Mungkin tak ramai yang mengenali Chakodi atau Chegodillu tetapi saya rasa ramai yang pernah merasainya cuma tak perasan akan namanya. Daripada namanya, kompom kuih masyarakat India. Dari ejaan, nama kuih ini adalah Chakodi tetapi dari sebutannya ditambah dengan loghat India yang pekat, bunyinya menjadi Chegodillu. (Pastikan bunyi lu dihujung tu diwakafkan) Heheheh!

40 Pelajar Uni Akan Diberi Biasiswa RM200,000 Tahun Ini. Klik Disini Untuk Mohon Sekarang Sebelum 30 April!

Daripada rupa dan rasanya, anda pasti akan memanggil kuih ini sebagai Maruku. Sebenarnya Chakodi jauh berbeza dari Maruku. Cara membuatnya juga mempunyai perbezaan yang nyata. Bagi orang yang berpenyakit seperti saya, saya tak boleh makan Maruku tetapi saya boleh makan Chakodi. Kenapa? Kerana Chakodi tidak mengandungi kacang dhal atau sebarang jenis kacang. Kalau ada yang menambahkan kacang, ia tidak digaulkan. Macam mana tu? Nanti saya terangkan dalam Tip Masakan Komersial dibawah. Sebelum tu, mari kita belek resepi dan cara membuatnya dahulu.


Bahan-bahan untuk Resepi Chakodi atau Chegodillu
1 cwn Air
1 cmt Garam
2 cmt Serbuk Cili
½ cmt Jintan Manis
1 cmb Minyak Masak
150g Tepung Beras
Minyak masak yang banyak untuk menggoreng
2 cmt Bijan Putih jika suka.


?yola-link-is-coming=trueRasanya kalau masuk 2017, boleh ke kita semua berhenti buat 6 perkara ni? (Klik Disini)

Cara membuat Chakodi atau Chegodillu
  1. Panaskan 1 cwn air dalam kuali.
  2. Masukkan garam, serbuk cili, jintan manis, bijan dan 1 cmb minyak masak. Tunggu mendidih.
  3. Masukkan tepung beras dan kacau rata. Pastikan seluruh tepung beras menyerap air tadi.
  4. Teruskan mengacau lebih kurang 1 minit sehingga seluruh air diserap menghasilkan doh yang tak melekat, lembut dan berkilat.
  5. Tutup api dan sejukkan sebentar.
  6. Apabila doh tak panas lagi dan boleh dipegang, uli doh menjadi licin.
  7. Ambil sedikit doh dan gentel menjadi selinder memanjang dengan diameter lebih kurang ½ cm kemudian cantumkan hujungnya menjadi cincin berdiameter lebih kurang 4 cm.
  8. Bentukkan cecincin sehingga habis semua doh.
  9. Panaskan minyak masak dengan api sederhana hingga suhu lebih kurang 170˚C kemudian goreng Chakodi yang telah dibentuk sehingga garing dan rangup.
  10. Angkat, tuskan minyaknya dan biarkan sejuk sebelum disimpan dalam balang kedap udara.



Tip Masakan Komersial
  1. Chakodi mungkin ada dijual bersama-sama berbagai-bagai jenis maruku yang banyak kita nampak dipasaran. Bagaimanapun sehingga kini, saya belum nampak lagi Chakodi yang dijual dalam bentuk tradisionalnya. Mungkin kerana bentuk cecincin sedikit leceh untuk dibuat. Mungkin juga saya belum berjalan cukup jauh hinggakan tak jumpa lagi Chakodi yang asli.
  2. Sila berhati-hati apabila anda mencampurkan tepung beras dengan air panas kerana kemungkinan besar ia akan membuak hingga melebihi kuali. Untuk keselamatan, gunakan kuali yang besar atau tutup api dahulu sebelum memasukkan tepung beras. Buka api semula jika perlu setelah tepung beras dimasukkan.
  3. Berbagai jenis rasa yang anda boleh gunakan untuk Chakodi sama seperti Maruku. Anda boleh menggunakan serbuk kunyit, serbuk kari, jemuju dan banyak lagi untuk mempelbagaikan rasanya. Seperti yang anda lihat, Maruku juga ada berbagai jenis rasa dan warna dan dibezakan dengan bentuk dan saiz maruku itu sendiri. 
  4. Bagi saya, Resepi Chakodi ini menghasilkan Chakodi yang tak terlalu keras dan sesuai dengan selera saya. Ada juga yang cuba menjadikan ia lebih rapuh seperti Maruku dengan menambahkan beberapa bahan tambahan dan yang paling popular adalah asafoetida atau hing. Jangan Tanya pasal bahan kimia dengan saya. Saya akan jawab, tak payah pakai bahan tambahan la atau dah cukup sedap dah tu!
  5. Ada juga yang menggunakan kacang urulundu untuk mempelbagaikan rasa dan menjadikan Chakodi lebih cantik. Kacang urulundu perlu direndam dahulu semalaman kemudian dituskan. Sewaktu anda menggentel doh menjadi selinder, sebelum dibentukkan menjadi cecincin, gentel dahulu diatas sedikit kacang urulundu. Ini akan menyebabkan kacang ini melekat di tepi selinder. Oleh itu, adalah lebih selamat jika anda menggunakan urulundu yang telah dibelah dua berbanding urulundu dalam bentuk sebiji-sebiji. Bagi saya cukup dengan bijan. Boleh terus masuh dalam doh sebab ia kecil.
  6. Chakodi yang dikeluarkan secara besar-besaran memang tak logik kalau nak gentel satu persatu. Jadi biasanya mereka akan menggunakan mesin penekan seperti maruku. Untuk Chakodi yang saya buat dalam gambar diatas, saya menggunakan hand press maruku tetapi plat lubang untuk maruku terlalu kecil. Ada juga yang besar tetapi berbentuk bintang pula. Oleh itu saya buat sendiri menggunakan tin dan tebuk lubang dengan saiz yang sesuai. Saya press sepanjang yang boleh kemudian barulah dililit dijari menjadi cincin. Dengan menggunakan ibu jari, gentel keluar dari jari untuk mencantumkan cincin. Sekejap je siap. 
  7. Usah takut untuk menindihkan chakodi yang belum digoreng. Tindihlah ia menjadi bukit, ia tak melekat sesama mereka kecuali ditekan kuat. Apabila digoreng, biarkan ia sebentar 10 – 15 saat dan jangan terus dikacau untuk memberi masa Chakodi menjadi keras sedikit. Kalau terus dikacau, mungkin bentuknya berubah, pecah dan sebagainya. Bila bentuknya dan stabil barulah dikacau untuk meleraikan Chakodi yang bertindih-tindih tadi.
  8. Seperti Maruku, Chakodi ni tahan lama dan sesuai di jadikan sebagai kuih raya. Bagaimanapun di India, Chakodi banyak dijual panas-panas di tepi jalan sebagai makanan jajaan seperti keropok lekor.