Balik kampung dua minggu, sejuk la blog Resepi Masakan Barat Komersial. Hujung minggu ni pula, anak saya menyertai persembahan tarian di Plaza Angsana. Kena la balik awal untuk latihan tarian. Kalau nak tengok anak saya menari, boleh la datang ke Plaza Angsana 22 Disember 2012 ni.

10 Resepi Yang Termasuk Dalam Kategori Penderaan Makanan Tapi Ramai Yang Dah Cuba. Klik Disini

Musim cuti sekolah ni, menu utama anda, tentu nasi pengantin. Orang yang sibuk macam saya ni, dapat la makan dua tiga kali sepanjang cuti sekolah kali ni. Rata-rata rasa masakannya sama je. Tak kurang, tak lebih. Tak sedap sangat, tak hanchik sangat. Semuanya cukup-cukup je. Memang begitu la bila menggunakan perkhidmatan katering. Pengusaha mahu untung, pelanggan mahu murah. Tapi bila buat ayam masak merah sendiri seperti ini, tentu kita nakkan rasa yang sangat sedap tapi kos tetap menjimatkan. Jadi caranya kena betul. Kalau salah, jadi
sambal ayam pulak.


Bahan-bahan untuk Resepi Ayam Masak Merah
½ ekor Ayam
1 cmt Serbuk Kunyit
1 kuntum Bunga Lawang
1 cm Kulit Kayu Manis
2 bj Buah Pelaga
3 kuntum Bunga Cengkih
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
1 btg Serai
½ inci Lengkuas
20 tangkai Cili Kering
3 cmb Sos Cili
2 cmb Air Asam Jawa
2 cmb Gula Pasir
Minyak masak untuk menggoreng dan menumis.
Garam


Cara membuat Ayam Masak Merah
  1. Ayam dipotong dan dibersihkan. Perapkan dengan garam dan kunyit.
  2. Panaskan minyak masak dan gorengkan ayam sehingga masak. Tuskan dan ketepikan.
  3. Cili kering direndam dan dikisar halus. Bawang besar dan bawang putih di hiris. Halia dan lengkuas di cincang. Boleh juga dikisar bersama cili kering. Serai di ketuk.
  4. Panaskan ¼ cwn minyak masak. Tumiskan bunga lawang, kulit kayu manis, bunga cengki,h buah pelaga dan serai sehingga naik bau.
  5. Masukkan bawang besar, bawang putih, halia dan lengkuas. Tumis sehingga layu.
  6. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga cili garing dan berkilat.
  7. Tambah sos cili dan perasakan dengan garam, gula dan air asam jawa.
  8. Apabila masakan menjadi sedikit pekat, masukkan ayam yang telah digoreng. Gaul rata.
  9. Masak sebentar sahaja lagi untuk memanaskan ayam dan bolehlah dihidangkan bersama nasi beriani atau nasi minyak.


Tip Masakan Komersial
  1. Teknik menggoreng ayam masih sama iaitu menggunakan api yang sederhana besar agar jusnya dapat dikekalkan bahagian luarnya garing. Tetapi pastikan ayam masak sepenuhnya dan tidak hangus. Ayam yang digoreng begini tidak kering dan kita akan dapat perbezaannya terutama pada bahagian dada.
  2. Kalau anda pernah bergotong-royong menyediakan masakan kenduri, anda akan dapati untuk resepi ayam masak merah, orang kampung menambah sos-sos lain seperti sos tomato atau tomato puri. Saya hanya menggunakan sos cili kerana agak leceh menggunakan banyak bahan. Dapur saya pun tak muat untuk menyimpan berbagai sos. Jadi sos cili sahaja sudah mencukupi tetapi perlu diseimbangkan rasa masamnya dengan jus asam jawa atau limau nipis.
  3. Dengan teknik dan kaedah yang sama, anda boleh membuat ayam masak tomato dengan menambah sos tomato atau tomato puri dan kurangkan cili untuk menguatkan rasa tomato dan menambahkan rasa masam.Tanpa rempah tumis, dan sos-sos pula anda akan mendapat sambal ayam yang sedap.
  4. Secara mudahnya, ayam masak tomato mempunyai lebih rasa masam. Sambal ayam pula mempunyai rasa yang lebih manis tanpa bau dan rasa rempah. Untuk ayam masak merah, rasa manisnya sederhana sahaja. Anggarannya lebih kurang 2 cmb gula untuk setiap 1 cmt garam. Keseimbangan rasa masin manis dan masam ini sangat penting yang dapat membezakan setiap masakan. Jika anda mahir dengan tahap keseimbangan ini, anda boleh membuat masakan seperti ini walaupun tanpa bahan yang mencukupi dengan menggunakan bahan yang berada disekeliling anda.
  5. Pengusaha katering perlu mahir dalam penggunaan bahan agar tiada bahan yang dibazirkan. Maksud saya, jika anda masak resepi diatas menggunakan 3 bj bawang besar, rasanya masih kekal sama. Jadi mengapa perlu menggunakan sehingga 3 biji sedangkan anda boleh berjimat dengan hanya menggunakan 1 bj bawang besar sahaja. Dengan ini, masakan mereka tidaklah terlalu sedap sehingga terpaksa mengeluarkan kos yang lebih atau tidaklah terlalu teruk sehinggakan tiada pelanggan ingin menggunakan perkhidmatan mereka. Beginilah cara berniaga yang lebih baik. Pelanggan bayar lebih, pengusaha bagi lebih. Pelanggan bagi kurang, pengusaha bagi kurang tetapi bukan yang tak sedap.