Terlalu banyak versi bubur lambuk di negara kita. Setiap negeri ada sahaja resepi mereka sendiri. Ada yang cair, ada yang pekat, yang keras, yang manis, masin atau pedas semuanya menggunakan konsep memasak haba lembab yang sama iaitu merebus. Tak kisah la bagaimana rasa dan rupa bubur lambuk ditempat anda atau mungkin namanya juga berbeza, yang penting saya harap anda dapat belajar sesuatu yang baru dari entri ini. Saya rasa semua orang tahu apa itu merebus. Kaedah ini tidak perlukan banyak perhatian. Masukkan sahaja semuanya didalam air mendidih dan tinggalkan sahaja. Ia memerlukan masa yang lama untuk melembutkan gentian daging, selulosa sayuran dan buah-buahan. Dibawah ini ada resepi bubur lambuk yang sangat ringkas untuk mendalami kaedah merebus dengan lebih berkesan.

Bahan-bahan untuk Resepi Asas Bubur Lambuk
200g Beras
2.5L Air
½ cawan Isi Ayam dipotong kecil
½ cwn Daging Lembu dipotong kecil
½ cwn Isi Udang didadu
½ cwn Santan Pekat (1/2 bj Kelapa)
2 ulas Bawang Putih
1 inci Kulit Kayu Manis
1 kuntum Bunga Lawang
3 kuntum Bunga Cengkih
5 keping Halia dihiris nipis
1 cmt Lada Sulah
1 cmt Garam
Daun sup dan bawang goreng

Cara membuat Asas Bubur Lambuk
  1. Cuci beras bersih-bersih dan masukkan dalam periuk nasi elektrik.
  2. Masukkan air dan hidupkan suis periuk.
  3. Masukkan semua rempah, bawang putih dan daging. Tutup periuk dan biarkan mendidih sehingga nasi lembut. Ini mengambil masa lebih kurang 1 jam. Tambah air jika perlu.
  4. Setelah nasi lembut, keluarkan semua rempah dan masukkan ayam dan udang. Renihkan lagi lebih kurang 10 minit.
  5. Akhir sekali masukkan santan pekat dan perisakan dengan garam dan lada sulah.
  6. Setelah mendidih, tutup suis. Hidangkan dan hiaskan dengan hirisan daun bawang dan bawang goreng.

Tip Masakan Komersial
  1. Porridge, atau bubur berperisa seperti ini kelihatannya sama sahaja. Apa yang membezakannya hanya rasa yang berpunca dari bahan yang digunakan. Cubalah jangan terlalu mencampur adukkan rasanya dengan menambah segala jenis bahan. Kalau boleh asingkan bubur dengan makanan laut, bubur dengan aneka bijirin dan kekacang atau bubur dengan buah-buahan.
  2. Daging memang perlu dimasak dengan lama agar ia lembut dan kolagen daging berubah menjadi gentian yang larut dan mudah dicernakan. Jus daging yang larut dalam air juga menyedapkan masakan.
  3. Bahan makanan laut seperti udang, sotong, karangan laut dan sebagainya memang tidak sesuai dimasak lama kerana ia akan mengecut. Adalah lebih elok jika bahan ini tidak dipotong dan dimasak sebentar sahaja. Keluarkan setelah makanan laut ini masak. Sewaktu menghidang barulah bahan ini dipotong dan dihias diatas bubur. Kaedah ini lebih baik dan dapat menggambarkan dengan jelas jenis bubur yang dimakan oleh pelanggan.
  4. Sentiasa sediakan perasa sampingan untuk bubur ini seperti lada jeruk, cili goreng, sos-sos dan sebagainya untuk selarikan dengan selera pelanggan. Pelanggan akan lebih berpuas hati kerana setiap individu mempunyai selera yang berbeza.