Mempelajari hidangan kos rendah seperti Ayam Masak Kicap Pekat ini nampaknya menjadi sangat perlu sekarang ni. Dalam masa seminggu, dah mula terasa kesan GST. Barang-barang dan perkhidmatan yang terlibat dengan GST dah tentulah menyebabkan pertambahan dalam perbelanjaan kita. Manakala yang tidak terlibat dengan GST pula, awal-awal lagi dah dinaikkan harga. Kalau dulu, kicap menjadi makanan harian dan sesuai untuk inividu yang kurang berkemampuan macam saya. Kini saya rasa kicap dah menjadi makanan mewah kerana harganya. Dulu, banyak makanan yang dikaitkan dengan pokai, miskin atau orang bujang seperti mi segera, sardin, ikan kering tapi sekarang harga barang-barang tu semuanya melonjak naik. Jauh lebih tinggi dari harga petrol. Harap-harap resepi ayam masak kicap pekat ini dapat membantu kita dalam berjimat cermat atau sekurang-kurangnya dapat memberi idea bagaimana untuk menjimatkan perbelanjaan barang dapur.

Masa saya kecil dulu, saya berazam bila dah besar, dah ada wang sendiri, saya nak beli sesuatu sepuas hati saya. Kini, saya dah bekerja, dah ada duit sendiri, saya masih tak dapat beli apa yang diinginkan. Pernah suatu ketika, saya mendapat RM10 tapi duit tu tak cukup untuk saya. Sekarang saya ada RM100 dan ia masih juga tak cukup. Ertinya, banyak duit yang kita ada, banyaklah yang perlu kita beli. Cuma berjimat cermat sahaja yang dapat mengurangkan bebanan yang disebabkan duit. Oleh kerana makanan merupakan keperluan utama maka, mendalami ilmu dalam menghasilkan hidangan kos rendah  sangat perlu. Jangan berlengah lagi, mari masak Ayam Masak Kicap Pekat.



Bahan-bahan untuk Ayam Masak Kicap Pekat.
500g Ayam
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
 1 bj Cili Merah
½ cwn Kicap Lemak Manis
1 btg Kulit Kayu Manis
3 kuntum Bunga Cengkih
1 kuntum Bunga Lawang
2 bj Buah Pelaga
1 kpg Asam Gelugur
3 cmb Minyak Masak untuk menumis
Minyak Masak yang banyak untuk menggoreng
2 cmt Serbuk Kunyit
Sedikit Garam jika perlu
Sedikit Air



Cara membuat Ayam Masak Kicap Pekat.
  1. Bersihkan Ayam dan perapkan bersama serbuk kunyit dan garam.
  2. Panaskan minyak masak yang banyak dan goreng ayam sehingga garing. Tuskan dan ketepikan.
  3. Bawang besar, bawang putih dan halia di kisar dengan sedikit air sehingga halus.
  4. Panaskan 3 cmb minyak dan tumiskan kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga hingga naik bau.
  5. Masukkan bahan kisar. Tumiskan sehingga harum.
  6. Tambahkan kicap lemak manis dan masukkan asam. Biarkan mendidih.
  7. Masukkan ayam dan cili yang dibelah. Kacau dan masak hingga pekat.
  8. Sebelum dihidang, perasakan jika perlu supaya seimbang semuanya.



Tip Masakan Berguna.
  1. Jika dilihat dari senarai bahan yang diperlukan, memang banyak jenisnya tetapi sebenarnya kos untuk masakan ini adalah rendah. Bahan yang paling tinggi harganya adalah ayam dan kicap. 
  2. Jika menggunakan kicap pekat, memang lebih murah tetapi saya manjangkakan kebanyakkan rumah hanya menyediakan satu jenis kicap sahaja. Belum pernah saya lihat rumah seseorang mempunyai segala jenis kicap seperti kicap pekat, kicap manis, kicap masin dan sebagainya. Jadi resepi ini menggunakan kicap yang paling popular dan ada dikebanyakkan rumah penggemar kicap.
  3. Ada beberapa lagi sebab mengapa saya tidak menggunakan kicap pekat. Kicap pekat biasanya mempunyai rasa yang manis namun apabila membuat masak kicap, kita hanya perlu memasukkan sedikit sahaja. Oleh itu kita perlu menambahkan air dan perasakan semula dengan garam dan gula. Bagi yang tidak mahir mendapatkan rasa yang seimbang, kicap lemak manis lebih mudah kerana rasanya dah seimbang jadi tak perlu diubah lagi.
  4. Saya sangat suka rasa kicap yang dimasak sehingga berkaramel. Rasa ini sangat sedap kerana apabila kicap memekat, rasa kicapnya menjadi lebih kuat. kicap pekat apabila dicairkan sedikit menyebabkan rasa kicapnya menjadi kurang. Kicap pekat banyak mengandungi karamel iaitu hasil sampingan dalam pembuatan gula pasir.  Oleh itu rasa kicapnya tenggelam dalam masakan.
  5. Aroma sangat penting dalam masakan kerana ia elemen kedua yang boleh menyebabkan seseorang itu memakan hidangan selepas rupa. Kalau rupanya hitam legam lepas tu baunya tidak menarik, besar kemungkinan kita tak selera nak menyentuh sesuatu makanan. Jadi pastikan haruman dari rempah empat sekawan dan tumisan bahan kisar memenuhi ruang makan anda.
  6. Masakan ini satu-satunya yang saya tak suka menambahkan sayur. Ini kerana warnanya hitam dan pekat menyebabkan apa sahaja sayuran yang kita masukkan akan berubah menjadi hitam juga. Tapi bukan bermakna kita tak boleh letak sayur.  Cubalah gandingkan dengan ulam-ulaman dimana sayur ini tak perlu dimasak. Letak atas daun salad pun dah ok. Yang penting mesti ada sayur. Boleh juga dimasak sayur secara berasingan kemudian dihidangkan bersama dalam satu pinggan.