Dalam kehidupan hari ini, ramai surirumah yang turut mempunyai kerjaya mereka sendiri. Ini menyebabkan tugas penting seperti menyediakan hidangan untuk keluarga sering tergendala. Ada yang terpaksa menggajikan pembantu rumah. Ada juga yang sering sangat makan diluar dan yang paling teruk, mereka hanya dapat meninggalkan wang dibawah tudung saji sahaja. Bagi yang berpendapatan rendah pula, mereka akan bergantung harap pada makanan-makanan segera, perencah segera, makanan sejukbeku juga makanan dalam tin. Saya berpendapat, resepi yang mudah, cepat dan jimat memang amat penting zaman ini. Contohnya adalah seperti Ayam Masak Ungkep yang saya pelajari dari mak saya sejak kecil lagi. Bahan yang digunakan sangat sedikit. Maklumlah, dulu kami memang sukar sangat nak mendapatkan bahan yang diperlukan. Masakan yang ringkas dan jimat beginilah yang sering menjadi santapan kami sekeluarga. Masakan ini juga tidak memerlukan perhatian yang banyak kerana ia masih lagi menggunakan teknik stew. Bezanya ini jenis stew orang jawa. Kalau stew daging lembu yang saya paparkan dulu dah tentulah masakan barat.


Bahan-bahan untuk Ayam Masak Ungkep
½ ekor Ayam
1 inci Halia
2 btg Serai
1 bj Bawang Besar
2 cmt Kunyit Serbuk atau Hidup
2 ulas Bawang Besar
1 cmt Garam
2 cmt Gula
1 cmb jus limau nipis
2 cmb Minyak Masak
1 cwn Air


Cara membuat Ayam Masak Ungkep
Ayam dipotong mengikut suka. Halia, bawang besar, kunyit, dan bawang putih ditumbuk atau dikisar halus.
Panaskan minyak masak. Ketuk serai dan tumis sehingga wangi.
Tumiskan juga bahan tumbuk sehingga naik baunya.
Masukkan ayam. Gaul dan biarkan ayam menjadi sedikit keperangan permukaannya.
Tambahkan 1 cwn air. Perasakan dengan garam, gula dan asam.
Tutup dan biarkan masakan merenih sehingga kuahnya menjadi pekat. Ini mengambil masa lebih kurang 15-30 minit bergantung kepada kekuatan api.
Angkat dan hidangkan panas-panas bersama nasi.


Tip Masakan Berguna
Ayam digoreng dahulu bersama bumbunya sehingga keperangan supaya ayam tidak kering. Proses ini menjadikan jus ayam kekal walaupun direnih lama. Teknik ini sangat penting dalam masakan jenis stew. Boleh rujuk entri Stew Daging Lembu untuk lebih maklumat mengenai teknik ini.
Dalam gambar, hidangan ini tidak kuning kerana saya tak menambahkan kunyit sebab kehabisan stok. Kadang-kadang terkucil juga. Kunyit bukan sahaja memberikan warna tetapi juga rasa dalam masakan ini. Jadi kalau ada, elok jangan ditinggalkan.
Masakan ini tidak menggunakan bahan pemekat sama ada tepung jagung, roux atau bahan yang boleh memekatkan kuah seperti kentang, kekacang dan sebagainya. Kuah ungkep menjadi pekat kerana saya menggunakan rencah yang banyak terutama bawang besar.
Masakan ini boleh dikatakan pecahan daripada rendang. Jika ditambahkan rempah-rempah dan dimasak sehingga kering, kita akan mendapatrendang ayam yang ringkas tanpa santan.