Kalau untuk makan sendiri, saya jarang menyusahkan diri dengan resepi-resepi yang menggunakan bahan yang banyak. Asalkan keseimbangan rasa garam gula dan asamnya dapat dicapai, dah mencukupi untuk keluarga saya. Lain la kalau mak mertua datang. Kena la bersusah payah sikit. Perlu dapatkan aroma yang betul, dan tekstur yang cantik selain rasa yang mesti sedap. Untuk resepi ayam lada hitam yang dibawah ini, saya ketegorikan dalam resepi senang. Tak perlu nak menggunakan rempah tumis untuk aroma. Saya hanya gabungkan resepi stir fry dari masakan cina kemudian menambah lebih banyak lada hitam untuk memberikan rasa pedas. Sekurang-kurangnya resepi ni masih belum menyimpang dari tajuk asal. Bahan yang saya suka macam carrot tu, memang saya akan letak banyak. Lepas tu potong kasar-kasar.






Bahan-bahan untuk Ayam Lada Hitam
500g Isi Ayam.
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
½ bj Bawang Besar
1 bj Cili Merah
1 btg Carrot
1 cmb Lada Hitam
1 cmb Cuka Makan
3 cmb Minyak Masak
5 cmb Kicap Manis
1 cmb Sos Tiram
1 cmb Tepung Jagung
1 cmt Garam
2 cmb Gula



Cara Membuat Ayam Lada Hitam
  1. Isi ayam dibersihkan dan dipotong nipis. Carrot dipotong seperti baton. Cili merah dan bawang besar dihiris nipis.
  2. Halia dan bawang putih ditumbuk halus. Gunakan separuh untuk memerap ayam.
  3. Dalam perapan ayam tambahkan sedikit setiap satunya kicap manis, sos tiram, minyak masak, lada hitam, garam, gula dan cuka. Akhir sekali masukkkan tepung jagung. Gaul dan biarkan dalam setengah jam. 
  4. Panaskan minyak masak dan gorengkan carrot sehingga sedikit lembut. Keluarkan dan tuskan dari kuali dan ketepikan.
  5. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumiskan bawang putih dan halia tumbuk serta bawang besar.
  6. Besarkan api, gorengkan ayam yang telah diperap. Sentiasa gaul agar ayam tidak melekat sesama sendiri. Dalam masa yang sama kena pastikan salutan perapan ayam tidak tertanggal.
  7. Gorengkan dalam 30 saat kemudian kecilkan api.
  8. Masukkan carrot kemudian perasakan dengan garam, gula, kicap, sos tiram, lada hitam dan cuka lagi jika perlu.
  9. Akhir sekali masukkan cili merah dan hidangkan panas-panas bersama nasi.


Tip Masakan Komersial
  1. Carrot perlu digoreng dahulu kerana ia lambat empuk. Jika anda sukakan carrot yang lembut, mungkin perlu menambah sedikit air. Lebih besar potong carrot, lebih lama masa yang diperlukan untuk menjadi lembut.
  2. Memang sukar nak memastikan salutan isi ayam melekat pada ayam sambil mengasingkan isi ayam agar tidak melekat sesama mereka. Anda sepatutnya mendapat salutan yang berkilat dan pekat setelah digoreng. Biasanya, salutan ini akan melekat pada kuali atau sudip. Jadi saya cadangkan anda menggunakan kuali tak melekat dengan lebih banyak minyak. Minyak berlebihan ini perlu dikeluarkan semula setelah ayam garing. Jika tukang masak professional, mereka lambung je semuanya jadi tiada salutan yang tertanggal atau melekat pada sudip.
  3. Ayam perlu digoreng dengan api besar agar jusnya tidak keluar yang mengakibatkan ayam menjadi keras dan kurang perisanya. Perapan membantu mengekalkan jus ayam. Biasanya ayam yang digunakan adalah bahagian dada. Jadi jika jus ayamnya keluar, tinggallah isi ayam yang kering yang tak sedap dimakan.
  4. Gunakan lebih banyak sayur yang menjadi kegemaran masyarakat cina. Boleh tambahkan kacang panjang, leek, daun bawang, celery dan sebagainya. Tambahkan diakhir masakan agar sayur-sayuran ini kekal segar dan berkhasiat.
  5. Kalau tambahkan rempah tumis, hidangan akan lebih beraroma. Jadi tambahkan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bunga cengkih terutama bila seseorang yang istimewa datang. Barulah keharumannya merebak hingga ke ruang tamu.
  6. Bila saya tak gunakan rempah penumis, saya akan menggunakan distiled vinager kerana ia memberikan keharuman yang unik dan tajam. Rasa hidangan juga lebih unik dan berlainan hingga sukar kawan-kawan mengenalpasti bahan apa yang anda gunakan. Jadikan ia sebagai rahsia masakan anda.