Sebelum ni saya ada post entri resepi aiskrim coklat iaitu contoh resepi aiskrim yang mudah yang menggunakan susu sebagai bahannya. Sekarang mari kita belek resepi aiskrim mangga yang tidak menggunakan susu. Resepi ini lebih murah kerana tidak menggunakan susu, telur dan whipping cream. Anda pernah membeli aiskrim yang tidak menggunakan susu di kedai? Sekali-sekala cuba anda biarkan aiskrim tersebut cair didalam gelas. Kemudian lihat dan rasa tekstur aiskrim tu. pasti ada sesuatu yang akan anda pelajari.

Dalam hidangan barat ni, memang nama makanan mereka pelik-pelik. Kita boleh lihat contohnya pada pasta. Kalau pasta yang halus dan panjang dipanggil Spagetti. Kalau yang lebar pulak dipanggil Fettuchini. Kalau yang lebar lagi di panggil Lasagna. padahal semuanya benda yang sama. Yang berbeza cuma bentuknya sahaja. Begitu juga dengan aiskrim. Aiskrim yang dibuat dari sirap gula dan puri buah-buahan dipanggil Sherbert. Bila dihiaskan dalam gelas atau bekas yang menarik pula dipanggil Sundae. Tu belum termasuk lagi jenis-jenis Sundae yang ada. Kalau bahasa melayu semuanya dipanggil aiskrim. Buat sakit kepala je.

Resepi Aiskrim Mangga | Mango Sherbert
200g gula pasir
200g air
400g isi mangga
1 cmb jus mangga/oren Sunquik
1/2 cmt gelatin

Cara membuat Aiskrim Mangga | Mango Sherbert
  1. Campurkan gula, air dan gelatin dan biarkan setengah jam untuk gelatin kembang.
  2. Masak campuran tadi sehingga semua gula larut sepenuhnya dan biarkan suam.
  3. Kisar isi mangga dan jus sehingga halus. Kalau perlu, tapis supaya kita mendapat puri mangga yang halus.
  4. Campurkan sirap gula tadi bersama puri mangga dan kisar lagi hingga sebati.
  5. Masukkan dalam bekas dan simpan dalam peti dingin beku sehingga separuh beku. (lebih kurang 2 jam)
  6. Setelah separuh beku, keluarkan dan kisar sekali lagi dalam pengisar atau pemproses makanan.
  7. Tuang semula dalam bekas tadi dan bekukan semula dalam peti dingin beku.
  8. Kalau perlu, ulangi langkah 6 dan 7 sehingga anda berpuas hati dengan teksturnya.
  9. Scoop aiskrim, hiaskan dan segera dihidangkan

Tips Masakan Berguna

  1. Kalau anda ada ice cream maker, selepas langkah 4, masukkan sahaja ke dalam ice cream maker. Lebih cepat lebih senang.
  2. Jika anda perlu campurkan sedikit air untuk memudahkan mengisar isi mangga. Tetapi pastikan anda menggunakan air yang telah dimasak dan disejukkan kerana air yang telah dimasak akan memberikan tekstur yang lebih cantik.
  3. Aiskrim yang dijual di kedai-kedai biasanya mempunyai tangkai untuk aiskrim jenis ini. Selepas langkah 4, masukkan terus kedalam acuan aiskrim sebelum dibekukan. Tak perlu kisar lagi.
  4. Anda boleh mencuba aiskrim dengan perisa buah-buahan lain yang sesuai untuk jenis aiskrim tanpa susu seperti, lemon, limau, oren, pear, tembikai, strawberi, nenas dan sebagainya