Sepuluh tahun lalu sewaktu ke Cameron Highland, saya pertama kali merasai bebola labu manis. Pada masa itu saya cuma nampak satu gerai sahaja yang menjualnya diawal pagi. Itupun hanya dijual oleh dua orang wanita Indonesia. Dua bulan lepas, saya berkunjung ke Cameron Highland lagi tetapi kali ini, hampir semua tempat menjual bebola labu ini. Jika di tapak pasar malam yang beroperasi setiap hari, berbelas gerai yang menjual bebola labu ini. Memang pertama kali makan, saya dah berkenan dengan rasanya yang lemak manis. Kemudian saya bereksperimen sendiri mencari resepi bebola labu yang rangup diluar dan cair didalam.


Bahan-bahan untuk Bebola Labu Manis
300g Labu Manis
100g Tepung Pulut
½ cmt Garam
1 cmb Gula Pasir
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam
Air untuk merebus


Cara membuat Bebola Labu Manis
  1. Rebus labu sehingga empuk. Setelah empuk, tuskan dan lecek dengan garfu atau sudu sewaktu panas.
  2. Perasakan dengan garam dan gula juga sewaktu panas supaya gula mudah larut.
  3. Masukkan tepung pulut sedikit demi sedikit sehingga mendapat doh yang lembut dan tidak melekat ditangan.
  4. Panaskan minyak masak dengan api sederhana.
  5. Cubit sedikit doh gentel sebesar ibu jari dan terus digoreng dalam minyak panas.
  6. Kacau sekali sekala dan angkat setelah bebola kekuningan. Hidangkan panas-panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Bahagian yang penting dalam resepi ini adalah kuantiti tepung pulut yang digunakan kerana kuantiti labu akan diseimbangkan dengan kuantiti tepung pulut yang betul manakala garam dan gula adalah mengikut selera sendiri. Tambah tepung pulut jika anda suka bebola yang kenyal seperti di Cameron Highland.
  2. Terdapat juga resepi bebola labu ini yang menggunakan teknik seperti membuat Cekodok Pisang Autoreverse. Biasanya menggunakan tepung gandum. Bagaimanapun apabila menggunakan cara ini, anda memerlukan bahan penaik seperti soda bikarbonat. Menggunakan tepung pulut menghasilkan bebola yang sangat berbeza. Ia kembang secara semulajadi dan isinya kenyal. Bagaimanapun jika minyak terlalu panas, mungkin menyebabkan ia meletup. Jadi berhati-hatilah.
  3. Adunan bebola labu ini padat dan berat. Jadi jika menggorengnya, pastikan menggunakan minyak yang betul-betul banyak kerana bebola ini akan tenggelam sebaik sahaja dimasukkan dalam minyak. Kacau perlahan didalam minyak supaya ia tidak melekat didasar kuali sehingga ia timbul.
  4. Anda boleh menggunakan cara yang sama untuk bebola keledek. Gunakan labu dan keledek pelbagai warna untuk menceriakan hidangan.
  5. Saya pun tak pasti adakah labu dan keledek ditanam dengan meluas di Cameron Highland. Jika dilihat dari gerai sayur-sayuran dan gerai bebola ini, saya rasa ya. Bagaimanapun saya dapati harga bebola ini tidaklah murah sangat di atas sana. Di bawahpun kita masih boleh memperolehi labu dan keledek dengan harga yang murah tapi kenapa tiada yang menjual bebola labu dan keledek di bawah ye? Tak habis-habis nak mengagungkan kaya ball. Hmmmm..