Dalam cuaca panas begini, mulalah kepala otak asyik teringatkan aiskrim. Dari dulu hingga sekarang, resepi aiskrim selalu menjadi isu yang selalu ditanya kepada saya. Mereka inginkan resepi aiskrim yang halus, dan gebu macam yang dijual di restoran makanan segera. Buat aiskrim sendiri banyak kelebihannya. Bukan sahaja boleh berjimat. Kita boleh menentukan aiskrim seperti mana yang kita inginkan. Inginkan aiskrim yang kurang lemak, kurang manis atau dengan perisa yang tak dapat saya jangkakan. Anak saya pula perlukan aiskrim yang tidak mengandungi protin lembu serta rendah laktosa. Jadi tiada masalah bagi saya. Resepi dibawah ini pula adalah resepi aiskrim vanilla yang halus berkrim yang asal untuk panduan anda semua. Inginkan mengikut citarasa anda sendiri, anda ubahsuailah sesuka hati. Jika perlu pendapat saya, isikan kotak komen disqus dibawah ni. 




Bahan-bahan untuk Resepi Aiskrim Vanilla Halus Berkrim
2 bj Kuning Telur
50g Gula Castor
150ml Air panas mendidih
2 cmb Susu Tepung Penuh Krim
150ml Non-Dairy Whipping Cream
1 cmt Esen Vanilla



Cara membuat Aiskrim Vanilla Halus Berkrim
  1. Dengan menggunakan whisk, gaulkan kuning telur dengan gula castor hingga sebati.
  2. Dalam bekas lain, campurkan susu tepung dan air panas mendidih untuk membuat air susu.
  3. Campurkan air susu kedalam adunan kuning telur perlahan-lahan sambil dikacau dengan whisk.
  4. Apabila telah sebati, panaskan larutan tadi secara double boiler sambil dikacau perlahan-lahan untuk membuat kastard.
  5. Kastard akan menjadi pekat sedikit berbanding tadi setelah dipanaskan lebih kurang 10 -15 minit.
  6. Keluarkan dari double boiler dan biarkan sejuk. Boleh juga direndam dalam air sejuk berais supaya ia lebih cepat sejuk. 
  7. Apabila telah sejuk lebih kurang suhu bilik, masukkan whipping cream dan esen vanilla. Kacau rata menggunakan whisk. Tapislah kalau perlu untuk mendapatkan tekstur aiskrim yang halus.
  8. Masukkan dalam peti ais sejuk beku sehingga ia menjadi separuh beku sekurang-kurangnya 2 jam. 4 jam lebih baik.
  9. Apabila sudah separuh beku, pukul aiskrim tadi menggunakan mixer sehingga ia menjadi gebu. Jika aiskrim terlalu beku, pecah-pecahkan dulu dengan garfu sebelum di pukul.
  10. Biasanya, setelah dipukul, aiskrim akan mengembang 2 kali ganda. Akhir sekali, masukkan dalam bekas bertutup dan masukkan semula dalam peti ais sejuk beku untuk aiskrim beku sepenuhnya.
  11. Aiskrim vanilla berkrim boleh dihidangkan mengikut selera anda.



Tip Masakan Komersial
  1. Resepi aiskrim diatas dibuat menggunakan teknik kastard. Ada banyak lagi teknik membuat aiskrim yang lebih murah dan senang tetapi teknik kastard adalah teknik membuat aiskrim yang asli dan tradisional. Sekarang banyak aiskrim yang dibuat secara all in one yang lebih senang tetapi mereka perlu menggunakan beberapa bahan kimia untuk mendapat tekstur seperti kastard. Aiskrim colek pula menggunakan tepung jagung sebagai kastard.
  2. Saya saja je gunakan gula castor supaya ia lebih mudah larut. Anda boleh gunakan apa-apa bahan pemanis yang anda suka. Untuk kesihatan, gunakan gula tanpa atau rendah kalori.
  3. Saya menggunakan susu tepung dan air panas untuk menghasilkan larutan setara susu segar. Anda boleh menggunakan susu segar kalau anda suka tetapi saya menunjukkan begini supaya anda dapat tentukan sendiri bahan apa yang baik untuk anda. Anda boleh menggunakan creamer seperti coffeemate, susu sejat atau creamer sejat asalkan anda dapat membancuh 150ml dengan konsistensi setara dengan susu segar. Susu kambing lebih sesuai untuk anak saya.
  4. Sekarang Malaysia ada mengeluarkan vanilla segar sendiri. Menggunakan vanilla segar lebih baik. Jika anda menggunakan vanilla ini, anda boleh masukkan vanilla pod yang dipecahkan kedalam susu atau kastard yang sedang dipanaskan. Kemudian, tapislah seperti biasa.
  5. Anda boleh uji kepekatan kastard anda dengan menyapu belakang sudu atau senduk kayu kedalam kastard. Dengan cara ini anda dapat melihat kastard yang menyelaputi sudu tadi dan mengetahui kepekatannya.
  6. Jika anda mempunyai ice cream maker, anda boleh terus masukkan kedalam ice cream maker setelah step yang ke 7. Aiskrim boleh dimakan dalam masa setengah jam. Kalau ada mesin aiskrim lagi syok. Dalam setengah jam, paipkan je dalam kon. Meleleh air liur saya. Rasa macam nak tumpang mesin aiskrim kat McD atau peniaga pasar malam.
  7. Aiskrim vanilla sesuai dihidangkan berbagai cara. Paling popular adalah dengan ditambah coklat cair diikuti taburan kacang atau coklat chip. Boleh juga menambahkan jem untuk memberi perisa buah-buahan atau tambahkan terus buah-buahan yang didadu kecil.
  8. Sekarang ni popular dengan frozen yogurt. Anda boleh gunakan kaedah yang sama untuk frozen yogurt. Gunakan yogurt untuk menggantikan air susu. Nak buat yogurt sendiri juga tak ada masalah. Setiap 250ml air susu, masukkan 1 cmb yogurt. Kacau dan simpan dalam dalam peti ais semalaman sebelum boleh digunakan.