Cemburu betul saya lihat gerai nasi lemak ayam goreng berempah di pasar-pasar malam yang pernah saya kunjungi, mesti dipenuhi pelanggan. Mereka semua sanggup beratur menunggu ayam siap digoreng. Saya tak rasa keistimewaan gerai ini terletak pada nasi lemaknya sahaja. Ayam goreng berempah juga sangat istimewa. Pertama, kerana rasanya yang sedap dan sangat sesuai dengan nasi lemak. Kedua, kerana ayam digoreng di gerai jualan dalam keadaan masih panas dan garing. Itula faktor yang menjadikan mereka sanggup beratur panjang untuk mendapatkan makanan kegemaran Malaysia ini. Tak hairanlah kalau harganya terus melonjak naik. Kebetulan, pelajar saya memberikan beberapa ekor merpati. Ada baiknya saya masak Burung Merpati Goreng Berempah Istimewa. Jemu la asyik makan ayam je sepanjang hari raya lalu. Bagaimanapun seluruh resepi ini sebenarnya merujuk kepada ayam goreng berempah yang lebih popular dan mudah diperolehi.




Bahan-bahan untuk Merpati Goreng Berempah Istimewa
6 ekor Burung Merpati
1 cmb Jintan Manis
1 cmb Jintan Putih
2 cmb Ketumbar
3 btg Serai
6 ulas Bawang Putih
4 cm Halia 
3 tangkai Daun Kari
2 cmt Serbuk Kunyit
2 cmt Garam Halus
1 L Minyak Masak
1 bj Telur C



Cara membuat Burung Merpati Goreng Berempah Istimewa
  1. Burung merpati dibersihkan. Tak perlu dipotong, cukup sekadar dibelah dibahagian tulang belakangnya sahaja untuk membersihkan bahagian dalamnya.
  2. Jintan manis, jintan putih dan ketumbar direndam sebentar lebih kurang 15 minit.
  3. Potong serai membulat sepanjang 1 cm kemudian kisar bersama bawang putih, halia, jintan dan ketumbar tanpa air. Tak perlu terlalu halus.
  4. Lumurkan burung merpati dengan telur, garam dan serbuk kunyit kemudian barulah di lumurkan dengan bahan kisar pula. Gaulkan rata-rata termasuk daun kari.
  5. Perapkan lebih kurang ½ jam didalam peti ais.
  6. Panaskan minyak masak yang banyak dengan api sederhana sehingga suhu 230˚C.
  7. Gorengkan burung merpati yang telah diperap lebih kurang 15minit sehingga garing keseluruhannya.
  8. Angkat dan tuskan sebelum dihidangkan panas-panas bersama nasi.



Tip Masakan Komersial
  1. Pemilihan rempah ratus sangat penting kerana hidangan ini bergantung sepenuhnya kepada rasa rempah yang digunakan. Pilihlah rempah yang terbaik dan harum baunya.
  2. Ada juga usahawan yang menambahkan sedikit rempah kari untuk memberikan rasa rempah yang lebih kuat. Jika anda tak yakin dengan rempah yang anda gunakan, bolehlah menggunakan kaedah ini. Bagi saya, lebih baik saya buat masak kari je kalau saya nak masakan rasa kari.
  3. Ada pelanggan yang sangat menggemari rempah-rempah yang menyelimuti ayam. Rempah ini kelihatan berserabut dan mempunyai rasa yang garing. Mungkin ini keistimewaan resepi ayam goreng berempah yang sebenar. Oleh itu, pastikan rempah-rempah melekat pada ayam. Semakin berserabut, semakin baik.
  4. Telur berfungsi untuk melekatkan rempah-rempah pada ayam. Biasanya usahawan pasar malam tak menggunakan telur kerana mereka menggoreng dalam kuantiti yang banyak. Mereka mencedok menggunakan penapis yang sekaligus menapis rempah-rempah yang memenuhi minyak gorengan. Apabila dituskan, rempah ini kelihatan memenuhi ayam goreng. Sebenarnya rempah ni tak lekat pun.
  5. Ada juga yang menggunakan sedikit tepung jagung untuk menjadikan kulit ayam kelihatan garing. Faktor utama yang menjadikan ayam yang dibeli lebih garing sebenarnya terletak pada dapur yang digunakan. Usahawan pasar malam menggunakan dapur gas bertekanan tinggi. Dapur ini memberikan lebih banyak haba dan mengekalkan suhu minyak pada tahap yang dikehendaki. Kalau dapur biasa, apabila kita masukkan ayam, suhu minyak akan menurun secara mendadak menyebabkan kulit ayam kurang garing dan berminyak.
  6. Kelemahan ayam goreng berempah pula adalah, ayam yang digoreng akan kehilangan cecair dengan banyaknya. Ini menyebabkan ayam menjadi kering. Itulah sebabnya, hidangan ini perlu dimakan panas-panas.
  7. Resepi ini juga sesuai untuk semua haiwan dalam kategori burung seperti puyuh, itik dan sebagainya. Selain itu, masakan padang gemar menggunakan resepi dan teknik yang sama untuk paru-paru goreng berempah atau daging goreng berempah. Daging dan paru-paru ini direbus, dihiris nipis dan barulah diperap bersama rempah sebelum digoreng.