Ramai surirumah terutama yang bekerja, memilih untuk makan di luar bukan kerana kerana mereka banyak wang. Bukan juga kerana mereka pemalas atau tak reti memasak. Mereka sebenarnya tak sempat atau tak larat untuk memasak setelah pulang dari bekerja. Dengan desakan dari anak-anak yang sentiasa je lapar macam anak saya, cara yang paling mudah tentulah membawa mereka semua makan diluar. Kalau nak keluar pun tak larat, mereka akan membeli makanan segera melalui telefon. Walaupun dalam kesempitan wang dihujung bulan, perut anak-anak tetap perlu diisi. Saya harap resepi mudah, ringkas dan cepat seperti ayam sira karamel ini sedikit sebanyak boleh membantu surirumah yang menghadapi situasi seperti ini atau sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit idea hidangan yang sesuai untuk mereka.

Bahan-bahan Ayam Sira Karamel
1/2 ekor ayam paling baik gunakan isi ayam sahaja
100g tepung ayam goreng serbaguna
1/2 L minyak masak
1 ulas bawang putih
1 cmb cili boh
5 cmb gula pasir
1/4 cwn air
1/2 cmt jus limau atau cuka
Garam

Cara membuat Ayam Sira Karamel
  1. Potong ayam kecil-kecil dan perapkan dengan tepung ayam goreng serbaguna dan air.
  2. Panaskan minyak masak untuk menggoreng tenggelam dan gorengkan ayam sehingga garing. Dan ketepikan.
  3. Keluarkan dari kuali dan tinggalkan hanya 1 cmb sahaja.
  4. Cincang atau ketuk bawang putih dan tumiskan sehingga wangi.
  5. Masukkan cili boh dan goreng sehingga agak garing.
  6. Masukkan gula pasir, jus limau dan garam dan kacau sehingga gula cair dan berbuih.
  7. Masukkan ayam yang digoreng tadi dan gaul rata sehingga karamel menyaluti keseluruhan ayam.
  8. Hidangkan bersama nasi.

Tip Masakan Berguna

  1. Saya lebih suka menyaluti ayam dengan tepung dalam keadaan basah. Macam jemput-jemput la lebih kurang kerana saya akan memperolehi ayam dengan salutan yang lebih tebal dengan cara mudah.
  2. Telah banyak tepung gorengan serbaguna yang saya cuba dan saya paling suka jenama Berpadu. Pada saya jenama ini paling mudah digunakan untuk mendapatkan hasil yang menarik. Satu lagi kelebihannya, jika tepung ini dicampur dengan tepung gandum dengan nisbah 1:1, kemudian dijadikan batter, kita boleh menggunakan tepung ini untuk menggoreng sayur-sayuran dan makanan laut seperti sotong dan udang. Hasilnya akan menggelembung apabila digoreng seperti kita menggunakan tepung tempura.
  3. Jika salutan karamel pada ayam tidak menyeluruh, anda boleh menambahkan sedikit air untuk mencairkan karamel. Masak lagi sehingga kering.