Kadang-kadang bila ada masa terluang, saya selalu menyelongkar rumah mencari apa yang boleh dijadikan makanan untuk minum petang. Banyak sangat bahan-bahan yang berlebihan tapi tak cukup syarat. Susah payah kumpul barang, akhirnya tak cukup satu bahan yang penting. Selalunya akan jadi makanan yang menggunakan bahan yang biasa. Bahan-bahan luar biasa kekal sebagai tukun hinggalah tamat tempoh. Lagipun masa terluang bukannya banyak sangat dan tak cukup untuk buat makanan yang rumit dan istimewa. Tak mengapa lah. Biskut mentega perisa lemon seperti dibawah ni pun kira ok la juga. Sekurang-kurangnya pasti ada sesuatu yang baru dapat saya pelajari walaupun membuat benda yang sama.


Bahan-bahan untuk Biskut Mentega Perisa Lemon
170g Tepung Pelbagai Guna
125g Mentega
85g Gula Pasir Kisar
30g Tepung Jagung
1 cmt Soda Bikarbonat
1 cmt Lemon Paste
Secubit garam (Pilihan)
Sedikit Coklat Cip atau Keju Cheddar sebagai hiasan (pilihan)


Cara membuat Biskut Mentega Perisa Lemon
  1. Ayak tepung pelbagai guna bersama tepung jagung dan soda bikarbonat. Masukkan garam, gaul dan ketepikan.
  2. Pukul mentega bersama gula pasir kisar sehingga sedikit kembang.
  3. Masukkan lemon paste dan sebatikan.
  4. Satukan bahan yang dipukul bersama bahan yang diayak. Gaul perlahan sehingga menjadi doh yang lembut.
  5. Dengan menggunakan plastik dipermukaan atas dan bawah, canai doh menjadi setebal 0.5 – 1cm.
  6. Garu permukaan doh yang dicanai menggunakan garfu perlahan-lahan. Buat garisan bersilang supaya permukaannya tidak licin.
  7. Gunakan penerap untuk membentuk doh menjadi bentuk yang disukai.
  8. Susun diatas dulang pembakar yang telah dilenser dengan mentega dengan jarak lebih kurang 2 cm.
  9. Hiaskan dengan keju cheddar yang diparut halus atau coklat cip.
  10. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dulu pada suhu 180˚C selama 10 hingga 12 minit sehingga biskut menjadi sedikit keperangan.
  11. Sejukkan dahulu sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.


Tip Masakan Komersial
  1. Pertama sekali, saya nak beritahu, resepi biskut perisa lemon ini tak menggunakan telur. Sangat sesuai untuk pengamal vegetarian. Hanya gantikan mentega dengan majerin supaya biskut ini 100% berasaskan tumbuh-tumbuhan.
  2. Biskut saya kali ini menggunakan tepung jagung. Sebelum ini resepi saya banyak menggunakan tepung gandum biasa sahaja seperti biskut coklat barat kerana saya inginkan biskut yang rangup diluar dan lembut serta sedikit liat didalam. Tepung jagung menjadikan biskut mentega perisa lemon lebih rangup dengan kerangupan yang lebih tahan lama.
  3. Kalau ada buah lemon, dah lama saya gunakan parutan kulit lemon dalam biskut ini. Bagaimanapun lemon paste jauh lebih mudah. Ada 2 jenis lemon paste yang dijual di tempat saya. Yang pertama dilabel sebagai lemon paste sahaja. Warnanya kuning keputihan seperti warna air jagung. Yang kedua mempunyai label Apito Lemon Paste. Warnanya lebih jernih tanpa atau sedikit warna putih seperti air jagung kurang susu! Saya pilih yang pertama kerana rasanya lebih menyerupai lemon berbanding yang kedua yang lebih pahit seperti rasa kulit lemon.
  4. Tanpa telur, biskut ini tak akan kembang besar. Mentega pun tidak dipukul terlalu kembang. Itulah sebabnya saya menggunakan gula pasir kisar sahaja, jadi tak perlu pukul sehingga gula hancur. Bagaimanapun saya menggunakan soda bikarbonat agar biskut tidak terlalu padat.
  5. Apabila menggunakan soda bikarbonat, biskut akan naik sedikit. Untuk biskut ini, ia akan mengelembung ke atas. Jika menggunakan telur atau mentega dipukul terlalu kembang, biskut akan melebar ketepi. Untuk biskut ini, saya inginkan permukaan atas yang rata dimana bucunya masih tajam. Oleh itu, saya menggunakan garfu untuk membuat garis-garis halus sebelum diterap. Ini mengelakkan permukaan atas biskut kurang atau tidak menggelembung. Dengan cara ini, bentuk yang diterap menjadi lebih jelas.
  6. Asas biskut ini sesuai dijadikan bermacam-macam jenis biskut yang lain. Hanya ubahsuai perasanya dan yang paling penting hiasannya mestilah menarik. Coklat sangat digemari kanak-kanak. Walaupun hanya diletakkan 3 biji coklat cip, rasa coklat pada biskut ini tetap timbul dan digemari.