Sekarang ni banyak sungguh biskut yang menggunakan bijirin sarapan segera sebagai perasa dalamnya. Bijirin sarapan ini memang memudahkan kita untuk mendapatkan rasa yang digemari oleh kanak-kanak untuk menikmati biskut kita. Selain itu warna dan bentuk bijirin sarapan yang berbagai bentuk juga dapat menarik perhatian kanak-kanak sekiranya ia digunakan dalam menghias biskut. Jadi tak perlu lagi memikirkan apa rasa biskut yang pasti digemari oleh kanak-kanak. Tak perlu juga untuk memikirkan hiasan yang dapat menarik hati kanak-kanak. Walaupun harga bijirin sarapan ini sedikit mahal sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan beban untuk memikirkan biskut yang sedap dan rangup. Tapi jangan pula semua biskut raya anda menggunakan bijirin sarapan. Cukuplah sejenis atau dua sahaja. Oleh kerana biskut ini saya gunakan untuk hidangan hari raya, saya perlu menjadikan ia khusus untuk hidangan umum dan bukan sekadar untuk kanak-kanak. Jadi koko krunch saya kisar dan hiasannya juga hanya menggunakan coklat rice. Kanak-kanak suka, orang dewasa pun menggemarinya juga.


Bahan-bahan untuk Biskut Kisaran Koko Krunch
100g Majerin
50g Gula Aising
¼ cmt Esen Vanila
½ bj Kuning Telur
150g Tepung Gandum
50g Koko Krunch (Kisar)
20g Coklat Rice
Sedikit kuning telur dan coklat rice untuk hiasan


Cara membuat Biskut Kisaran Koko Krunch
  1. Pukul mentega dengan gula aising sehingga menjadi sedikit kembang. Gunakan senduk kayu sudah mencukupi.
  2. Masukkan kuning telur dan esen vanila dan kacau lagi sehingga sebati.
  3. Masukkan tepung gandum dan gaul ramas menggunakan tangan.
  4. Teruskan gaul ramas sambil memasukkan koko krunch dan coklat rice sehingga mendapat adunan yang lembut dan berderai.
  5. Canai adunan menjadi setebal ½ - 1 cm. Untuk proses ini, alaskan adunan dengan plastik atas dan bawah untuk memudahkan proses mencanai. Canai menggunakan jari lebih mudah.
  6. Terap adunan menggunakan penerap dengan bentuk yang anda gemari dan susun diatas dulang pembakar.
  7. Sapukan dengan kuning telur dan taburkan dengan sedikit coklat rice.
  8. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180˚C selama 10 hingga 15 minit.
  9. Sejukkan sebelum dihidang atau disimpan didalam bekas kedap udara

.
Tip Masakan Berguna
  1. Tak usah tanya kenapa saya tidak menggunakan baking powder atau serbuk penaik. Saya tak mahu biskut ini mengembang terlalu besar dengan rongga udara yang kasar. Biskut ini tetap akan mengembang kerana kita telah memukul majerin dan gula tadi. Telur juga akan membantu dalam proses ini.
  2. Untuk mendapatkan rongga-rongga udara pula ia dibantu oleh teknik gaul ramas yang dilakukan tadi sewaktu memasukkan bahan kering. Tak perlu mengisar koko krunch terlalu halus kerana ia juga memerlukan rongga-rongga udara dari koko krunch.
  3. Untuk kerangupan, biskut ini bergantung sepenuhnya kepada koko krunch sambil dibantu oleh kandungan majerin didalamnya. Maka lengkaplah tekstur biskut yang betul untuk menjadikan ia biskut yang rangup dan sedap.
  4. Biskut ini juga tidak memerlukan gula yang banyak kerana koko krunch telah mempunyai banyak gula. Jika anda menggunakan bijirin tanpa gula, boleh la tambah kandungan gula mengikut kesesuaian rasa. Resepi ini menghasilkan kira-kira 60 keping biskut.