Setiap kali memasak untuk keluarga, kita selalunya hanya mementingkan lauk-pauk sahaja. Masak sedap-sedap, makan ramai-ramai tapi selalunya terlupa untuk menyediakan desert. Entah kenapa desert selalu diketepikan. Dalam majlis perkahwinan, makan beradab dan sebagainya jarang sekali saya nampak desert. Setakat buah-buahan je. Jika diuruskan oleh syarikat katering, memang desert tak pernah dilupakan. Paling selekeh pun mesti ada bubur kacang atau bubur pulut merah. Mungkin kerana mereka memang belajar mengenai hidangan lengkap dan seimbang. Jadi semuanya ada. Tak perlu desert yang ekstrem sangat. Masakan melayu kaya dengan desert yang manis dan menyegarkan. Saya pastinya memilih desert yang dihidangkan sejuk. Salah satu desert yang mudah dan ringkas seperti bubur cha-cha yang saya paparkan kali ini. Sewaktu makan hidangan utama bersama keluarga, semuanya tekun mengadap makanan. Semuanya tunduk je. Lapar sangat agaknya. Apabila menikmati desert pula, semua dah kenyang. Jadi suasana lebih santai. Masa inilah baru dapat berbual kosong, bertanya anak-anak perkembangan terkini, bagaimana dengan pelajaran dan sebagainya. Saya rasa, inilah masa yang paling berkualiti dalam meluangkan masa dengan anak-anak. Sudahkah anda meluangkan cukup masa dengan anak anda? Klik untuk mengetahuinya.


Bahan-bahan untuk Resepi Bubur Cha-cha
200g keledek
200g Keladi
200ml Santan Pekat
1 Helai Daun Pandan
150g Gula Melaka
1.5L Air
100g Cha-cha Kering
100g Sagu Biji
Air masak dan ais secukupnya.


Cara membuat Bubur Cha-cha
  1. Masak gula melaka bersama 500ml air dan daun pandan. Tapis dan sejukkan.
  2. Cha-cha kering direndam sebentar dan direbus sehingga lembut. Tuskan dan rendam dalam air masak sejuk.
  3. Sagu biji juga direndam dan direbus sehingga jernih. Tuskan dan bilas dengan air sejuk.
  4. Keledek dan keladi dipotong dadu. Rebus bersama 500ml air sehingga empuk. Tuskan dan biarkan sejuk.
  5. Selesai semuanya, barulah dicedok sedikit cha-cha kedalam mangkuk. Tambahkan sedikit keledek dan keladi rebus, air gula dan air masak. Akhir sekali masukkan kiub ais jika ingin dihidangkan sejuk.


Tip Masakan Komersial
  1. Bubur cha-cha boleh dihidangkan panas atau sejuk. Saya lebih suka sejuk kerana setiap bahan boleh diasingkan sehingga waktu menghidang. Untuk dihidangkan panas, anda perlu masukkan semua bahan dan dipanaskan semula.
  2. Oleh kerana semua bahan boleh diasingkan, adalah lebih baik anda sentiasa menyediakan stok air gula didalam peti ais. Cara ini lebih mudah dan anda boleh menyediakan berbagai desert dalam masa yang lebih singkat seperti cendol, ABC, Sagu Gula Melaka, Manisan Sengkuang Cina dan Nangka dan sebagainya.
  3. Menggunakan santan segar lebih sedap bagaimanapun anda boleh menggunakan santan kotak yang lebih mudah digunakan bila-bila masa sahaja. Hanya potong dan tuang. Hehhe
  4. Saya gunakan gula melaka kerana rasanya lebih lemak dan sedap tetapi jika menggunakan gula pasir lebih mudah. Kacaukan sahaja gula dengan air panas sehingga larut. Sudah tentulah anda akan mendapat bubur cha-cha berwarna putih. Abaikan je daun pandan tu.
  5. Bubur cha-cha adalah variasi kepada berbagai desert yang lain. Apa yang penting adalah kuahnya. Untuk isinya anda boleh gunakan barli, sagu biji, jagung dan sebagainya untuk menghasilkan desert yang lain. Itulah sebabnya saya katakan anda perlu menyimpan sedikit air gula dalam peti ais dan juga santan kotak untuk digunakan bila-bila masa diperlukan. Untuk gambar diatas, saya menggunakan sekoteng menggantikan cha-cha.