Sekali-sekala kena juga buat masakan yang leceh sikit. Nak kata leceh sangat tu tak de la sebab boleh beli je rempah beriani  merah kat kedai mamak. Tak pernah dengar pasal beriani merah? Rempah beriani merah pun tak pernah jumpa? Mari saya tunjukkan Resepi Ayam Beriani Merah dengan membuat sendiri rempah beriani. Khas untuk sesiapa yang tak pernah jumpa resepi beriani merah di pasaran. Mana la tau suatu hari nanti anda boleh jadi pengeluar rempah beriani merah.

7 hari terakhir untuk Diskaun Ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat


Bahan-bahan untuk Ayam Beriani Merah
2 ekor Ayam
1 cmb Serbuk Ketumbar
½ cmb Serbuk Jintan Putih
1 ½ cmb Serbuk Jintan Manis
¼ cmt Serbuk Bunga Cengkih
1 cmb Serbuk Kulit Kayu Manis
½ cmt Serbuk Lada Hitam
1 cmt Serbuk Buah Pelaga
2 cmt Serbuk Kunyit
50g Cili Kering
2 helai Daun Bay
3 inci Halia
6 ulas Bawang Putih
2 bj Bawang Besar
3 btg Serai
400 ml Santan Pekat
1 cwn Minyak Masak
Air
Garam dan gula


Cara membuat Ayam Beriani Merah
  1. Ayam dibersihkan dan dipotong. Serai di ketuk.
  2. Kisar halia, bawang putih, bawang besar, cili kering dan daun bay sehingga hancur dengan sedikit air.
  3. Tambahkan semua serbuk rempah bersama bahan kisar mejadi pes. Biarkan 10 minit.
  4. Panaskan minya masak. Dan tumiskan pes rempah bersama daun serai sehingga wangi dan pecah minyak.
  5. Masukkan ayam dan masak sehingga ayam menjadi putih. Masukkan air jika perlu.
  6. Tambahkan santan dan perasakan dengan garam dan gula.
  7. Masak sehingga kering sedikit dan ayam menjadi empuk. Perasakan sekali lagi jika perlu.
  8. Hidangkan panas-panas. Paling sesuai bersama nasi minyak atau nasi beriani.


Tip Masakan Komersial

  1. Saya menggunakan serbuk untuk semua jenis rempah kerana agak sukar mengisar rempah-rempah ini sehingga halus. Rempah seperti kulit kayu manis terlalu keras manakala buah pelaga pula terlalu berserat. Kalau anda tiada rempah dalam bentuk serbuk, boleh kisarkan semuanya kemudian diayak untuk memastikan semuanya halus.
  2. Bahan-bahan untuk rempah kelihatannya sedikit berlebihan kerana agak sukar menulis resepi untuk bahan rempah yang terlalu sedikit. Nak menyukat ¼ cmt serbuk memang tak mudah. Jadi saya cadangkan anda campurkan semua rempah serbuk mengikut nisbah yang betul kemudian gunakan beberapa sudu sahaja untuk jumlah ayam yang sedikit.
  3. Perasakan beriani dengan garam dan gula memang penting. Perlu diketahui, beriani perlu sedikit manis. Jadi lebihkan gula untuk rasa yang betul.
  4. Anda boleh menghasilkan rempah beriani anda sendiri dengan mencampurkan semua rempah tadi. Sebaiknya tambahkan serbuk halia sekali. Anda hanya perlu hiris halia nipis-nipis kemudian jemur sehingga kering dan bolehlah dikisar halus.
  5. Agak ringkas resepi ini jika semua jenis rempah telah disatukan menjadi rempah beriani merah. Jadi, kalau ada rempah penumis lebih, tumiskanlah supaya lebih wangi. Begitu juga dengan aksesori lain seperti badam, kismis dan lain-lain yang sesuai digandingkan seperti beriani yang biasa.