Sekali- sekala dapat makan cakoi banyak-banyak memang syok. Dari pagi membawa ke petang, tak habis-habis. Di tempat saya sekarang harga cakoi 5 batang RM2. Dapat la cakoi kurus dengan panjang tiga empat inci je. Lepas tu sosnya macam tak cukup sifat. Sekadar, jangan tak ada je. Nasib baik kuali kat rumah saya kecik. Kalau tidak, saya buat cakoi panjang-panjang, gemuk-gemuk macam zaman saya kecik-kecik dulu. Dengan sos cili mudah dan ringkas saya, rasa cakoi memang terangkat. Tak sia-sia saya belajar cara membuat cakoi dengan peniaga cakoi pasar malam ini yang berniaga sekitar Segamat, Tenang Stesen, Chaah, sampai ke Yong Peng.


Bahan-bahan untuk Resepi Cakoi Pasar Malam
1 kg Tepung Gandum
11 g Yis Segera Mauripan (1 pkt)
1 bj Telur
3 cmb Gula
3 cmt Garam
6 cmb Baking Powder
650 – 750 ml Air
½ cwn Minyak Masak
Minyak Masak yang banyak untuk menggoreng
Tepung gandum untuk ditabur


Cara membuat Cakoi Pasar Malam
  1. Campurkan yis segera dan baking powder bersama tepung gandum dan gaul rata.
  2. Kacaukan gula, garam dan telur kedalam air sehingga larut.
  3. Campurkan campuran tepung dan campuran air tadi sedikit demi sedikit dan kacau menggunakan senduk sehingga mendapat adunan yang sangat lembik.
  4. Masukkan pula minyak masak dan kacau sehingga adunan berkilat dan minyak tergaul sebati.
  5. Tutup adunan dan biarkan mengembang sekurang-kurangnya 4 jam.
  6. Setelah kembang, kacau sedikit lagi adunan untuk mengeluarkan udara dan biarkan mengembang setengah jam lagi sebelum boleh digunakan
  7. Taburkan tepung gandum diatas meja menebar. Ambil sedikit adunan, dan taburkan lagi tepung diatasnya supaya doh tidak melekat.
  8. Leperkan menggunakan penggelek menjadi bentuk memanjang setebal ½ -1 cm dengan lebar lebih kurang 10 cm.
  9. Potong adunan kepada beberapa bahagian selebar 2 – 3 cm.
  10. Gunakan lidi yang dibasahkan dengan air dan sapukan air pada adunan yang siap dipotong tadi. Satu garisan sudah mencukupi.
  11. Pasang-pasangkan adunan dengan menindihkan 2 doh. Garisan air tadi akan melekatkan dua adunan tadi. Tekan sedikit supaya ia melekat kuat.
  12. Panaskan minyak masak yang banyak dengan api sederhana.
  13. Ambil satu adunan yang telah dipasangkan, tarik supaya ia menjadi panjang 2 kali ganda. Gorengkan dalam minyak panas sehingga kekuningan.
  14. Angkat dan tuskan dengan meletakkan cakoi dalam keadaan berdiri. Sedia dihidangkan dengan sos cili.


Tip Masakan Komersial.
  1. Telur bertujuan untuk memberikan rasa kepada cakoi dan minyak masak pula untuk merangupkan permukaan luar.
  2. Sewaktu mencampurkan minyak kedalam adunan, kacaukan adunan dengan laju supaya gluten didalam tepung dapat bersimpul. Ini membolehkan adunan menjadi lebih kenyal dan boleh ditarik panjang sekaligus rongga cakoi lebih besar.
  3. Adunan boleh disimpan dalam peti ais sejuk beku. Hanya perlu masukkan dalam plastik yang kuat dan diikat kuat supaya ia tak mengembang lebih besar. Apabila hendak digunakan, hanya keluarkan dari peti ais dan biarkan mencair sepenuhnya tanpa ditutup supaya titisan air yang terbentuk tidak menjadikan adunan terlalu lembik.
  4. Jika adunan hendak dibawa ke pasar malam, adunan yang sudah kembang, tak perlu dikacau dahulu. Di lokasi barulah diambil sedikit adunan, kempiskan dengan menguli sedikit dengan tepung dan biarkan ia naik semula diatas meja tebar. Jika cuaca panas, tutup dengan kain lembab.
  5. Cakoi mengembang besar banyak bergantung kepada baking powder berbanding yis. Jadi ia mengembang sewaktu digoreng. Gunakan jangan goreng terlalu banyak sekaligus dan gunakan kuali besar dengan minyak yang banyak.
  6. Untuk cakoi dengan kulit luarnya yang lebih keras, kurangkan penggunaan air. Adunan yang lebih keras lebih mudah dikendalikan.
  7. Cuba juga memasukkan inti kedalam cakoi seperti kacang merah, sardin dan sebagainya. Sebaik-baiknya gunakan inti yang kering.
  8. Jika di China atau Jepun, mereka gemarkan cakoi yang manis berbanding pedas. Ada yang menyalut dengan gula dan kulit kayu manis seperti donut. Ada juga yang mencelup cakoi dengan coklat. Terpulang kepada anda untuk membuat kelainan.