Dalam banyak-banyak kek, bahulu adalah antara kek yang paling saya tak pandai. Mungkin dahulu saya hanya  menggunakan hand mixer sahaja. Kini saya dah ada Heavy Duty Stand Mixer tetapi hasilnya masih belum memuaskan hati saya. Saya pun tak berapa faham dimana kekurangannya lagi. Walaupun bahulu gulung ini lembut seperti swiss roll tetapi masih belum seperti yang saya harapkan. Sesiapa yang mempunyai resepi bahulu tak kira sama ada bahulu gulung atau bahulu tradisional, harap dapat kongsikan dengan saya. Saya idamkan resepi bahulu yang senang diubahsuai mengikut kegunaan sama ada untuk dimakan panas-panas yang lembut, halus dan gebu atau dijadikan kuih raya yang rangup dan tahan lama atau dijadikan bahulu gulung sama ada lembut atau keras.


Bahan-bahan untuk Bahulu Gulung
2 bj Telur A
50g Gula Castor
60g Tepung Naik Sendiri
½ cmt esen vanila atau perisa buah-buahan/ kopi atau coklat
1 cmb Air Panas
Sedikit jem atau buttercream


Cara membuat Bahulu Gulung
  1. Sediakan acuan bersaiz 10 inci. Alaskan bawah dan tepinya dengan kertas minyak.
  2. Panaskan oven dengan suhu 200˚C dengan fungsi turbo fan atau 220˚C untuk oven biasa.
  3. Pukul telur dengan kelajuan sederhana sehingga berbuih kasar.
  4. Sambil terus dipukul, masukkan gula castor sedikit demi sedikit sehingga habis. Teruskan memukul sehingga mendapat adunan yang putih dan halus.
  5. Tambahkan esen atau perasa.
  6. Dengan menggunakan spatula, kaub balikkan tepung yang telah diayak kedalam adunan sedikit demi sedikit sehingga tepung bersatu sepenuhnya.
  7. Tambahkan air panas dan kacau sedikit lagi.
  8. Tuangkan kedalam acuan, ratakan dan bakar dalam ketuhar selama 10 hingga 12 minit.
  9. Setelah masak, sejukkan sebentar diatas redai.
  10. Setelah permukaan atasnya kering dan tak melekat, terbalikkan diatas kain maslin atau plastic sling.
  11. Sapukan jem atau buttercream dan gulung. Gunakan kain atau plastik alas tadi untuk memudahkan menggulung.
  12. Biarkan ia bergulung sebentar untuk menetapkan bentuknya. Potong dan hidangkan.


Tip Masakan Berguna.
  1. Agak sukar menentukan berapa kuat adunan perlu dipukul. Mungkin saya memerlukan banyak latihan lagi. Sekarang ini saya sekadar memukul dengan kelajuan sederhana dengan agak lama. Jika pukulan terlalu kuat, dikuatiri adunan menjadi terlalu kental hinggakan sukar digaulkan dengan tepung. Bahulu yang terhasil juga akan mempunyai rongga-rongga yang besar.
  2. Air panas bertujuan untuk mengekalkan konsistensi adunan kerana selepas tepung dimasukkan, adunan akan menjadi lebih pekat. Jadi air akan mencairkan sedikit adunan bahulu nanti.
  3. Sebelum menggulung bahulu, trim sedikit bahagian tepi kek supaya bahagian keras dibuang. Bahagian keras ini jika digulung akan menyebabkan bahulu pecah.