Pertama sekali, saya ingin membuat pengumuman, diminta Mr Abd Halim Mustafa untuk menghubungi saya melalui email untuk urusan ebook. Saya masih belum menerima sebarang email dari anda. Terima Kasih.

Dah banyak jenis sos BBQ segera yang saya cuba. Begitu juga BBQ yang terdapat di hotel-hotel. Kebanyakkannya mempunyai rasa yang lebih kurang sama iaitu sos BBQ dengan bahan utamanya tomato. Jadi saya beranggapan, inilah rasa sos BBQ yang paling popular yang menepati ciri-ciri makanan barat. Sos BBQ biasanya pekat agar mudah disapu dengan tebal menggunakan berus. Bahan utamanya adalah tomato, cuka, gula dan rempah-rempah. Resepi dibawah adalah resepi BBQ saya yang direka untuk mendapatkan rasa yang hampir sama dengan sos BBQ dipasaran malah saya rasa yang ini lebih sedap kerana ia tak terlalu masam dan lebih manis sesuai dengan anak tekak saya. Sos BBQ ini sesuai untuk semua jenis bahan seperti lembu, kambing, ayam ikan, karangan laut dan sebagainya.

ANDA BOROS? Klik disini untuk 8 cara mengelakkan anda pokai sebelum hujung tahun ini.


Bahan-bahan untuk BBQ Rusuk Kambing.
½ ekor Rusuk Kambing
1 cmb Tomato Puri
1 cmb Sos Tomato
2 cmb Gula Merah
1 cmb Madu
1 cmb Vinager
2 ulas Bawang Merah
2 ulas Bawang Putih
½ cmt Jintan Kasar
½ cmt Yellow Mustard
½ cmt Garam
½ cmt Serbuk Lada Hitam Kasar.



Cara-cara Membuat BBQ Rusuk Kambing
  1. Rusuk kambing dibersihkan dan lemak-lemak yang berlebihan di buang. Tuskan
  2. Kisar jintan kasar, gula merah, bawang merah dan bawang putih dikisar tanpa air sehingga halus. Gunakan pengisar bijirin atau lesung batu jika dirasakan kuantitinya terlalu sedikit.
  3. Di dalam mangkuk gaulkan sekaligus bahan-bahan yang lain iaitu sos tomato, tomato puri, madu, vinager, mustard, garam, lada hitam termasuk bahan yang dikisar tadi. Pastikan semuanya sebati.
  4. Sapukan sos BBQ ke seluruh bahagian rusuk kambing sambil di urut dan dipicit dagingnya. 
  5. Perapkan sekurang-kurangnya 20 minit. Sebaik-baiknya semalaman didalam peti ais.
  6. Bakar didalam oven pada suhu 180°C selama 1 jam hingga 1 ½ jam bergantung kepada ketebalan daging. Jika mempunyai fungsi turbo, bolehlah digunakan.



Tip Masakan Komersial
  1. Sebelum diperap, rusuk kambing perlu dikeringkan. Kalau boleh, gunakan tisu untuk mengelap lebihan air. Ini untuk mengelakkan sos yang disapu keatas daging menjadi cair dan menyukarkan untuk sos menyerap kedalam daging.
  2. Ada juga chef-chef terkemuka masakan barat berpendapat dengan menyapukan sedikit vinager keatas daging sebelum diperap membolehkan liang-liang pori mengembang dan membantu penyerapan rasa kedalam daging dengan lebih baik.
  3. Saya mencampurkan tomato puri dan sos tomato agar sos BBQ tidak menjadi terlalu masam. Kebanyakkan sos BBQ yang terdapat di pasaran terlalu masam dan tak sesuai untuk saya yang takut masam. Untuk menambahkan kuantiti, saya terpaksa menggunakan sos tomato. Masyarakat barat lebih sukakan yang masam dan lebih mesra dipanggil tangy flavour.
  4. Pada asalnya, vinager digunakan dalam sos BBQ untuk mendapatkan sos yang berasid dan masam. Kini tak ramai pengeluar sos BBQ menggunakan vinager kerana harganya yang sedikit mahal. Mereka kini beralih kepada asam jawa kerana ia murah dan semulajadi. Kalau tak ada vinager, jangan gunakan cuka makan. Asam jawa jauh lebih baik dari segi rasa juga harganya.
  5. Mustard dibuat dari biji sawi yang diperap dan dikisar. Dua jenis mustard yang popular iaitu dijon mustard dan yellow mustard. Yellow mustard mempunyai rasa yang lebih tajam hasil daripada teknik perapan yang berbeza. Jika anda tak biasa, kurangkan sukatannya.
  6. BBQ sangat sedap apabila dipanggang diatas bara api. Ia memberikan rasa asap dan dipanggil smokey flavour. Kadang-kadang masyarakat barat menambahkan sedikit kayu bersama arang agar asapnya lebih banyak. Mereka juga menggunakan kayu yang berbeza untuk memberikan rasa yang berbeza.
  7. Jika dipanggang didalam oven, anda boleh mendapatkan smokey flavour dengan menambahkan liquid smoke kedalam sos BBQ. Saya kurang pasti dengan pembuatan liquid smoke. Mungkin ia adalah air yang terhasil dari wap dari pembakaran kayu untuk menghasilkan kayu arang. Jika ini benar, air ini mungkin beralkali tinggi. Air ini memberikan rasa asap seolah-olah BBQ ini dipanggang di atas bara api. Bahan ini juga digunakan dalam kebanyakkan sos BBQ segera di pasaran.
  8. Jika anda menggunakan oven, sila rujuk buku panduan oven kerana suhu dan masa untuk memasak adalah berbeza. Selalulah memerhatikan keadaan rusuk yang dipanggang untuk mendapatkan suhu dan masa yang paling sesuai.
  9. Jika sos BBQ ada lebih, anda boleh sapukan lagi keatas rusuk sewaktu membakar. Ini memberikan lebih rasa kepada BBQ anda. 
  10. BBQ yang dimasak dengan baik adalah BBQ yang tidak hangus, tidak kering tetapi bahagian dalamnya masak dengan sempurna. Jika anda menggunakan bara, pastikan suhunya tidak terlalu tinggi dan kedudukan daging tidak terlalu hampir dengan api. Jika ada grill dengan penutup lebih baik kerana ia dapat mengelakkan kehilangan air yang banyak sekaligus menjadikan BBQ anda berjus didalam.