Seperti yang kita tahu, nasi ayam dikenali sebagai masakan popular cina. Oleh itu nasi ayam tak banyak menggunakan rempah. Cuma sekarang ni, nasi ayam dah berevolusi di Malaysia. Penggunaan rempah-rempah dalam nasi ayam ternyata menepati selera penduduk Malaysia.
Namun hari ini, saya hanya ingin menyentuh mengenai Resepi Ayam Kukus sahaja. Resepi ini menepati menepati masakan cina. Walaupun ia bukan Nasi Ayam Hainan yang popular tu tapi kelebihannya sangat banyak. Diantaranya, Resepi Ayam Kukus ini, sangat senang disediakan, sangat menjimatkan kerana menggunakan bahan yang ringkas dan biasa terdapat di dapur serta rupanya yang cantik terutama sosnya yang likat dan berkilat. Paling utama, rasanya memang sedap dengan rasa manis, sedikit masam dan beraroma.



Bahan-bahan untuk Resepi Ayam Kukus Nasi Ayam
¼ ekor Ayam
1 inci Halia
2 ulas Bawang Putih
1 cmt Sos Tiram
Secubit Serbuk Lada Hitam
2 cmt Madu
1 cmt Garam
1 cmb Gula
½ cmt Minyak Bijan
1 cmt Cuka
1 cmb Tepung Jagung yang dibancuh dengan ¼ cwn air



Cara Membuat Ayam Kukus Nasi Ayam
  1. Bersihkan ayam dan tuskan. Jika perlu lapkan dengan tisu supaya permukaannya kering.
  2. Halia dan bawang putih ditumbuk halus. Sebaiknya gunakan lesung batu.
  3. Campurkan semua bahan, gaul rata dan lumurkan pada ayam.
  4. Perapkan ayam selama sekurang-kurangnya ½ jam dalam peti ais.
  5. Letakkan ayam dalam pengukus. Gunakan pinggan atau mangkuk tahan panas yang melengkung supaya dapat menakung air yang terhasil nanti.
  6. Kukuskan dengan api sederhana kuat selama 20 – 30 minit.
  7. Setelah masak, keluarkan ayam dan letakkan dalam pinggan hidang.
  8. Air ayam yang ditakung tadi, perlu ditapis dan dimasak semula secara terus menggunakan kuali atau periuk. 
  9. Perasakan air tadi dengan garam dan gula lagi jika perlu sekiranya masih belum seimbang.
  10. Apabila mendidih, masukkan air tepung jagung sedikit demi sedikit sambil dikacau laju. Tak perlu dihabiskan tepung jagung tadi, cukup sekadar sosnya menjadi pekat.
  11. Masak lagi 10 hingga 15 minit untuk sos menjadi berkilat. Pastikan rasanya masih seimbang.
  12. Akhir sekali, curahkan keatas ayam tadi dan hidangkan panas-panas bersama nasi berperisa.



Tip Masakan Komersial
  1. Ayam yang dimasak secara kukus kini boleh menjadi produk jualan yang popular kerana masyarakat kini mulai sedar peranan makanan berkhasiat dalam perniagaan. Pengguna kini bijak memilih makanan mereka sendiri dan bukan sahaja mementingkan citarasa semata-mata.
  2. Resepi Ayam kukus ini sangat menjimatkan dan mudah disediakan. Tiada masalah langsung dalam penyediaan kerana kaedah mengukus memastikan ayam dimasak dengan suhu yang sama setiap kali selagi air kukusan yang digunakan adalah air biasa.
  3. Ada juga saya dapati resepi ayam kukus yang menggoreng ayamnya sebentar selepas dikukus untuk mendapatkan kulit yang rangup dan garing. Ada juga yang sekadar menyiramkan dengan minyak panas. Bagi saya, cara ini hanya merosakkan imej hidangan berkhasiat.
  4. Kelebihan memasak secara kukus ini membolehkan ayam memelihara jus dan rasa kekal didalam ayam. Walaupun masih ada yang keluar namun tidak sebanyak ayam yang direbus atau di goreng. Oleh itu, air kukusan ayam yang bertakung adalah sangat berharga dan dalam resepi ini, ia dijadikan sos yang sedap.
  5. Apabila menghidangkan ayam kukus begini, lebih baik jika ayam dipotong dahulu kemudian barulah dicurahkan sosnya. Ini membolehkan sos ayam sebati bersama isi ayam terutamanya ayam bahagian dada.
  6. Sedikit pernambahbaikan boleh menghasilkan hidangan yang unik dan menyelerakan untuk perniagaan anda. Gunakanlah sos atau herba yang wangi dalam masakan ini seperti serai, sos ikan, kicap dan sebagainya. Untuk resepi ini, saya hanya menggunakan minyak bijan dan sos tiram yang serasi dengan madu.