"Ayam goreng kunyit pun nak cerita ke? Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam, gorengkan je la." Itu resepi masakan kampung. Memang kegemaran saya sewaktu kanak-kanak kerana pada masa itu tepung campuran ayam goreng segera masih belum wujud lagi. Bukan ayam goreng kunyit itu yang saya nak ceritakan tetapi resepi ayam goreng kunyit yang popular di restoran dan gerai-gerai masakan Thai. Dimana ada tomyam, pasti ada ayam goreng kunyit ini. Hidang ini menjadi pilihan saya kali ini kerana ia mudah disediakan dan tidak memerlukan masa yang lama. Selepas penat-penat balik kerja, hidangan inilah yang paling sesuai. Lagi cepat masak, lebih cepat saya boleh berehat.

Bahan-bahan untuk Ayam Goreng Kunyit
300g isi ayam
1 cmt serbuk kunyit
1 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
1 biji lada merah
1 cmt sos ikan
1 cmt tepung jagung
1/2 cmt garam
4 batang kacang panjang atau 1/2 batang carrot
1 cwn minyak masak

Cara memasak Ayam Goreng Kunyit
  1. Isi ayam didadu atau dipotong kecil saiz gigitan.
  2. Perap isi ayam bersama-sama sos ikan, serbuk kunyit, garam dan tepung jagung.
  3. Potong kacang panjang sepanjang 1 inci. Carrot dipotong lebih kurang saiz kacang panjang juga. Bawang besar dihiris tebal-tebal. lada merah dihiris memanjang dan tebal.
  4. Panaskan 1 cawan minyak. Ketuk bawang putih dan tumis sebentar sahaja.
  5. Masukkan ayam yang telah diperap. Kacau goreng dengan api yang besar selama 10 -15 saat sehingga ayam garing.
  6. Kecilkan api, masukkan bawang besar, lada merah dan kacang panjang. Kacau gaul lagi selama 3 saat.
  7. Tuskan minyak menggunakan penapis besi. Sedia untuk dihidangkan.

Tip Masakan Komersial

  1. Saya menggunakan ayam yang dipotong kecil bersama tulangnya sekali. Bila menggunakan ayam seperti ini, ayam perlu dimasak lebih lama. Harus dipastikan darah ayam pada tulang betul-betul kering untuk menentukan ayam telah masak. Agak sukar mendapatkan ayam yang garing kecuali anda menggunakan dapur bertekanan tinggi.
  2. Tujuan menggoreng ayam menggunakan api yang besar adalah supaya ayam goreng yang terhasil garing diluar tetapi lembut dan berjus didalam. Tanpa api yang besar, isi ayam akan menjadi keras dan kering apabila masak terutama isi ayam bahagian dada.
  3. Jika menggunakan carrot, ia perlu dimasak lebih lama kerana carrot lebih lambat empuk. Jika anda suka sayuran yang segar, anda boleh masukkan bersama-sama bawang besar seperti cara diatas. Jika anda inginkan carrot yang lebih lembut, saya cadangkan anda keluarkan dahulu isi ayam yang siap digoreng supaya ia tidak terlebih masak.