Seringkali kita dihidangkan dengan masakan yang kurang berkhasiat, kaya dengan kolesterol dan lemak tepu terutamanya hidangan Melayu. Hidangan seperti rendang ayam kampung contohnya banyak menggunakan santan kemudian ada yang menambah kerisik. Tak cukup dengan itu, gunakan pula minyak sapi sekaligus menjadikan hidangan melayu antara hidangan yang kurang baik untuk kesihatan. Bagaimanapun, rasa hidangan melayu yang lazat menyukarkan kita menolak hidangan seperti ini. Ada satu kaedah yang saya gemari untuk mendapatkan rasa lemak seperti  masakan Melayu tanpa menggunakan santan, susu, yogurt, atau kerisik yang lemak ini. Malah, rempah pun tak perlu digunakan kecuali herba-herba biasa yang wangi seperti serai dan daun limau purut. Hanya rasanya sahaja yang lemak berempah. Bagaimana caranya? Mari kaji resepi Ayam Citarasa Berempah.

Nak tahu tip pemakanan yang lebih baik untuk hidup lebih sihat dengan tabiat pemakanan yang betul, klik disini.


Bahan-bahan untuk Ayam Citarasa Berempah
1 kg Ayam
2 btg Serai
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
15 tangkai Cili Kering
5 bj Buah Keras
1/2L Air
2 cmt Garam
5 cmb Gula Pasir
½ cwn Minyak Masak


Cara membuat Ayam Citarasa Berempah
  1. Kisar bawang besar, bawang putih, cili kering, dan buah keras. Ayam dipotong dan dibersihkan. Serai diketuk.
  2. Panaskan minyak masak, tumiskan serai dan bahan kisar sehingga wangi dan garing.
  3. Masukkan ayam, gaul dan masak sehingga ayam mengecut sedikit lebih kurang 15 minit.
  4. Masukkan air, garam dan gula secukup rasa.
  5. Tutup api apabila kuah menjadi cukup pekat dan hidangkan.


Tip Masakan Komersial
  1. Pada mulanya saya pun tak menyangka akan mendapat rasa masakan yang lemak dan berempah kerana tidak menggunakan rempah atau santan. Bagaimanapun, anda boleh menambahkan kiub pati ayam atau belacan atau kedua-duanya untuk rasa yang lebih kuat.
  2. Saya dapati, buah keras menyebabkan rasa lemak pada masakan ini. Kaedah ini saya rasa lebih menyihatkan malah lebih murah. Lepas ini, cuba gantikan masakan bersantan seperti rendang, kari dan sebagainya dengan buah keras. Kalau jenis masak lemak saya tak pasti lagi kerana warna buah yang tak sama dengan warna santan.
  3. Cuba juga gunakan herba-herba wangi yang lain seperti daun limau purut, kesum, bunga kantan dan sebagainya. Pasti rasanya sedikit berbeza.
  4. Harga buah keras tak de la mahal sangat, lebih kurang harga rempah yang lain je. Anggaran lebih kurang seposen je sebiji. Harga ini jauh lebih murah dari kelapa atau santan. Buah keras juga tahan lama. Boleh beli sekaligus banyak terutama untuk yang berniaga. Sekarang ni buah keras dijual tanpa kulitnya. Lebih senang la kerja kita.