Salad dalam Masakan Barat di klasifikasikan kepada dua kategori. Pertama, simple salad dan kedua, mixed salad. Simple salad tu tak payah cerita la. Hanya menggunakan satu jenis bahan sahaja sebelum dihidangkan bersama dressing yang sesuai. Caesar salad termasuk dalam mixed salad. Contoh-contoh lain adalah seperti  waldorf salad, yunani salad. Kaedahnya masih lagi sama. Yang membezakannya hanya bahan yang digunakan untuk digaulkan bersama dressing. Mari belajar caesar salad dulu kerana ia ada keunikkan tersendiri selain dari ia lebih popular berbanding salad yang lain.


Bahan-bahan untuk Resepi Caesar Salad
1 ulas Bawang Putih
2 kpg Roti Sandwich
2 bj Telur
¼ cwn Minyak Zaitun
1 cmb Jus Lemon
10 ekor Ikan Bilis
10 helai Lettuce
1 cmb Keju Parmesan diparut halus
Garam dan Lada Sulah


Cara membuat Caesar Salad
  1. Telur direbus sehingga keras sepenuhnya. Kupas kulit dan belah kepada empat.
  2. Untuk membuat kruton, potong roti sandwich menjadi dadu. Cincang bawang putih. Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih sehingga wangi. Masukkan roti dan goreng sehingga roti menjadi garing.
  3. Sediakan vinaigrette dengan mencampurkan minyak dan jus lemon. Perasakan dengan garam dan lada sulah jika perlu.
  4. Susunkan lettuce, telur rebus dan kruton didalam pinggan salad. Taburkan ikan bilis yang dibersihkan dan dipotong kecil. Keju juga ditabur.
  5. Akhir sekali renjiskan vinaigrette. Hidangkan sejuk.


Tip Masakan Komersial
  1. Anda boleh rujuk resepi vinaigrette untuk maklumat lanjut mengenai vinaigrette. Boleh gunakan mana-mana yang anda rasakan lebih sedap.
  2. Berbagai jenis lettuce yang terdapat dipasaran tetapi yang paling mudah didapati dan paling murah adalah iceberg lettuce atau saya lebih suka panggil dengan nama salad bulat. Ia mempunyai rasa yang sederhana rangup dengan warna hijau pucat.
  3. Lettuce perlu segar dan rangup sewaktu dihidangkan. Anda boleh cuci dan tuskan lettuce sebelum disimpan dalam bekas kedap udara didalam peti ais. Salad yang sudah disiapkan juga perlu ditutup dengan plastik dan disimpan dalam peti ais. Keluarkan hanya apabila hendak dihidangkan.
  4. Lettuce boleh dipotong kepada kepingan lebih kecil untuk memudahkan dimakan. Ramai yang gemar mengoyak daun berbanding memotong untuk mengelakkan daun patah dan seterusnya menjadi lebam. Untuk kuantiti yang banyak, sebaiknya gunakan pisau keluli taha karat yang tajam.
  5. Masyarakat barat menggunakan ikan billis didalam tin. Untuk negara kita, kita boleh menggunakan ikan bilis kering yang direndam terlebih dahulu supaya lebih lembut. Kalau susah sangat, goreng saja ikan bilis tu sampai rangup.
  6. Caesar salad boleh dihidangkan bersama dressing yang diletakkan berasingan. Kaedah menghidang bergantung kepada situasi.