Macam biasa, sebelum membaca resepi pasti saya selitkan bebelan berkhasiat untuk kita fikirkan bersama-sama. Saya agak tertarik dengan cerita seorang hajah ni. Beliau antara yang berjaya dalam perniagaan tetapi tidak pernah melupakan insan yang kurang bernasib baik. Jadi cerita beliau sentiasa penuh dengan teladan dan pebuh semangat untuk kita semua membangun menuju kejayaan. Menurut beliau, diawal pembabitannya dalam perniagaan, beliau gamble sahaja mengimport satu kontena beras untuk dijual di Malaysia. Kemudian, menurutnya lagi, setelah beras sampai, mula la pening kepala kerana tak tahu mana nak jual. Dengan usaha keras, akhirnya habis juga beras dijual dan mendapat keuntungan. Inilah keberanian yang perlu ada dalam setiap usahawan. Ada bagusnya juga bertindak berani begini. Apabila terfikir untuk berniaga, terus mulakan tanpa bertangguh. Jika asyik berfikir sahaja tanpa bertindak, kemungkinan besar satu apa pun tak buat. Lagipun, setelah beras yang dipesan sampai, nak tak nak terpaksa juga berusaha sepenuh tenaga secepat mungkin mengedarkan sebelum semuanya rosak. Perasaan untuk tidak mahu menanggung rugi besar ini, membangkitkan perasaan ungin berusaha bersungguh-sungguh. Cuba bayangkan kalau tidak bertindak berani begini. "Tak payah order dulu la, belum ada pembeli ni." "Buat apa nak cari pembeli cepat-cepat, bukan rugi pun."

Kacang panjang memang sedap jika dimasak lemak. Dari dulu lagi saya rasakan masakan ini ada keistimewaan. Tak banyak sayur-sayuran yang saya gemari untuk dibuat masak lemak. Antara yang saya minati, pucuk manis, turi, rebung, sawi putih, labu dan sebagainya. Kebanyakkannya sayuran kampung. Tetapi kacang panjang adalah antara sayur yang mudah dibeli dibandar dan banyak dijual sepanjang tahun. Kalau digandingkan dengan ayam, memang lagi terangkat la.

 
Bahan-bahan untuk Ayam Masak Lemak dengan Kacang Panjang
1/2 ekor Ayam
5 tangkai Kacang Panjang
1/2 bj Bawang Besar
2 bj Cili Merah - cili padi kalau nak pedas
2 ulas Bawang Putih
1/2 cmb Kunyit
1/2 inci Halia
500ml Santan dari 1/2 bj kelapa
2 cmb Jus Limau atau 1 kpg asam gelugur
1 cmt Garam


Cara Membuat Ayam Masak Lemak dengan Kacang Panjang

  1. Bawang besar, cili merah, bawang putih dan halia ditumbuk kasar.
  2. Kacang panjang dipotong sepanjang 1 inci, ayam dipotong 6.
  3. Satukan bahan yang ditumbuk, serbuk kunyit, santan dan ayam dalam periuk.
  4. Nyalakan api besar dan sentiasa kacau bahagian tepi periuk supaya tidak bertahi minyak.
  5. Setelah mendidih, perlahankan api. Perasakan dengan garam dan jus limau.
  6. Biarkan merenih sehingga ayam masak.
  7. Masukkan kacang panjang, biarkan sebentar barulah ditutup api dan dihidang.


Tip Masakan Komersial

  1. Macam biasa la, resepi saya selalunya ringkas dan cepat lagi menjimatkan. Masak lemak begini sering menggunakan serai untuk menjadikan masakan lebih wangi. Herba lain, saya rasa tidak begitu menyerlah.
  2. Kadang-kadang, saya tumis juga bahan tumbuk dengan sedikit minyak. Biasanya jika menggunakan bahagian yang tidak begitu berlemak atau jika menggunakan daging salai. Kali ini, tak perlu tumis la. Ini pun dah banyak minyak ayam yang keluar. Dalam santan pun dah ada minyak. Cukup la kolesterol setakat itu.
  3. Nak guna susu cair? Boleh tapi tak boleh la menjadi pekat. Susu pun tak boleh guna banyak untuk mengelakkan rasa susu wujud dalam masakan. Kita cuma mahukan rasa lemaknya sahaja. Jika mahukan kuah yang pekat, lebihkan bahan tumbuk. Kalau boleh jangan buat berkuah, lagi sedap.
  4. Anda boleh menambah sayur yang memberi warna kepada masakan ini. Boleh cuba cili merah yang dibelah, tomato atau carrot. Kalau jual digerai-gerai, tak perlu la semua tu. Kalau untuk majlis, memang benda ini perlu untuk meningkatkan kualiti masakan. Barulah orang tengok ada kelas.