Dah beberapa hari asyik buat muffin dan cupcake, hari ini cuba pula bebola daging masam manis. Walaupun masam manis dah jadi hidangan patut ada di restoran thai, tapi resepi asalnya adalah dari masakan cina. Untuk bebola daging masam manis ini, saya cuba mengekalkan ciri-ciri masakan cina yang asli. Bebola daging juga sebaiknya di buat sendiri. Dibawah ini ada disertakan resepi bebola daging yang ringkas. Secara komersial, bebola daging menggunakan beberapa bahan kimia yang tidak baik untuk kesihatan bertujuan untuk menjadikan ia lebih kenyal dan anjal. Cara ini dapat menjimatkan penggunaan daging. Selain itu penambah perisa juga banyak digunakan.


Bahan-bahan untuk Bebola Daging Masam Manis
400g Daging Lembu
3 cmb Tepung Jagung
1 bj Putih Telur
1 cmt Garam
1 cmb Gula
1 cmt Serbuk Lada Sulah


Bahan-bahan untuk Sos Bebola Daging Masam Manis
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 inci Halia Muda
100g Nenas Masak
½ bj Lada Benggala
3 cmb Minyak Masak
1 cmt Kicap Cair
1 cmb Jus Limau Nipis
1 cmb Gula
1 cmt Garam
1 cmb Tepung Jagung yang dilarutkan dalam sedikit air.
½ cwn Stok Rebusan Daging/Ayam


Cara membuat Bebola Daging Masam Manis
  1. Daging dipotong kecil kemudian dikisar sedikit demi sedikit dan masukkan dalam mangkuk.
  2. Tambahkan putih telur dan perasakan dengan garam, gula dan lada sulah. Gaul rata.
  3. Masukkan tepung jagung sedikit demi sedikit untuk mendapatkan pes yang lembut tetapi mudah dibulat-bulatkan. (Kuantiti tepung jagung mengikut keperluan.)
  4. Bentukkan daging menjadi bebola kecil sebesar ibu jari
  5. Goreng bebola daging tadi dalam minyak sedikit sehingga masak. Angkat dan tuskan sebelum diletakkan dalam pinggan hidang.
  6. Dengan minyak yang sama, tumiskan bawang putih yang dicincang, bawang besar yang dihiris bulat dan halia yang dimayang halus.
  7. Setelah tumisan harum, masukkan lada bengala yang didadu kasar dan nenas yang didadu kecil.
  8. Tambahkan kicap dan stok rebusan.
  9. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau.
  10. Gunakan larutan tepung jagung untuk memekatkan sos. Tak perlu dihabiskan jika sudah cukup pekat.
  11. Curahkan atas bebola daging dan hidangkan panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Anda boleh mengisar daging menggunakan pengisar bijirin atau pengisar basah. Jika menggunakan pengisar basah, anda memerlukan sedikit air. Sebaiknya air sejuk atau air batu supaya daging tidak masak. Gunakan air yang paling minimum. Boleh juga menggunakan daging cincang yang siap dijual dipasar tapi hasilnya tak begitu licin seperti bebola daging yang saya buat dalam gambar diatas tu. Yang tak menariknya bila gunakan daging cincang siap, rasanya sedikit tawar kerana banyak jusnya dah keluar.
  2. Jika anda menggunakan terlalu banyak tepung jagung dalam bebeola daging, kemungkinan besar bebola daging menjadi terlalu keras. Anda boleh cairkan sedikit adunannya untuk bebola yang lebih lembut tetapi kemungkinan besar bebola akan mengembang apabila digoreng dan kecut semula setelah masak. Jadi jangan menggunakan kaedah menggoreng minyak banyak.
  3. Putih telur dah cukup untuk menjadikan bebola daging lebih kenyal. Begitu juga dengan tepung jagung. Protin daging yang dikisar akan bersimpul semula sewaktu digoreng.
  4. Kalau susah sangat, leperkan je macam buat daging burger dan potong selepas digoreng. Tapi tak boleh la dinamakan bebola.
  5. Masam manis masakan thai berwarna merah kerana menggunakan cili tetapi masakan cina tak menggunakan cili jadi warnanya mengikut warna kicap. Kalau nak pedas, masukkan cili cincang. Masakan thai juga menggunakan sos ikan.
  6. Lada bengala sangat mudah berubah warna setelah masak. Jadi setelah dimasukkan stok rebusan, besarkan api supaya ia cepat mendidih. Selesaikan memasukkan bahan yang seterusnya dengan pantas dan hidangkan sebelum sempat warnanya pudar. Boleh juga dimasukkan akhir sekali tetapi hasilnya kurang cantik kerana lada benggala yang digoreng lebih berkilat dari yang direbus.
  7. Dalam menentukan hidangan yang ingin anda sajikan, tetapkan konsep restoran pilihan anda. Jangan pula buka restoran masakan thai tapi jual masam manis dari masakan cina. Pelajari masam manis cara thai. Mencampur-adukkan masakan tidak sesuai untuk restoran yang mempunyai konsep tertentu.