suka memilih sos ikan kerana ia lebih murah dan menjimatkan. Hanya segelintir yang menambahkan ayam atau udang dalam chaichai.
  5. Apabila sos ikan direnjiskan atas minyak yang panas, bau yang harum semerbak akan terbebas. Bau ini akan membangkitkan selera dan menjadikan hidangan lebih enak, Kalau anda katakana bau belacan atau budu itu harum, maka harumlah yang akan anda ekspresikan.
  6. Hidangan ini sering menjadi kegemaran kepada vegetarian. Namun jika anda vegetarian sejati, tak perlulah menambahkan protin seperti ayam, daging udang, sos ikan, stok ayam dan sebagainya.
  7. Minyak bijan mempunyai rasa dan bau yang kuat. Oleh itu, sedikit sudah mencukupi untuk mendapatkan rasa masakan cina. Terlebih minyak bijan menyebabkan bau hangit terlalu kuat dan mengurangkan kualiti masakan.
  8. Saya suka menambahkan bahan yang bersifat seperti span yang menyerap kuah chapchai yang sedap ni. Biasanya yang mampu menyimpan kuah dengan banyakknya adalah seperti tauhu terutama tauhu pok, kobis panjang atau cendawan. 
  9. Sesuatu yang tak saya gemari apabila memasak hidangan ini adalah saya perlu menyediakan berbagai sayur-sayuran yang semuanya dalam kuantiti kecil. Satu pinggan besar chapchai saya hanya memerlukan mungkin setengah batang lobak merah sahaja. Jadi adalah tidak wajar untuk saya membeli setiap sayuran dalam kuantiti terlalu sedikit. Jadi saya hanya menghadkan beberapa jenis sayur-sayuran sahaja. Jika membuat dalam kuantiti yang banyak, saya akan masukkan segala sayur-sayuran yang saya suka.
  10. Memekatkan kuah menggunakan tepung jagung adalah cara yang paling mudah. Cubalah masukkan larutan tepung jagung sedikit demi sedikit sehingga anda berpuashati dengan kepekatannya. Elakkan dari kuah menjadi terlalu pekat.