Saya rasa, begedil memang tak akan menjadi masalah kepada sesiapa sahaja. Terlalu senang membuatnya. Pada asasnya, begedil hanya kentang rebus yang dilecek, dibentuk kemudian digoreng. Kemudian, untuk rasa yang lebih sedap, baru ditambah berbagai bahan terdiri dari protin dan sayur-sayuran. Begedil juga disalut dengan telur supaya bentuknya kekal dan tidak pecah sewaktu digoreng. Resepi dibawah adalah asas untuk begedil yang mudah dan sedap manakala di ruangan tip masakan, saya kana menerangkan kepentingan beberapa bahan utama dalam begedil. Walaupun mudah, tetapi tetap perlu juga belajar agar maklumat yang diperolehi dapat digunakan dalam masakan lain.



Bahan-bahan untuk Begedil Ayam
400g Ubi Kentang
100g Isi Ayam
½ bj Bawang Besar
½ cmt Garam
¼ cmt Serbuk Lada Hitam
1 bj Telur
4 cmb Tepung Jagung
1 tangkai Daun Sup
Minyak Masak untuk menggoreng


Cara Membuat Begedil Ayam
  1. Kupas kulit ubi kentang dan bersihkan. Rebus dalam air yang banyak sehingga empuk kemudian tuskan.
  2. Sementara merebus ubi kentang, cincang isi ayam. Bawang besar pula di dadu dan daun sup di cincang kasar.
  3. Sewaktu ubi kentang masih panas, lecekkan menggunakan garfu. Sebaiknya lecek ia kasar-kasar.
  4. Asingkan telur putih dan kuning. Masukkan hanya telur kuning sahaja dalam kentang lecek.
  5. Masukkan juga ayam, bawang besar dan daun sup. Kacau perlahan sehingga sebati.
  6. Perasakan dengan garam dan lada sulah.
  7. Teliti tekstur adunan kentang sama ada terlalu lembut sehingga sukar dikepal dan dipegang. Tambahkan tepung jagung jika perlu sehingga mendapat tekstur yang betul.
  8. Ambil sedikit adunan dan kepalkan sebesar bole ping pong. Leperkan sedikit untuk membentuk begedil. Letak diatas dulang dan bentukkan sehingga habis semua adunan.
  9. Telur putih tadi, dicampurkan dengan 1 cmb tepung jagung dan pukul sedikit sehingga sebati.
  10. Panaskan minyak masak dengan api sederhana pada suhu 230˚C. Celupkan begedil dalam telur putih tadi dan goreng sebentar sahaja sehingga keperangan kedua-dua permukaan.
  11. Angkat dan tuskan sebelum dihidang bersama nasi atau soto.


Tip Masakan Komersial

  1. Untuk merebus ubi kentang untuk begedil, sebaiknya kentang tidak dipotong terlalu kecil kerana ia akan menyebabkan lebih banyak air terperangkap. Ini menyebabkan begedil menjadi terlalu lembik. Jika tidak dipotong pula, kentang akan lambat empuk.
  2. Kentang mengambil masa kira kira 10 minit untuk empuk setelah air mendidih. Untuk mengetahui kentang sudah sedia atau belum, cucukkan kentang dengan garfu dan angkat dengan garfu menegak. Jika kentang boleh mengelongsor jatuh, itu bermakna ia sudah empuk. Jika kentang mengelongsor sebelum diangkat, itu bermakna ia terlalu empuk. Bagaimanapun ia bergantung juga kepada jenis kentang dan kuantiti kentang yang direbus.
  3. Tepung jagung dalam begedil bertujuan untuk memudahkan proses membentuk. Lebih cair adunan kentang, lebih banyak tepung jagung yang diperlukan. Oleh itu pastikan air dituskan sebaik-baiknya. Kemudian biarkan kepanasannya mengeringkan saki baki air yang masih ada barulah dilecek.
  4. Telur kuning memberikan rasa kepada begedil dan membantu ia melekat. Tak letak pun tak mengapa. Jika anda menggunakan lebih banyak bahan seperti daging, sayur, cili dan sebagainya tanpa menambah kuantiti kentang, maka fungsi kuning telur akan menjadi lebih penting.
  5. Hidangan seperti ini, saya gemar menggunakan sayur semaksimum mungkin. Gunakan apa sahaja jenis sayur asalkan ia cepat masak atau boleh dimakan begitu saja. Sayur campuran sejuk beku iaitu kacang pea, jagung dan lobak merah juga sesuai. Jangan lupa cili merah untuk warna yang lebih menarik.
  6. Hanya telur putih sahaja digunakan untuk menyalut kerana beberapa sebab. Pertama, hanya putih telur sahaja yang berfungsi untuk memegang begedil agar tidak pecah sewaktu digoreng walaupun salutannya nipis sahaja. Campuran telur kuning akan menyebabkan pegangannya tidak begitu kuat. Kedua, telur putih dapat membantu mengelakkan minyak meresap kedalam begedil dengan banyaknya. Ketiga, minyak yang digunakan untuk menggoreng begedil akan lambat kotor. Ini sangat membantu usahawan yang selalunya menggoreng begedil dalam kuantiti banyak. Pembaziran dapat dikurangkan.
  7. Tepung jagung dalam salutan telur pula supaya salutan pada begedil lebih tebal. Lebih tebal salutanna, lebih kukuh pegangannya. Kalau perlu, salutkan begedil dalam tepung jagung dahulu sebelum dicelup dalam telur dan digoreng. Cara ini sangat sesuai untuk orang yang gemar begedil halus dan lembut didalamnya.

p/s Anda ada nampak begedil sejuk beku dipasaran tak? Nape tak de ye?