Hari terakhir kerja sebelum raya ni, saya kena pastikan segala yang perlu dilakukan siap sepenuhnya. Tempahan popia mini udang kering, kek kukus buah-buahan, kek tiramisu, kek coklat moist dan lain-lain semua dah dihantar. Seronoknya dapat duit. Kelas menganyam ketupat pun dah selesai kedua-dua sesi walaupun frust sikit sebab daun ketupat saya lesap. Dah la bagi kelas percuma, keluar modal untuk beli daun ketupat. Tetiba kena kebas pulak. Sekarang tengah tunggu ketupat masak.

Promosi ebook Resepi Masakan Barat Komersial pun dah selesai. Tapi ada beberapa lagi yang belum selesai download. Tak tau mana silapnya. Email saya sangkut ditengah jalan ke atau email mereka yang sangkut dan tak sampai pada saya. Kepada yang belum selesai download, sila habiskan download kemudian mintak password pada saya. Saya merayu sangat ni. Cek nuffnang pun dah bank in. yey! yey! Mekacheh banyak-banyak. Iklan pun dah bagi payment belas-belas USD. Alhamdulillah. Duit raya dah siapkan. Dua tiga kali pegi bank tukar duit. Pelajar-pelajar saya dan pelajar saya serta pelajar saya sila beratur. Saya nak bagi duit raya hanya untuk yang tak ponteng dihari terakhir ni.

Saya pun dah aim satu kamera yang murah untuk kegunaan blog ini. Tengok la kualiti gambar yang saya dapat dari kamera sekarang ni.  Sungguh menyayat hati. Dalam banyak-banyak gambar yang saya ambil, ini je yang paling elok.Terima kasih kepada pembeli ebook saya. Dapat la beli kamera baru walaupun cuma yang murah. Apa lagi ye… haaa. Kereta dah servis. Eh! Touch & Go belum topup! Kacang je tu. Stesen minyak ada.  Rasanya dah ok kot. Sekarang baru dapat buat kuih raya. Jom buat biskut keju cheddar yang rapuh dan cair dimulut ni. Berapa jenis je kuih raya dapat buat ni. Raya dah dekat sangat. Tapi tak pe. Dengar lagu raya baru dulu. Jom download lagu raya eksklusif Proton. Klik Disini. Boleh hantar e-kad raya juga pada kengkawan. Klik disini ye.


Bahan-bahan untuk Biskut Keju Cheddar
125g Mentega
65g Keju Cheddar
50g Gula Aising
50g Tepung Jagung
100g Tepung Kek
50g Tepung Kastard

Hiasan 60g Keju Cheddar
Sedikit Kuning Telur

Cara membuat Biskut Keju Cheddar

  1. Keju cheddar diparut halus kemudian dipukul bersama mentega sehingga kembang.
  2. Ayak segala jenis tepung dan gula aising sekaligus dan campurkan dengan adunan yang dipukul tadi.
  3. Kacau sebati sehingga bersatu, rehatkan sebentar 15 – 20minit.
  4. Torak doh setebal ¾ cm hingga 1 cm dan terap mengunakan acuan dengan bentuk digemari.
  5. Susun dalam dulang pembakar dengan jarak 2 cm diantara satu sama lain.
  6. Kuning telur dikacau sedikit. Tambah perwarna kuning jika suka. Keju cheddar untuk hiasan diparut kasar.
  7. Sapukan kuning telur pada biskut dan taburkan keju cedar.
  8. Bakar selama 15 minit suhu 170˚C.
  9. Sejukkan sebelum di simpan dalam bekas kedap udara.

Tip Masakan Komersial

  1. Keju cheddar ni masin sikit. Saya ni tak gemar sangat biskut masin tapi ada yang menambah garam lagi dalam adunan walaupun keju dan butter dah masin.
  2. Keju lain macam kurang sesuai untuk biskut ini kerana keju lain mudah sangat cair. Keju cheddar ni pun kena parut kasar dan letak banyak-banyak sebab bila bakar dan kejunya mencair Nampak sikit sangat keju yang ditabur.
  3. Biskut ini memang sangat rapuh. Nak pegang pun kena hati-hati. Kalau masa panas pegang je terus hancur. Kalau bukan kerana telur kuning yang memegangnya, mungkin langsung tak boleh pegang.
  4. Biskut ini tak menggunakan telur atau serbuk penaik. Jadi ia sesuai sangat untuk diterap dengan corak yang halus, dan tajam. Tapi hati-hati. Mudah pecah!