Apa la resepi cekodok pisang pun nak selit kat blog resepi ni.  Banyak sebab yang menyebabkan saya ingin memaparkan resepi cekodok pisang ni. Saya tahu tak de orang pun yang nak cari resepi cekodok pisang kat internet. Saya tak kisah. Tak tergurispun hati saya ni. Dalam blog saya ni bukan sekadar resepi. Sesiapa yang hanya mengambil resepi sahaja, tanpa membaca tip-tip masakan, tip tip berniaga dan berbagai ilmu yang lain memang menyedihkan. Sedih kerana belum tentu resepi itu akan menjadi kerana biasanya saya akan gabungkan resepi dan tip-tip baru boleh menjadi dengan jayanya.

Autoreverse™ tu apa pulak? Ni la yang nak saya ceritakan. Saya cuba jelaskan sebaik mungkin apa tujuan Autoreverse™ tu. Saya harap entri kali ini tak terlalu panjang. Apa-apa hal pun mari kita belek resepi cekodok pisang Autoreverse™ dulu.

Bahan-bahan untuk Cekodok Pisang Autoreverse™
400g pisang (6 biji)
50g air
100g gula
1 cmt soda bikarbonat
1 cmt garam
200g tepung gandum
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam

Cara membuat Cekodok Pisang Autoreverse™
  1. Kisar pisang, gula dan garam bersama air. Saya gunakan hampir segala jenis pisang. Asalkan masak, sudah cukup. Lagi masam sesuatu pisang itu lagi bagus. Antara yang sering saya gunakan adalah pisang emas, berangan, cavendish, tanduk, nipah, awak, rastali dan sebagainya. Adjust kuantiti gula bergantung kepada pisang. Jika pisang yang memang dah manis, tak perlulah gula yang banyak. Pisang yang masam elok dilebihkan gulanya.
  2. Masukkan pisang yang telah halus kedalam mangkuk adunan. Tambah soda bikarbonat dan gaul sehingga berbuih.
  3. Akhir sekali, masukkan tepung dan gaul lagi hingga sebati. Rehatkan adunan sekejap 10 - 15 minit.
  4. Panaskan minyak masak dengan api sederhana. Gorengkan adunan bulat-bulat sebesar ibu jari.
  5. Biarkan ia Autoreverse™ beberapa kali sehingga masak lebih kurang 1 - 2 minit sebelum diangkat dan dihidangkan.

Tip Usahawan Komersial

  1. Tahukah anda, 90% daripada pembeli sesuatu produk, membeli mengikut emosi. Hanya 10% sahaja yang rasional ketika membuat pembelian. Atas dasar itu, setiap usahawan berusaha mempromosikan produk mereka dengan cara memainkan emosi bakal pelanggan mereka. Melalui promosi, mereka boleh membuat anda rasa gembira, sedih, takut dan segala macam perasaan lagi. Pengiklanan yang berterusan dan berulang-ulang sedikit demi sedikit akan meresap kedalam fikiran anda sehinggalah tanpa sedar, anda akan menjadi pelanggan mereka. Anda gembira diperlakukan begini?
  2. Saya sering dikunjungi penjual insurans yang mempromosikan produk mereka dengan kata-kata yang penuh ugutan. Begitu juga dengan mekanik kenderaan. “Kalau tak ambil polisi ini, nanti kalau apa-apa berlaku tak de sesiapa nak jaga anak-anak puan.” “Kalau puan kemalangan, cacat, macam mana puan nak bekerja? Apa puan nak makan?” “Brake pad ni dah habis kena tukar. Kalau tak tukar nanti brake tak makan, accident, mati!” “Kalau tukar brake pad, kena buat alignment. Kalau tak, kereta bergegar, melayang kiri kanan, accident masuk longkang.” Ada juga penjual peralatan keselamatan rumah yang datang dengan gambar-gambar yang menakutkan. “Setiap rumah mesti ada pemadam api, nanti kalau terbakar jadi macam orang dalam gambar ni.” Walaupun kata-katanya semuanya benar, adalah tidak beretika melakukan promosi dengan kaedah ini. Apa lagi kaedah yang mempermainkan emosi kanak-kanak sehingga dia menangis ingin mendapatkan sesuatu benda. Kalau orang seperti ini datang, saya akan cepat-cepat menjauhkan diri.
  3. Saya lebih menyukai promosi yang boleh membuat kita tersenyum, takjub, hairan, ketawa dan yang sewaktu dengannya. Pernah lihat iklan yang dengan tagline “Kejap ada kejap tak de” Ayat itu bukan sahaja menarik malah sangat comel bila diucapkan oleh seorang kanak-kanak. Tagline ini melekat dalam diri kita. Banyak contoh promosi yang saya suka tapi dalam keadaan sekarang, kepala otak saya buntu untuk memikirkannya. Harap anda boleh berikan contoh-contoh iklan yang anda suka dalam kotak komen dibawah.

  1. Begitu juga nama rangkaian produk Autoreverse™ yang saya sebut-sebutkan sejak entri yang lepas. Ini hanyalah percubaan saya untuk melihat reaksi pembaca dengan menggunakan nama produk yang unik. Eh! Panjang sangat pulak entri ni. Tak jadi la nak cerita apa benda Autoreverse™ tu. Anda tengok sendiri je la. Akhir kata, saya harap anda dapat sedikit pengajaran cara dan teknik yang baik untuk menjadikan produk anda suatu tarikan pelanggan. Jika ada keunikkan pada produk anda walau sekecil-kecil perkara, cuba perbesarkannya supaya pelanggan menoleh dengan sekali dengar sahaja. Itu lebih baik dari mengugut orang!