Ini lanjutan dari artikel Kek Yang Popular Seharusnya Mesti Dibuat Sendiri. Dalam artikel tersebut, saya memaparkan gambar Kek Swiss Roll menyebabkan ramai yang bertanyakan mengenai Swiss Roll. Ada juga yang mengatakan kek swiss roll mereka mudah tertanggal kulitnya dan macam-macam lagi. Dalam artikel ini pula, saya akan memaparkan asas kek span dimana apabila anda mengetahui asas ini, anda mampu menghasilkan berbagai jenis kek popular yang lain seperti kek keju, kek lapis pandan dan macam-macam lagi termasuklah kek swiss roll. Apa yang penting anda kretif mempelbagaikan rasanya, menukar creamnya, menukar rupanya dan menghias menepati seperti kek yang anda inginkan. Cubalah resepi dibawah dan hasilkanlah swiss roll coklat, swiss roll marble, swiss roll dan dan sebagainya.



Bahan-bahan untuk Asas Kek Span (Basic Sponge Cake)
100g Tepung Pelbagai Guna
100g Gula Castor
60g Tepung Jagung
1 cmt Baking Powder
6 bj Telur Saiz B
30g Ovalette
75g Minyak Masak
50g Air


Cara membuat Asas Kek Span (Basic Sponge Cake)
  1. Panaskan oven pada suhu 150˚C dan sediakan acuan bulat 9 inci. Alaskan bahagian tapaknya dengan kertas minyak dan lenserkan tepinya dengan minyak masak.
  2. Campurkan semua bahan sekaligus kecuali minyak masak didalam mangkuk dan pukul menggunakan mixer dengan kelajuan tinggi.
  3. Apabila adunan menjadi gebu, putih dan pekat, masukkan minyak masak dan gaul sebati menggunakan kaedah kaup balik menggunakan spatula.
  4. Tuangkan adunan kedalam acuan dan bakar selama 45 minit dengan turbo fan. Uji dengan lidi dengan mencucuk bahagian tengahnya untuk memastikan ia masak sepenuhnya.
  5. Biarkan sejuk sebelum dihias dan dihidang.


Tip Masakan Komersial
  1. Kek span biasanya diadun sekaligus termasuk tepung. Oleh itu, sebaiknya menggunakan tepung rendah protin seperti tepung kek, tepung pau atau tepung pelbagai guna. Saya dah tentu gunakan tepung gandum yang paling murah. Bagaimanapun jika menggunakan tepung kek, hasilnya lebih baik. Jika menggunakan tepung pau, keknya lebih putih.
  2. Untuk mendapatkan adunan kek yang gebu dan putih, anda perlu menggunakan mixer yang berkuasa. Bagaimanapun untuk permulaan, gunakan kelajuan sederhana sehingga semua bahan bersatu kemudian barulah dinaikkan kelajuannya kepada yang paling tinggi. 
  3. Membuat kek seperti ini memang sedikit cerewet. Terkurang pukul, kek tak gebu, terlebih pukul pula, kek akan turun selepas masak. Tapi ini hanya masalah kecil. Jika cukup masak, tidak akan mendatangkan masalah. Gunakan pemotong kek untuk meratakan permukaannya.
  4. Kek span paling sesuai dibuat untu ketinggian diantara 1 hingga 2 inci. Jika ingin membuat kek yang lebih tinggi, lebih baik membuat beberapa lapisan berasingan. Kek yang terlalu tinggi menyebabkan kek sukar masak bahagian dalamnya sedangkan bahagian permukaan atas dan bawahnya sudah terlalu masak. 
  5. Untuk swiss roll, tuangkan adunan kedalam  loyang 4 segi dengan keseluruhan bawah dan tepinya dilapisi kertas minyak. Tak perlu dilenserkan minyak lagi. Trim bahagian tepinya yang keras sebelum disapukan cream dan digulung. Ia perlu digulung sewaktu kek masih suam agar kek mudah digulung sewaktu lembut tetapi tak cukup panas untuk mencairkan cream.
  6. Ovalette berfungsi sebagai penstabil kek tetapi jika terlalu banyak digunakan, kek akan menjadi terlalu lembut yang menyebabkan teksturnya berderai. 
  7. Tepung jagung boleh dikurangkan jika tak suka rasanya yang kesat tetapi hasilnya tidak sehalus dalam resepi diatas.
  8. Kini sudah terdapat tepung segera kek span yang dinamakan sponge mix atau tepung optima. Tepung ini mempunyai berbagai jenis bergantung kepada kualiti dan harganya. Campuran bahannya lebih kurang sama cuma ia mengandungi sedikit bahan kimia yang memberikan rasa dan mencantikkan rupanya. Hanya perlu tambahkan air, telur, minyak dan ovalette sahaja. Bagaimanapun tepung segera tidak sesuai untuk kek yang lebih tinggi dari 1 inci.