Masak kuzi satu lagi hidangan berempah yang kurang popular berbanding kari, kurma, beriani dan sebagainya. Sama seperti resepi opor, kuzi kurang dikenali bahkan ramai yang tak dapat membezakan rasa hidangan-hidangan ini kerana bahannya lebih kurang sama. Saya harap anda dapat membandingkan resepi ayam masak kuzi ini dengan resepi opor ayam yang pernah saya paparkan ini. Dari sezi rasa, sebenarnya banyak bezanya cuma ia kurang dikenali menyebabkan ramai yang tak mempedulikan rasanya.

Bahan-bahan untuk Resepi Ayam Masak Kuzi
1 ekor Ayam
2 btg Serai
1 helai Daun Pandan
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
2 cm Halia
3 cmb Cili Boh
1 cmb Ketumbar
½ cmb Jintan Putih
½ cmb Jintan Manis
2 cmb Tomato Puri
200ml Susu Cair
30g Daun Ketumbar
¼ cwn Minyak Masak
3 kuntum Bunga Cengkih
1 inci Kulit Kayu Manis
2 kuntum Bunga Lawang
2 bj Buah Pelaga
Garam dan gula secukup rasa


Cara membuat Ayam Masak Kuzi
  1. Kisar bawang besar, bawang putih dan halia sehingga halus. Campurkan dengan cili boh.
  2. Kisar berasingan ketumbar, jintan putih dan jintan manis secara berasingan.
  3. Ayam dipotong kecil dan dibersihkan. Daun ketumbar dicincang dan serai dititik. Daun pandan disimpul.
  4. Panaskan minyak masak dan tumiskan serai, pandan, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang sehingga wangi.
  5. Masukkan bahan kisar bawang dan cili boh. Tumis lagi sehingga garing.
  6. Masukkan ketumbar dan jintan kisar. Masak sehingga wangi.
  7. Masukkan ayam dan tomato puri. Kacau dan biarkan ayam mengecut sedikit lebih kurang 15 minit.
  8. Masukkan susu cair dan masak sehingga pekat. Perasakan dengan garam dan gula.
  9. Sebelum tutup api, masukkan daun ketumbar dan biarkan layu.


Tip Masakan Komersial
  1. Resepi diatas adalah asas sahaja untuk kuzi kerana saya mengurangkan bahan yang mahal dan tidak mempunyai kesan yang kuat. Anda boleh menambahkan beberapa bahan yang boleh menjadikan kuzi ayam lebih sedap dan wangi seperti minyak sapi, yogurt, daun pudina, cili hijau dan air ros. Bagi saya serai, rempah-rempah, daun pandan dan daun ketumbar sudah mencukupi tapi kalau ada pasti saya akan gunakan.
  2. Opor ayam mempunyai bau dan rasa jintan yang lebih kuat kerana ia menggunakan lebih banyak rempah ini. Selain itu, opor ayam juga perlu pedas dan manis dimana kepedasannya datang dari lada hitam. Jika dirasa kedua-duanya, pasti anda dapat membezakan antara kuzi dengan opor.
  3. Adalah lebih baik jika anda memahirkan penggunaan jintan manis, jintan putih dan ketumbar kerana kebanyakkan masakan melayu dan india menggunakan bahan ini sebagai rempah utamanya. Kalau boleh, sediakan serbuk rempah-rempah ini agar mudah digunakan nanti. Dengan cara ini, anda tak perlu lagi bergantung kepada rempah-rempah segera seperti kari, kurma, sup, beriani dan sebagainya yang ada dipasaran. Pasti hidangan anda lebih unik kerana anda sendiri yang akan mengadunkan rempahnya.