Biskut ni sebenarnya permintaan anak saya. Kalau dengan budak-budak ni, dah tentu la biskut coklat pilihannya. Sewaktu hari raya boleh la buat biskut-biskut lain sebab ramai pengunjung dan ramai la tukang makan. Jika tak de coklat, tak de la yang sudi jadi tukang makan. Untuk menjadikannya berkhasiat untuk anak-anak, saya tambahkan oat yang baik untuk menurunkan paras kolesterol. Begitu juga dengan kandungan gula. Saya kurangkan sedikit dan gunakan gula perang malangnya coklat chip masih tetap manis. Tapi tak mengapa. Gembira tengok anak makan. Asalnya dia kata nak makan dengan kawan-kawan di sekolah. Bila sampai masanya, dia tak sanggup nak bagi pula. Rela makan sorang-sorang daripada berkongsi.
Berbeza dengan Biskut Coklat Barat, biskut ini sesuai dijadikan kuih raya dan dihias cantik kerana kerangupannya tahan lebih lama.

Resepi Biskut Coklat dengan Oat
2 1/2 cwn oat segera
1/2 cwn serbuk koko
1 1/2 cwn tepung gandum
1 1/2 cwn tepung kentang
1 cmt baking powder
1 cmt soda bikarbonat
1 cwn mentega/majerin
1 cwn gula pasir
1 cwn gula perang
2 bj telur
1 cwn coklat chip / cincangan coklat

Cara membuat Biskut Coklat dengan Oat
  1. Campurkan semua bahan-bahan kering seperti tepung, serbuk penaik, koko, oat dan lain-lain.
  2. Pukul mentega dengan gula dan gula perang sehingga kembang.
  3. Masukkan telur dan pukul sehingga sebati.
  4. Campurkan adunan dengan bahan kering sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan spatula.
  5. Setelah semuanya sebati, rehatkan adunan lebih kurang setengah jam.
  6. Bentukkan mengikut suka dan hias dengan coklat chip, kacang dan sebagainya.
  7. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180C selama 12 - 15 minit sehingga masak.

Tip Masakan Berguna

  1. Oat biasanya menjadi pilihan untuk menambahkan khasiat dalam biskut berbanding bijirin lain seperti nestum, cornflake kerana ia lebih asli tanpa bahan-bahan tambahan yang lain.
  2. Menggunakan tepung kentang adalah salah satu cara yang terbaik untuk menjadikan biskut kegemaran lebih rangup. Walaubagaimanapun kerangupannya akan berbeza kerana kerangupan menggunakan tepung kentang lebih kepada kerangupan snek. Jika tepung kentang yang digunakan berlebihan, akan mengakibatkan biskut menjadi garing seperti makanan ringan.
  3. Alternatif terbaik untuk mengurangkan rasa manis pada biskut tanpa mengubahsuai resepi adalah dengan menggunakan gula perang. Dengan demikian, kuantiti gula dikekalkan dan tiada perubahan kuantiti pada bahan-bahan lain.