Orang kata, tak sah sesebuah restoran tu tanpa roti canai tapi membuat roti canai tu nampak leceh dan kurang menyihatkan.  Adalah lebih baik digantikan dengan chapati yang lebih senang disediakan dan lebih berkhasiat. Saya baru selesai mengajar pelajar-pelajar saya cara membuat chapati. Macam biasa, ditempat kerja hanya menggunakan kaedah biasa tanpa sentuhan komersial. Kesian kat pelajar saya, terpaksa membuat chapati yang keras, tebal dan berminyak. Gelek nipis jadi keropok, gelek tebal jadi kayu. Nak gulung pun tak boleh. Nak buat macam mana. Prosedur kena ikut. Dalam peperiksaan tak ada yang dinamakan resepi komersial. Dibawah ini ada resepi chapati komersial yang pastinya sangat lembut, mudah dan menjimatkan. Memang jauh berbeza dengan resepi chapati  yang diajar kepada pelajar-pelajar saya. Betul tak pelajar semua? Betoooollll!!


Tak percaya? Ni ada komen dari seorang pembaca blog saya. Saya gembira, ada juga yang menyedari resepi-resepi saya dengan resepi-resepi lain yang banyak diinternet. Saya harap resepi-resepi ini terus tersebar dan semua orang dapat manfaat darinya. Bagaimanapun, ada juga yang cuba menyebarkan dengan mengubahsuai sedikit resepinya kemudian mengaku itu resepi dia sedangkan ayat-ayat yang digunakan sebijik dari blog saya. Sabar je la. Ada ke patut resepi donut gebu tradisional saya menggunakan 1 kg tepung dan 11g yis tapi diubahnya menjadi 500g tepung dan kuantiti yis dikekalkan. Nampak sangat dia tak tau kalau yis berlebihan, adunan akan menjadi masam, doh terlebih naik dan donutnya mempunyai rongga-rongga yang besar. Tu tak termasuk lagi kos yang dibazirkan. Berguru, biar dengan orang yang betul.


Bahan-bahan untuk Chapati Komersial
500g Tepung Atta
2 cmb Majerin
250g Air Panas
1 cmt Garam


Cara membuat Chapati Komersial
  1. Gampurkan tepung atta bersama garam.
  2. Masukkan majeri dan gaul ramas sehingga merata.
  3. Tuangkan air panas sedikit demi sedikit sambil digaul dengan senduk membentuk tekstur beradcrumb. Berhenti menambahkan air sekiranya tekstur breadcrumb tadi sudah boleh dikepal menjadi doh yang lembut. Jika terlebih air, boleh ditambah tepung atta lagi.
  4. Bila dah sejuk sikit, barulah boleh diuli. Jika panas sangat nanti melecur pulak tangan tu. Uli sehingga licin dan tidak melekat pada mangkuk.
  5. Bulat-bulatkan doh dengan saiz yang sama diantara 30g-50g.
  6. Leperkan menggunakan rolling pin menjadi bulat dengan ketebalan 1mm-2mm. Taburkan tepung atta sedikit untuk mengelakkan doh melekat pada peralatan.
  7. Panaskan kuali leper dengan api sederhana. Apabila cukup panas, gorengkan chapati tanpa minyak. Balik-balikkan supaya kedua-dua permukaan masak sekata.
  8. Setelah masak, angkat dan sapukan dengan sedikit majerin. Hidangkan panas-panas bersama kari atau sambal.


Tip Masakan Komersial.
  1. Resepi chapati sangat mudah sehinggakan saya rasa anda hampir tidak memerlukan resepi ini. Apa yang penting adalah teknik. Jika pelajar-pelajar saya baca entri ini, mesti mereka dapat tahu mana yang membezakan resepi ini dengan resepi yang mereka pelajari sebelum ini. Memang tak sangka, dengan sedikit perbezaan, hasil chapati menjadi jauh lebih lembut walaupun telah sejuk.
  2. Air panas yang digunakan tak semestinya air panas mendidih. Suhu diantara 70˚C-80˚C. Senang cerita, jika anda masak air atas api menggunakan periuk, sebaik sahaja anda nampak air dipinggir periuk sudah berdesir, ia sudah memadai.
  3. Saya memilih majerin kerana ia lebih murh dan sedap. Asalnya resepi menggunakan minyak sapi tetapi minyak sapi terlalu mahal dinegara kita. Jika mahu menggunakan minyak sapi, anda boleh gunakan minyak sapi timbang kilo. Anda juga boleh gunakan minyak masak tetapi kurang sedap. Kalau menggunakan shortening juga boleh cuma shortening tak mempunyai rasa yang kuat.
  4. Menggoreng capati mestilah menggelembung barulah ketara kejayaannya. Dengan teknik dan kaedah ini, anda sebenarnya tidak perlu membuat apa-apa untuk menjadikan ia menggelembung. Hanya goreng seperti biasa tetapi permulaan menggoreng, anda perlu balikkan capati lebih cepat. 5-10 saat sudah mencukupi. Masak permukaan sebelah lagi untuk 5-10 saat juga. Balikkan lagi sekali dan pada kali ini anda akan dapati ia menggelembung dengan sendirinya.
  5. Chapati sesuai dihidangkan dengan kari, dhal, sambal atau mana-mana kuah berempah dari masakan india. Saya cuma ada sambal sahaja pada waktu ini. Jika anda menjual chapati ini dengan harga RM1, adalah lebih baik anda menghidangkan bersama kuah daging atau ayam kisar. Kalau harga dibawah RM1 barulah berbaloi dihidangkan bersama kuah roti canai. Ingat pesan saya. Berniaga jangan tamak haloba.