Ada masanya sayapun sesak juga sehinggakan beraspun tinggal secawan je. Kalau nak makan kami sekeluarga memang tak cukup. Setakat beras secawan, anak bujang saya makan sorang je. Cara paling baik ialah dengan menjadikannya bubur. Tapi tak mau la bubur kosong je. Sekurang-kurangnya macam bubur McD tu pun kira orait la. Daripada secawan beras akhirnya menjadi seperiuk bubur. Dapat la kami makan tengah hari dan malam sekaligus. Kira banyak la tu. Makan bubur ni memang cepat kenyang sebab kandungan airnya tinggi sayangnya cepat pula lapar kerana air sangat mudah diserap dan dikeluarkan dari tubuh.

Bahan-bahan untuk Bubur Ayam
1 cwn Beras
7 cwn Air
1 kiub Pati Ayam
1/2 cwn Isi Ayam
1/2 bj Bawang Besar
1 ulas Bawang Putih
1 cmb Halia di racik
2 cmb Minyak Masak
1 cmb hirisan Daun Sup
Garam dan Lada Sulah

Cara Membuat Bubur Ayam
  1. Beras dicuci bersih, dituskan dan dimasukkan dalam periuk nasi elektrik.
  2. Masukkan semua air. Hidupkan suis dan biarkan bubur dimasak selama setengah jam.
  3. Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis.
  4. Panaskan minyak masak dalam kuali dan tumiskan bawang besar, halia dan bawang putih sehingga wangi.
  5. Tuangkan bawang goreng bersama-sama minyaknya sekali kedalam periuk nasi tadi.
  6. Masukkan kuib pati ayam, dan isi ayam sekali, gaul dan masak lagi selama 15 minit.
  7. Perasakan dengan garam dan lada sulah. Taburkan daun sup dan sedia dihidang panas-panas.

Tip Masakan Komersial

  1. Untuk beras biasa, air yang diperlukan untuk memasak nasi biasanya 2 kali ganda dari kuantiti beras. Untuk membuat bubur pula, air yang diperlukan diantara 4 hingga 5 kali ganda. Tetapi saya menggemari bubur yang berair dengan nasinya lembut tetapi tidak hancur. Jadi air yang diperlukan diantara 6 hingga 7 kali ganda. Untuk resepi ini, saya menggunakan beras taj mahal yang kurang berkanji. Beras ini memerlukan lebih banyak air dimana untuk nasi, ia memerlukan 3 kali ganda kuantiti air. Jadi untuk membuat bubur ini, 1 cawan beras memerlukan sekurang-kurangnya 9 cawan air. Pening? Saya pun...
  2. Jika masak nasi atau bubur tu, cuba-cuba la belajar menyukat dengan betul. Kalau sukat beras menggunakan tin susu, pastikan air pun disukat dengan tin susu juga. Memang mudah masak nasi atau bubur ni tapi jika untuk berniaga, kesilapan kecil boleh mengakibatkan kerugian. Jadi cuba elakkan perkara-perkara yang memungkinkan berlakunya kesilapan. Katakan tidak kepada agak-agak.
  3. Tak perlulah menggunakan rempah atau apa-apa herba kalau tak pasti hasilnya. Kalau nak buat eksperimen, boleh keluarkan secawan dua bubur untuk ditambahkan apa-apa yang anda fikirkan boleh menjadikan bubur lebih sedap. McD pun tak bubuh jugak agaknya. Kosong je rasa buburnya. Rasa stok ayam je yang kuat. Yang penting, penggunaan garam dan lada sulad seimbang.
  4. Untuk perniagaan, jangan la dihidangkan kosong macam tu je. Boleh dhiaskan dengan hirisan ayam goreng, daun bawang dan bawang goreng. Baru la tak malu kalau nak up harga tinggi lagi.
  5. Untuk orang miskin macam saya, mana la ada isi ayam. Yang ada cuma tulang ayam je. Saya guna je apa yang ada, hasilnya bubur saya sangat berminyak yang keluar dari ayam tadi. Bertambah la kolesterol dalam badan. Hadooooyaiiii.