Coconut shake sangat popular di Melaka khususnya di Pantai Klebang juga di Batu Berendam. Hingga kini dah melambak gerai yang menjual coconut shake di Malaysia. Umumnya, coconut shake adalah air kelapa muda sejukbeku yang dikisar sehingga halus. Kerana permintaan yang tinggi, kaedah penyediaan coconut shake perlu lebih mudah dan cepat disediakan. Bahan yang digunakan juga berbagai-bagai untuk menghasilkan rasa coconut shake yang unik dan berbeza sekaligus memberi tarikan kepada pelanggan dengan pelbagai citarasa.


Tapi sebelum itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar saya yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2013. Dah lebih setengah bulan keputusan peperiksaan SPM diumumkan, baru sekarang saya sempat ceritakan. Tahniah juga kepada guru-guru yang menaikkan nama kolej sehingga menjadi nombor 1 dalam berbagai peringkat sehingga ke peringkat kebangsaan. Boleh baca laporannya dalam artikel Keputusan Peperiksaan SPM 2013 Kolej Vokasional (ERT) Azizah, Johor Bahru.


Bahan-bahan untuk Coconut Shake
1 bj Kelapa Muda
2 cmb Susu Pekat Manis / Santan Pekat
1 cwn Ketulan Ais Kecil
Sirap Gula jika perlu


Cara membuat Coconut Shake
  1. Dapatkan air kelapa muda dan isi kelapa muda.
  2. Masukkan susu pekat manis atau santan pekat dan kisar halus menggunakan blender. Masukkan ke dalam jag.
  3. Sukat ais dengan memenuhkan gelas dengan ketulan ais.
  4. Sukat air pula dengan menuangkan kisaran air kelapa kedalam gelas sehingga penuh.
  5. Masukkan seluruh isi gelas kedalam blender dan kisar halus lagi.
  6. Tuangkan semula kedalam gelas dan hidangkan bersama ais krim diatasnya jika suka.

Tip Masakan Komersial
  1. Berbagai jenis kelapa yang ada di Malaysia. Jenis yang paling banyak dijual sebagai kelapa muda dan mudah dicari adalah dari jenis kelapa pandan atau kelapa mawar. Kelapa pandan lebih sedap, manis dan wangi tetapi harganya seringgit lebih mahal dari kelapa mawar. Malah saiznya lebih kecil.
  2. Kelapa muda yang sesuai adalah kelapa yang tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua dimana isinya telah penuh setebal 2 - 3 mm dan masih lembut. Namun begitu, tidak mungkin anda mendapatkan semua kelapa yang sempurna jika anda berniaga coconut shake. Pasti ada yang terlalu tua atau ada yang terlalu muda. Untuk mengelakkan pembaziran dan menjimatkan kos, seelok-eloknya, anda asingkan isi kelapa dan airnya terlebih dahulu lebih kurang 5 atau 6 biji dalam satu bancuhan. Gunakan isi kelapa secukupnya sahaja dan isi kelapa yang lebih bolehlah dibungkus dalam plastik dan disejukbekukan. Mungkin dilain kali, anda mendapat isi kelapa yang sangat sedikit, bolehlah gunakan isi kelapa yang disejukbekukan tadi. Begitulah seterusnya sehingga anda sentiada mempunyai simpanan isi kelapa untuk berniaga.
  3. Dalam memberi rasa dalam coconut shake, pilihan yang paling popular adalah susu dan santan. Bagi saya, santan lebih sedap kerana rasa susu yang kuat mengurangkan rasa air kelapa. Bagaimanapun, santan sukar dijaga dan mudah basi. Ada juga yang menambahkan aiskrim dalam coconut shake dan bukan hanya diletakkan diatas sahaja. Aiskrim yang paling sesuai adalah perisa vanila. Anda boleh cuba perisa yang lain untuk memberikan rasa yang berbeza dalam coconut shake anda.
  4. Anda perlu gunakan ketulan ais yang kecil supaya lebih mudah dikisar. Bukan itu sahaja, ia juga membantu anda menyukat ais yang betul didalam gelas. Jika ketulan ais yang besar digunakan, kemungkinan terkurang atau terlebih ais akan berlaku untuk setiap cawan jualan. Jika ini berlaku, kemungkinan coconut shake anda terlalu cair kerana air lebih banyak dari ais ketika dikisar. Ketulan besar juga memerlukan anda mengisar lebih lama. Lebih lama mengisar, lebih banyak ais akan cair.