Saya rasa anda semua dah tahu, saya dan kicap memang tak dapat dipisahkan. Banyak hidangan yang saya rasakan menjadi lebih sedap dengan kicap. Ada beberapa hidangan yang saya rasakan sangat sedap dengan kicap. Jika saya masak hidangan ini, ia pasti dihidangkan dengan kicap. Hidangan itu adalah sambal tumis dan masak lemak cili api. Bagaimanapun tak de la sampai makan nasi lemak dengan kicap walaupun ia dihidangkan dengan sambal tumis. Oleh kerana kesesuaiannya yang saya rasakan, apa kata kita gabungkan terus sambal dengan kicap menjad resepi Ayam Sambal Kicap seperti dibawah.


Bahan-bahan untuk Resepi Ayam Sambal Kicap
½ ekor Ayam
20 tangkai Cili Kering
2 bj Bawang Besar
4 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
½ btg Carrot
2 bj Tomato
¼ cwn Minyak Masak
5 cmb Kicap Manis
2 cmt Garam
2 cmb Gula
2 cmt Asam Jawa Tanpa Biji
100ml Air


Cara membuat Ayam Sambal Kicap
  1. Ayam dibersihkan dan dipotong kecil mengikut kesesuaian anda.
  2. Cili kering di rendam, dikisar dengan sedikit air untuk dijadikan cili boh.
  3. Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris nipis. Carrot dipotong tebal memanjang.
  4. Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia sehingga layu.
  5. Masukkan cili boh dan tumis sehingga cili menjadi garing.
  6. Masukkan ayam, gaul rata.
  7. Biarkan isi ayam menjadi putih barulah dimasukkan air, kicap, carrot, garam, gula dan jus asam jawa.
  8. Masak sehingga ayam empuk dan kuah menjadi sedikit pekat sebelum dimasukkan tomato yang dibelah empat.
  9. Hidangkan bersama nasi putih ketika panas.

Tip Masakan Komersial.

  1. Hidangan diatas mudah dan ringkas sahaja. Sesuai dijadikan juadah seharian bersama keluarga. Bahan-bahan yang digunakan juga mudah diperolehi.Harap anda dapat merasai gabungan sambal dan kicap yang saya maksudkan.
  2. Masakan begini sangat menghampiri padprik dari masakan thai. Anda boleh tambah beberapa herba kegemaran thai yang wangi seperti serai, daun limau purut, daun ketumbar dan sebagainya. Hidangan akan menjadi lebih beraroma dengan keunikan masakan thai.
  3. Saya memang menggunakan carrot dalam kebanyakkan hidangan saya. Bukan sahaja kerana khasiatnya tetapi kerana ketahanannya ketika berada didalam peti ais. Harganya juga murah. Dengan cara ini sahaja saya tak perlu selalu ke pasar. Anda boleh menggunakan segala jenis sayuran kegemaran anda dalam hidangan ini kerana hidangan ini adalah hidangan umum masyarakat Malaysia.