Jarang sekali cendawan tekukur dijual di pasar ditempat saya. Selama saya bermastautin disini, ini adalah kali kedua saya berpeluang membelinya. Cendawan tekukur membuatkan saya terkenang kembali zaman kanak-kanak dikampung. Setelah pokok getah disodok, batang getah akan disusun memanjang menjadi beberapa barisan dan dibiarkan mereput. Jadi bila tiba masa Felda menanam semula getah, seluruh ladang akan dipenuhi batang-batang getah yang mereput dan menjadi tempat kami memetik cendawan. Biasanya mak akan mengajak jiran-jiran berhampiran untuk sama-sama mencari cendawan tekukur terutamanya apabila hujan sehari sebelumnya.

Jom tengok video ni untuk tip ajaib meluruhkan hati orang yang tersayang, boleh menang Percutian Ke Club Med Maldives.
Memang leka mencari cendawan. Kanak-kanak seperti saya akan memanjat-manjat batang getah untuk mendapatkan cendawan yang besar-besar sahaja ditempat tinggi. Sedar tak sedar, hampir tengah hari kami dah sampai ke hujung ladang. Ada juga terserempak dengan pak belang tapi tiada perkara buruk berlaku. Dalam 2 atau 3 jam sahaja, setiap seorang membawa pulang satu plastik besar cendawan tekukur. Cendawan itu dijemur ditengah panas terik matahari selama 2 atau 3 hari hingga kering supaya boleh disimpan beberapa bulan. Sejak batang getah dikomersialkan menjadi perabot bermutu tinggi, tiada lagi kegiatan seperti ini dapat dilakukan.



Bahan-bahan untuk Resepi Cendawan Tekukur Goreng Tumis
300g Cendawan Tekukur Segar
3 bj Cili Api
½ bj Bawang Besar
1 ulas Bawang Putih
3 ekor Ikan Bilis
1 cmb Minyak Masak
Garam secukup rasa


Cara membuat Resepi Cendawan Tekukur Goreng Tumis
  1. Cendawan tekukur dibersihkan dengan cara merendam dalam air dan diperah beberapa kali.
  2. Bawang besar dihiris tebal dan kemudian ditumbuk bersama cili api, bawang putih dan ikan bilis tetapi jangan terlalu hancur.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan tumbuk sehingga keluar bau wangi.
  4. Masukkan cendawan tekukur yang telah diperah kering dan gaulkan.
  5. Jika anda rasa cendawan tekukur terlalu keras, tambahkan sedikit air dan masak sehingga mendapat kelembutan yang anda inginkan.
  6. Perasakan dengan garam dan hidangkan panas-panas bersama nasi.



Tip Masakan Komersial.
  1. Jika anda menggunakan cendawan tekukur kering, rendam dahulu cendawan selama 2 atau 3 jam sebelum digunakan. Cendawan tekukur kering, mempunyai bau yang lebih kuat jadi rendam dan perah beberapa kali lagi.
  2. Kadang-kadang apabila menggunakan cendawan tekukur kering, mak saya menumbuk sedikit cendawan yang telah direndam bersama bahan-bahan tumis untuk melembutkan sedikit seratnya. Saya kurang menggemari cara ini kerana rupa cendawan akan menjadi buruk namun adakalanya kita tiada pilihan apabila cendawan yang telah direndam masih terlalu keras dan kasar untuk dimakan. Oleh itu jika cendawan tekukur perlu ditumbuk, jangan tumbuk bersama bahan tumis kerana bahan tumis perlu ditumis dahulu untuk mengeluarkan aroma dan rasanya.
  3. Setiap kali membersihkan cendawan tekukur, pastikan anda buang bahagian akarnya dengan betul. Pastikan tiada habuk kayu reput melekat pada cendawan. Kayu reput kalau dimasak sangat buruk baunya lebih-lebih lagi kalau kayu getah. Kalau anda pernah menghidu bau sekerap, tentu anda dapat bayangkan bau sekerap goreng.
  4. Dulu memang saya penggemar makanan pedas. Begitu juga dengan keluarga saya. Kalau mak masak cendawan tekukur goreng tumis seperti ini habis sepokok cili api dibelakang rumah dipungutnya. Maklumlah,  pokok cili ada banyak. Cendawan tekukur goreng tumis dah jadi sambal tumis cili api cendawan tekukur.