Ini bukan ayam madu bakar yang popular tu tetapi resepi ayam madu mamak yang hanya dijual di restoran mamak tertentu sahaja. Sekarang ni mamak lebih suka menyediakan ayam masak merah yang dah banyak diresapi ciri-ciri kemelayuan. Kenduri kahwin selalunya ada ayam masak merah tapi belum pernah saya jumpa yang menghidangkan ayam madu.

Suatu ketika dahulu, ayah saya makan di restoran mamak di Kuala Lumpur dan memilih ayam madu sebagai menu tengah harinya. Sangkaannya ayam masak merah. Sewaktu makan dia berasa pelik, kenapa la ayam ni manis je dah macam masakan pantai timur. Bila saya masak ayam cara ini barulah dia tahu inilah ayam madu tapi kenapa kali ni ayam madunya sedap pulak? Ayam madu dulu macam tak sesuai je dimakan dengan nasi. Bezanya ayam madu yang dia makan dulu, sambalnya tidak cukup garing dan berkilat. Patut la... teknik tak betul.


Bahan-bahan Ayam Madu
6 ketul ayam
10 tangkai lada kering
1/2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 bj buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
1/2 bj bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
6 cmb gula
2 cmb madu
1 cmt garam
1/2 cwn minyak masak
1 cmb cuka


Cara membuat ayam madu
  1. Goreng ayam mengikut cara anda sendiri. Mamak biasanya goreng menggunakan tepung yang tebal.
  2. Kisar lada kering, bawang besar, bawang putih, halia sehingga hancur.
  3. Panaskan minyak dan tumiskkan kullit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.
  4. Setelah harum, tumiskan bahan kisar. Kacau sehingga lada betul-betul garing.
  5. Masukkan gula, madu, cuka dan garam. Jika terlalu kering, masukkan 1/4 cawan air dahulu sebelum dimasukkan gula dan madu.
  6. Akhir sekali, masukkan ayam goreng dan digaul sebati. Sedia untuk dihidangkan.


Tip masakan komersial

  1. Saya sangat suka menggunakan ayam yang digoreng tepung yang tebal kerana tepung ini akan kembang apabila digaulkan dengan kuah ayam madu. Rasa kuah ayam madu akan meresap dalam tepung.
  2. Anda boleh menggoreng ayam dengan mana-mana tepung ayam goreng segera yang terdapat dipasaran. Jika berpeluang, saya akan kongsikan resepi ayam goreng suatu hari nanti. Campurkan dengan sedikit rempah kari supaya sesuai dengan ciri-ciri masakan India.
  3. Harga madu memang mahal, jadi untuk menjimatkan kos, menggunakan 2 cmb madu sudah mencukupi dan ditambah dengan gula. Dapatkan madu yang mempunyai warna gelap dengan rasa yang kuat. Kalau dapat, guna madu yang telah disimpan beberapa tahun. Guna sikit pun dah terasa.
  4. Boleh gunakan serai tetapi jangan sekali-kali dikisar. Tumis bersama rempah penumis. Begitu juga dengan daun kari.
  5. Gula akan membuatkan ayam madu lebih berkilat tetapi gula mudah hangus dan berketul bila bercampur dengan minyak panas. Jadi jangan masukkan gula jika kuahnya kering. Masukkan air terlebih dahulu. Lebihkan air jika ingin ayam madu yang lebih berkuah. Perasakan semua dengan seimbang.
  6. Hias la sikit ayam madu tu. Jangan biarkan togel je macam gambar saya. Taburkan daun saderi atau bawang goreng pun ok.