Saya amat  gemar berbuka puasa dengan nasi. Ada orang yang suka berbuka dengan kuih-muih dahulu. Selepas solat maghrib barulah nak menjamah nasi. Tapi bagi saya, lepas berpuasa seharian, nasi amat diperlukan. Disini satu lagi menu berbuka puasa yang sesuai dicuba. Khusus untuk orang yang gemar berbuka puasa dengan nasi macam saya.

Ayam goreng halia ini sebenarnya hidangan cina tetapi banyak di jual di restoran makanan thai setelah disesuaikan dengan citarasa thai.Saya lebih menggemari ayam goreng halia original masakan cina. Kita boleh mengenalpasti perbezaannya melalui rasanya yang sangat berbeza. Masakan cina biasanya mengandungi minyak bijan, kicap, sos tiram, tepung jagung, sos hoisin dan rempahnya sering menggunakan serbuk five spice. Rempah five spice adalah campuran bunga lawang, jintan hitam, cengkih, kulit kayu manis, dan lada sulah.


Bahan-bahan untuk Ayam Goreng Halia.
1/2 kg Isi Ayam
100g Halia Muda
2 bj Putih Telur,
2 cmb Tepung Jagung
2 ulas Bawang Putih
2 cmb Cuka
2 cmb Gula
2 cmb Sos Tomato
1/2 cwn Minyak untuk menggoreng
Garam dan Lada Sulah
Sayur-sayuran pelbagai warna


Cara Membuat Ayam Goreng Halia
  1. Isi ayam dihiris nipis dan diperap dengan garam dan lada sulah lebih kurang setengah jam.
  2. Campurkan telur dan tepung jagung dalam perapan ayam. Gaulkan sehingga mendapat salutan yang baik. Kalau terlalu kering, campurkan sedikit air.
  3. Panaskan minyak masak dengan api besar. Gorengkan ayam dengan pantas sehingga garing.
  4. Kecilkan api. Ketepikan ayam ditepi kuali dan keluarkan minyak masak.
  5. Ketuk bawang putih dan tumiskan sehingga wangi.
  6. Halia di hiris halus dan tumiskan bersama bawang putih.
  7. Gaulkan bersama semuanya termasuk ayam dan sayur-sayuran.
  8. Masukkan cuka, gula, sos tomato dan garam. Kacau sebati.
  9. Angkat, hias dengan lada merah dan hijau yang dipotong julienne terus dihidangkan panas-panas bersama nasi.


Tip Masakan Komersial

  1. Bukan hanya masakan cina malah semua bangsa amat mementingkan makanan seimbang. Jadi jangan lupa masukkan sayur-sayuran. Antara sayur-sayuran yang paling sesuai adalah lada bengala, daun bawang, leek, jagung muda, kacang sepat, bunga kobis, carrot dan lain-lain. Dapat masukkan 1 jenis sayur pun jadi la. Bila dah masukkan, jangan lupa makan. Sayur menjadikan hidangan lebih lazat. Bila dah masukkan sayur, jangan dimasak terlalu lama.
  2. Ayam dimasak dengan api besar agar jusnya kekal dan ayamnya tidak kering. Tepung jagung yang menyaluti ayam juga membantu mengurangkan jus dari keluar lebih banyak. Ayam yang digoreng sehingga jusnya kering menyebabkan rasanya hambar dan kosong terutama bahagian dada.
  3. Masakan cina memang la tidak pedas. Kalau nak yang pedas, boleh cuba versi Thai. Pecahkan je dua tiga biji cili api. Perapan ayam juga boleh dicampur dengan sos ikan dan sos tomato diganti dengn sos cili.
  4. Saya sengaja tak mencampurkan dengan sos tiram dan kicap untuk mendapatkan warna yang merah. Tentu bosan setiap kali masakan cina, mesti warna hitam. Kalau nak letak, boleh juga.