Namanya pun dah Famous Amos jadi tentunya dah terkenal merata dunia. Kalau tak terkenal, tak de la dinamakan famous. Tapi biskut Famous Amos Norasikin memang tak terkenal langsung. Siapa la nak kenal biskut buatan saya yang tentunya menggunakan bahan-bahan yang murah dengan cara yang paling mudah. Tapi sekurang-kurangnya biskut ini mudah diubahsuai mengikut tahap kekayaan anda. Kalau anda rasa anda kaya sangat, gunalah bahan yang  mahal. Kalau anda rasa anda lebih dari kaya, baik beli je yang dah siap dipasaran. Mesti anda ada cukup duit untuk beli ubat-ubatan pulak kan?

Tunjukkan anda Supermom. Buat Famous Amos cantik-cantik untuk anak-anak dan kongsikan tip anda bersama #JacobsMY. Boleh menang kitchen makeover disini. (Klik)



Bahan-bahan untuk Biskut Famous Amos Norasikin.
250g Majerin
200g Tepung Gandum Kegunaan Am
300g Gula Pasir
200g Oat Cepat diMasak
1 cmt Soda Bikarbonat
1 cmt Baking Powder
2 cmt Emplex
200g Coklat Cip
2 bj Telur A
160g Kekacang
2 cmt Esen Vanila
Secubit Garam Halus

Cara membuat Biskut Famous Amos Norasikin
  1. Kisar oat menggunakan pengisar bijirin sehingga halus dan gaulkan bersama tepung gandum, soda bikarbonat, baking powder dan emplex. Ketepikan.
  2. Pukul majerin dan gula sehingga sedikit keputihan menggunakan mixer atau whisk. Tidak mengapa jika gula tidak hancur.
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul lagi hingga sebati.  Kemudian masukkan esen vanila dan kacau lagi.
  4. Masukkan campuran tepung dan dan gaul sebati menggunakan spatula atau senduk.
  5. Akhir sekali masukkan garam, coklat cip dan kekacang. Gaul lagi supaya semuanya rata.
  6. Ambil  segenggam adunan dan canai setebal ½ cm. Terap menjadi bentuk yang disukai.
  7. Susun dalam dulang pembakar dengan jarak ½ inci diantara satu sama lain dan bakar  dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180˚C selama 10 – 12 minit.
  8. Setelah masak, keluarkan dari oven dan biarkan sejuk sedikit kemudian barulah di susun diatas redai supaya ia sejuk sepenuhnya.
  9. Hidangkan atau simpan dalam bekas kedap udara.

Tip Masakan Komersial
  1. Tepung gandum, oat kisar, soda bikarbonat dan baking powder sebaiknya di ayak terlebih dahulu agar semuanya sekata dan tiada yang berketul. Ini dapat membantu menambahkan rongga dalam biskut yang dihasilkan nanti.
  2. Masa memukul majerin dan gula sekejap sahaja lebih kurang 2 atau 3 minit sahaja jika menggunakan hand mixer. Sebaik sahaja warna majerin mula pudar, bolehlah berhenti memukul. Begitu juga apabila memasukkan telur. Berhenti apabila adunan mula menjadi kental semula. Ini dapat mengelakkan biskut menjadi terlalu kembang dengan rongga yang terlalu besar. Jika ini berlaku, bahagian tengah biskut sukar rangup terutama dibahagian yang tebal.
  3. Jangan sekali-kali menguli adunan setelah memasukkan campuran tepung. Biarkan adunan kekal berderai. Jika menggaul menggunakan tangan, gunakan kaedah gaul ramas dengan hujung jari. Menguli akan menjadikan ia mampat.
  4. Adunan yang terhasil adalah lembut dan melekit. Oleh itu, untuk mencanai, kita perlu menggunakan plastik yang dialaskan diatas dan dibawah. Tekankan dengan tapak tangan dan lurutkan dengan jari hingga mendapat ketebalan yang dikehendaki. Jangan gunakan penorak kerana ia akan menyebabkan coklat chip dan kekacang pecah.
  5. Jika ingin membuat bentuk biskut famous amos yang sama seperti di pasaran, anda hanya perlu sudukan sahaja adunan biskut diatas dulang pembakar. Gunakan skop aiskrim yang paling kecil agar saiznya lebih sekata. Adunan akan mencair apabila dibakar dan biskut akan menjadi lebar. Jadi pastikan jarak antara biskut sekurang-kurangnya 1 inci. Biskut saya macam biasa la, mesti sebesar piring.
  6. Untuk kekacang, anda boleh gunakan apa sahaja kacang yang anda suka. Kacang yang lebih kasar lebih baik dengan saiz lebih kurang coklat chip. Jangan gunakan kacang halus kerana ia tidak akan kelihatan dipermukaan biskut. Jika kekacang terlalu kasar pula, berkemungkinan kekacang tak cukup masak. Jadi anda perlu membakar kekacang terlebih dahulu. Jangan pulak masukkan kacang panas dalam adunan, habis cair semuanya.
  7. Biskut famous amos norasikin bergantung sepenuhnya kepada rasa coklat dan kacang. Jika sedap coklat dan kekacang yang anda gunakan, maka sedap la biskut yang anda buat. Gunakan coklat dan kekacang mengikut tahap kekayaan anda. Jangan pulak nak makan sedap tapi kocek tak nak bunyi. Lebih mahal coklat dan kekacang yang anda gunakan, lebih mahal lah harga jualannya.
  8. Kalau nak tukar majerin kepada mentega, tak akan menjadi masalah. Kalau dah banyak sangat duit, gunakan pure creamy butter. Lebih lemak dan lebih sedap. Tak perlu ubah resepi. Ikut sahaja sukatan yang ada kerana jika adunan yang anda dapat terlembik atau terkeras, dibawah ini ada caranya.
  9. Suatu ketika dahulu, adunan biskut hanya sebagai perantara untuk mencantumkan kekacang dan coklat. Jadi adunan sedikit sahaja dan coklat dan kekacang yang banyak. Kini semua dah jadi mahal jadi adunan diperlukan sebagai penambah kuantiti kerana ia yang paling murah. Kekacang dan coklat pula yang sedikit. Bila adunan menjadi banyak, ia bukan lagi berfungsi sebagai perantara. Ia dah menjadi bahan utama dan bahan utama perlu rangup. Disini, saya menggunakan bantuan emplek sebagai perangup biskut. Memang berbeza kerangupan biskut yang terhasil. Lagi banyak emplex lebih rangup biskutnya. Untuk resepi ini, 2 cmt cukuplah. Tak mau la rangup-rangup sangat. Nanti jadi betul-betul famous pulak Tergugat biskut famous amos yang original.
  10. Seperti yang saya ceritakan panjang lebar dalam perenggan diatas ni, adunan biskut hanya perantara. Jadi tak kisah berapa banyak kekacang dan coklat yang anda nak gunakan. Masukkan je sesedap rasa asalkan adunan mencukupi untuk melekatkannya. Begitulah caranya jika adunan menjadi terlalu lembik. Tambahkan kekacang atau coklat. Kalau risau bahan ni tak cukup, saya cadangkan anda masukkan adunan biskut sedikit demi sedikit kedalam kekacang dan coklat berbanding masukkan kekacang dan coklat kedalam adunan biskut. Dengan cara ini anda dapat mengawal tekstur biskut.
  11. Coklat dan kekacang memang mahal. Kacang tanah pun dah semakin mahal. Nak beli yang belum kupas kulit, rasa malas pulak nak proses. Jangan risau, gunakan bahan lain yang lebih murah ditempat anda. Saya cadangkan anda gunakan cornflakes atau bubble rice kerana bahan ini ringan dan dapat memberi kuantiti yang lebih besar kepada biskut. Bagaimanapun kena berhati-hati terutama apabila menggunakan bahan yang mudah kembang dan lembik apabila terkena lembapan. Macam mana nak buat? Tetiba pulak rasa malas nak cerita!