Kadang-kadang bila berpeluang bertemu kaum keluarga, memang teringin sangat makan bersama, semeja dan bermesra-mesraan. Jadi takkan nak makan biasa-biasa je. Tak kisah la jika terpaksa berbelanja lebih sikit. Bagaimanapun, untuk ayam panggang atau ayam golek ni saya cuba berjimat sehabis mungkin. Hiasan-hiasan semua tolak tepi. Dan akhir sekali gunakan apa sahaja yang ada didapur. Maka jadilah ayam golek perisa kari untuk kami makan bersama. Yang penting keseronokan meratah ayam tanpa dipotong bersama-sama dapat dicapai. Kalau buat ayam panggang untuk pengantin, itu dah cerita lain.


Bahan-bahan untuk Ayam Golek Perasa Kari.
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
5 tangkai Cili Kering
5 cmb Rempah Kari
3 cmb Minyak Masak
1 btg Serai
1 cmt Garam
2 cmb Gula
2 cmb Jus Limau


Cara membuat Ayam Golek Perasa Kari

  1. Cili kering dibuang bijinya dan direndam. Bawang besar, bawang putih, halia dan serai dikupaskan atau dibersihkan dan dipotong kasar untuk memudahkan dikisar.
  2. Kisar semua bahan tadi sehingga halus dengan sedikit air sehingga menjadi pes.
  3. Gaulkan rempah kari bersama pes yang dikisar tadi dan biarkan sebentar.
  4. Panaskan minyak masak, dan tumiskan pes tadi sehingga wangi.
  5. Perasakan dengan garam, gula dan asam.
  6. Tutup api dan biarkan sejuk sedikit. Sementara itu, bersihkan ayam dan tuskan.
  7. Lumurkan ayam dengan perencah ayam panggang perisa kari tadi rata-rata. Pastikan bahagian dalam ayam juga dilumurkan.
  8. Perapkan ayam bersama bahan-bahan tadi. Lebih lama lebih baik.
  9. Panaskan ketuhar dengan suhu 200˚C. Letakkan ayam didalam dulang pembakar dan bakar selama 1 ½ jam (untuk ayam seberat 2-2 ½ kg). Jika menggunakan oven dengan fungsi turbo, kena tutup sikit permukaan ayamnya supaya kulitnya tidak hangus.
  10. Jika ada bahan perapan lagi, boleh disapukan dari semasa ke semasa. Lemak ayam yang keluar juga boleh disapu semula pada ayam agar ayam tidak kering.
  11. Hidangkan panas-panas bersama nasi.

 


Tip Masakan Berguna.

  1. Anda boleh mengelar bahagian-bahagian ayam yang tebal supaya perasa dapat meresap dengan lebih baik dan ayam masak lebih cepat tetapi rupa ayam menjadi tidak begitu menarik.
  2. Jika anda melihat ayam golek saya ni, ayamnya bulat-bulat macam bola. Inilah kelebihannya jika ayam diurut sebelum dimasak. Ayam menjadi lebih lembut dan tidak kecut. Hasilnya, ayam akan kekal bentuk dan saiznya. Oleh kerana nak cepat, saya bakar kedua-dua ayam tu sekaligus dalam satu dulang menyebab bentuknya tidak simetri. Nak ikat rasa malas pula.
  3. Dalam sesuatu majlis, kita perlu mengatur masa dengan baik terutama untuk hidangan yang mengambil masa yang lama untuk masak seperti ayam golek perasa kari ini. Hidangan seperti ini perlu dihidangkan panas-panas jadi sebaik sahaja majlis jamuan dimulai, pada ketika itulah oven berbunyi menandakan hidangan telah masak. Pengaturan masa setepat ini pasti memenuhi selera pelanggan. Untuk hidangan dalam kuantiti besar, anda perlukan oven yang lebih besar atau lebih dari satu oven.
  4. Menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk hidangan ini juga menghasilkan hidangan yang tak kurang hebatnya. Bagaimanapun anda perlu menggunakan ketuhar gelombang mikro convenction. Atau pendek kata jika ketuhar gelombang mikro anda berharga kurang dari RM500, ia adalah tidak sesuai. Untuk membakar dalam ketuhar gelombang mikro, anda hanya perlu setkan pada fungsi memanggang selama 1 jam.