Bila saya kenangkan teknik membuat cakar ayam ni, saya hanya terfikir, betapa kreatifnya orang dulu-dulu menghasilkan makanan. Sekarang ni, saya belum terfikir lagi makanan lain yang menggunakan teknik seperti cakar ayam ni. Memang unik. Jika anda ada terfikir hidangan lain menggunakan teknik yang sama seperti ini, sila beritahu saya dengan menggunakan kotak komen dibawah. Sesiapa yang menerima melalui email, klik tajuk resepi ini dahulu untuk ke blog saya. Baru ada kotak komen dibahagian bawah. Biasanya yang terdapat dipasaran adalah cakar ayam ubi kayu. Cakar ayam ubi keledek tidak sekeras cakar ayam ubi kayu. Saya pun lebih suka cakar ayam ubi keledek kerana kerangupannya tak de la sampai terpacak kat gusi!


Bahan-bahan untuk Resepi Cakar Ayam Ubi Keledek.
1kg Ubi Keledek
200g Gula Melaka
200g Air
1L Minyak Masak untuk menggoreng


Cara membuat Cakar Ayam Ubi Keledek.
  1. Gula melaka diracik sekecil mungkin. Masak air dan gula melaka sehingga semua gula larut. Biarkan ia sejuk.
  2. Ubi keledek juga diracik halus memanjang. Boleh menggunakan penyagat untuk saiz yang sekata tetapi pastikan dipotong memanjang melebih 5cm. Lebih panjang lebih baik.
  3. Panaskan minyak masak dengan api sederhana.
  4. Apabila minyak cukup panas (220˚C) gorengkan ubi keledek tadi. Jangan masukkan terlalu banyak.
  5. Gorengkan lebih kurang 1 minit untuk ubi keledek menjadi empuk sambil dikacau.
  6. Curahkan 2 cmb air gula melaka tadi rata-rata. Kacaukan dengan spatula supaya gula tadi betul-betul rata.
  7. Setelah gorengan menjadi kering dan tiada lagi bunyi desiran air gula mendidih, angkat ubi keledek goreng tadi dan tuskan minyaknya.
  8. Sewaktu gorengan ubi keledek masih panas, masukkan sedikit dalam acuan berbentuk silinder dan tekankan supaya permukaannya rata.
  9. Keluarkan dari acuan dan teruskan mencetak sehingga semua cakar ayam terbentuk. Sejukkan cakar ayam yang telah siap.
  10. Setelah itu, bolehlah menyambung semula menggoreng ubi keledek bermula dari langkah 4 sehingga semua ubi keledek habis.
  11. Simpan cakar ayam ubi keledek yang telah sejuk dalam bekas kedap udara sehingga waktu menghidang.


Tip Masakan Komersial.
  1. Ubi kayu mungkin lebih mudah diperolehi dan lebih murah dari ubi keledek. Mungkin itu sebabnya kebanyakan cakar ayam yang dijual dibuat dari ubi kayu. Kalau nak cari, memang susah nak jumpa. Jadi lebih baik buat sendiri.
  2. Saya hanya mempunyai slicer sahaja jadi saya gunakan slicer untuk memotong keledek menjadi kepingan nipis seperti kerepek. Kemudian saya susun kepingan tadi untuk dipotong memanjang pula menggunakan pisau. Jika anda menggunakan penyagat, gunakan penyagat yang mempunyai satu atau dua baris lubang sahaja. Jika penyagat mempunyai lubang yang banyak seperti pemarut, ia akan menyebabkan keledek yang dipotong menjadi pendek.
  3. Anda boleh menggunakan gula merah atau gula buku. Kalau terlalu gelap, boleh dicampurkan dengan sedikit gula pasir tetapi jangan terlalu banyak kerana gula pasir menjadikan cakar ayam terlalu keras. Tahap kemanisan bergantung kepada anda. Kalau nak manis lagi, tambahkan beberapa sudu lagi dalam gorengan. Kalau nak kurang manis, boleh cairkan air gula.
  4. Goreng ubi keledek sedikit demi sedikit sekadar keseluruhan ubi keledek boleh tenggelam dalam minya. Untuk 1 L minyak masak, segenggam ubi sudah mencukupi. Jika menggunakan minyak yang banyak pula dikhuatiri akan merugikan kerana minyak lebihan akan berubah warna dan menjadi pekat dan manis.
  5. Sebaiknya anda selongkar dahulu dapur anda untuk mencari peralatan yang sesuai dijadikan acuan cakar ayam. Saya hanya menggunakan cawan sukat sahaja dan ditekan menggunakan gelas. Kebetulan gelas saya memang muat-muat je dengan mulut cawan sukat dan tahan panas. Jangan ditekan terlalu kuat kerana cakar ayam akan menjadi padat dan keras. Cuma tekankan sedang-sedang sahaja supaya bentuknya tidak terburai.
  6. Saya menambahkan sedikit bijan putih untuk memberikan rasa yang lemak. Kebetulan dirumah saya masih terdapat sedikit bijan. Anda boleh menambahkan bijan selepas air gula dikacau rata dalam gorengan. Bijan ini akan melekat pada cakar ayam kerana kehadiran gula tadi. Anda juga boleh menggoreng bijan tanpa minyak dahulu sebelum ditaburkan pada cakar ayam yang belum dicetak. Terpulang kepada anda, cara mana yang lebih mudah.
  7. Dahulu ditempat saya ada seorang peniaga pasar malam yang menjual cakar ayam digerainya. Cakar ayam dia memang mendapat sambutan kerana ia digoreng segar digerainya. Menjual cakar ayam yang digoreng segar digerai pasar malam, saya rasa satu idea yang sangat baik. Cakar ayam yang tak habis dijual, boleh dibungkus dan dijual pada hari lain. Dengan ini, tiada pembaziran dan anda dapat memaksimumkan keuntungan.
  8. Saya sebenarnya ada beberapa idea untuk dicuba dengan cakar ayam ni tetapi tak cukup masa dan modal. Sesiapa yang rajin, boleh tolong saya cuba idea-idea ni. Pertama, menggunakan bahan lain yang biasa digunakan untuk membuat kerepak seperti pisang, sukun, keladi dan sebagainya. Kedua dengan menggunakan gula pelbagai warna untuk menyerikan cakar ayam.