Saya biasanya membeli keperluan makanan hanya cukup-cukup sahaja untuk sesuatu tempoh tertentu. Banyak kelebihan dan kekurangannya. Diantara kelebihannya adalah, saya dapat makanan yang segar terutama sayur-sayuran. Ayam dan ikan pula, saya beli seminggu sekali. Makanan yang perlu disejukbekukan, saya akan masuk dalam beberapa plastik dimana setiap plastik cukup untuk 1 kali masak sahaja. Saya hanya akan nyahbekukan 1 plastik sahaja setiap kali sebelum memasak. Jadi tiada makanan yang dibekukan an dicairkan berulang kali.

KHAS UNTUK PEREMPUAN SAHAJA. 

Kelemahannya pula, saya perlu ke pasar lebih kerap. Dengan harga petrol yang semakin tinggi sekarang ni, terasa keperitannya. Ada kalanya, tiada makanan dalam peti ais saya. Di waktu beginilah ditambah dengan perut yang lapar, kepala otak akan ligat berfikir untuk mecari makanan berdasarkan sisa-sisa apa yang tinggal didapur. Dan hari ini cuma ada Bebola Keladi yang sedap dan senang dibuat.



Bahan-bahan untuk Resepi Bebola Keladi
400g Keladi yang telah direbus dan di tus
80g Gula Pasir
100g Tepung Pulut
½ cmt Garam
Sedikit air
1 L Minyak masak untuk menggoreng.



Cara membuat Bebola Keladi
  1. Keladi yang telah direbus hendaklah dilecek menggunakan garfu atau pelecek sewaktu masih panas.
  2. Tambahkan gula dan garam dalam keladi dan gaul sebati. 
  3. Biarkan keladi sejuk sepenuhnya pada suhu bilik.
  4. Setelah keladi sejuk, masukkan tepung pulut dan gaul sebati. Rehatkan 15 minit untuk tepung pulut menyerap lembapan.
  5. Bulat-bulatkan adunan sebesar 3 hingga 4 cm. Pastikan bebola padat dan licin.
  6. Panaskan minyak masak sehingga 210°C.
  7. Gorengkan bebola keladi dalam minyak banyak. Leraikan bebola jika melekat satu sama lain.
  8. Angkat dan tuskan setelah bebola keladi timbul dengan warna sedikit keperangan.
  9. Hidangkan panas-panas untuk minum petang atau sarapan pagi.



Tip Masakan Komersial
  1. Keladi akan hancur apabila direbus terlalu lama. Cara yang paling baik adalah dengan merebus keladi dalam ketulan yang besar. Untuk kiub keladi sebesar lebih kurang 2 hingga 3 inci, biasanya akan empuk dalam masa 10 – 15 minit setelah air mendidih. Ertinya rebus keladi bersama air yang banyak. Setelah air mendidih, biarkan 10 hingga 15 minit lagi dan barulah diangkat dan dituskan.
  2. Gula akan mencair apabila dimasukkan kedalam keladi yang panas. Ini menjadikan keladi lebih cair. Sebab itulah ia perlu disejukkan dahulu sebelum dimasukkan tepung pulut. Saya lebih suka lecek keladi menggunakan garfu sahaja kerana saya tak mahu keladi menjadi terlalu hancur. Lebih hancur keladi, lebih banyak tepung pulut perlu digunakan. 
  3. Menggaul keladi dengan tepung pulut sebaiknya menggunakan kaedah gaul ramas. Tapi saya lebih suka menggunakan garfu sahaja. Asalkan ia bersatu, ia sudah cukup. Tak perlu diuli kerana sewaktu adunan dibulatkan, ia sudah menyamai dengan menguli.
  4. Tepung pulut yang digunakan bergantung kepada tahap kecairan keladi lecek. Jika dilecek terlalu halus, keladi lebih lembik dan perlukan lebih banyak tepung pulut. Anda boleh tambahkan lebih banyak tepung pulut jika anda dapati adunan tak boleh dibulat-bulatkan setelah direhatkan. Biasanya saya rehatkan dalam keadaan adunan berderai seperti breadcrumb agar lembapan  dapat dikurangkan. 
  5. Lebih banyak tepung pulut digunakan, lebih keras bebola keladi yang terhasil. Resepi Bebola keladi diatas sesuai dengan selera saya dimana bahagian luarnya terdapat kulit nipis yang rangup manakala dalamnya seakan-akan cair.
  6. Tepung pulut digunakan untuk mendapatkan bebola yang cair dibagaian dalam. Jika menggunakan tepung gandum, teksturnya sedikit berbeza dimana tiada keadaan bergetah didalamnya. Tepung pulut membolehkan bebola keladi mengembang sedikit didalam minyak panas. Ini menghasilkan rongga didalamnya.
  7. Berhati-hati sewaktu menggoreng kerana bebola berkemungkinan meletup terutamanya jika anda menggunakan terlalu banyak tepung pulut dan minyak yang digunakan terlalu panas. Keadaan meletup berlaku bila kulit luar yang keras terbentuk dengan cepat sedangkan bahagian dalamnya masih boleh mengembang.
  8. Saya paling suka kuih-muih seperti ini kerana ia mudah disediakan. Paling penting ia boleh disediakan lebih awal. Hanya perlu gorengkan sahaja apabila tiba masa menghidang. Boleh juga disejukbekukan tetapi sebelum goreng, ia perlu dinyahbekukan sepenuhnya supaya ia dapat mengembang dengan baik.