Bila tengok iklan aiskrim goreng nestle di televisyen setiap hari, air liur meleleh laju. Sebelum tu saya merasa aiskrim nestle di pasaraya berdekatan. Syok jugak makan aiskrim yang sejuk berkrim dan rangup kulitnya. Macam biasa, saya akan buat sendiri apa yang saya suka makan. Kebetulan, aiskrim dalam peti ais saya dah berbulan tak berusik. Nak makan pun terpaksa sembunyi-sembunyi, takut anak nampak. Kali ni merasa la dia makan kerana dia model blog Resepi Masakan Barat Komersial. Kesian pulak tengok dia. Apa la maknanya jadi budak-budak kalau aiskrim pun tak boleh nak makan.



Bahan-bahan untuk Aiskrim Goreng
3 scoop Aiskrim sebarang perisa
6 kpg Roti Sandwich
500ml Minyak Masak untuk menggoreng.
Sedikit putih telur sebagai pelekat.




Cara membuat Aiskrim Goreng
  1. Gunakan acuan bulat seperti benjo untuk memotong roti menjadi bentuk bulat.
  2. Leperkan roti yang telah dibentuk menggunakan penorak atau rolling pin.
  3. Sapukan putih telur dibahagian tepi roti yang akan di lekatkan bersama pasangannya.
  4. Letakkan 1 scoop aiskrim dan katupkan dengan satu lagi kepingan roti. Picit bahagian tepi roti dibahagian yang disapukan telur putih untuk memastikan ia betul-betul lekat tanpa bocor.
  5. Sejukkan dalam peti ais sejukbeku sehingga betul-betul keras.
  6. Panaskan minyak masak dengan sehingga hampir berasap.
  7. Keluarkan aiskrim tadi dari peti ais dan terus gorengkan dua atau tiga saat setiap permukaan.
  8. Angkat dan terus hidangkan.



Tip Masakan Komersial
  1. Saya menggunakan aiskrim nestle untuk aiskrim goreng ni. Anda boleh menggunakan mana-mana jenama aiskrim asalkan aiskrim tersebut lambat sedikit cairnya. Biasanya aiskrim yang menggunakan tepung jagung lebih tahan. 
  2. Roti sandwich juga perlu pemilihan yang betul. Gunakan roti yang lembut yang akan padat apabila dileperkan. Ini untuk mengelakkan minyak meresap dalam roti sewaktu digoreng. 
  3. Telur putih hanya digunakan untuk melekatkan dua keping roti sahaja. Boleh juga melekatkan menggunakan air tapi untuk keselamatan, lebih baik gunakan telur putih. Bila guna air, kemungkinan ia bocor sangat tinggi.
  4. Apabila menggunakan aiskrim, adalah lebih baik dilakukan di tempat yang bersuhu rendah atau diruang yang ber aircond. Rumah saya tak ada aircond jadi terpaksa la buat satu-satu sebelah peti ais. Siap sapu telur putih barulah keluarkan aiskrim dari peti ais. Saya buat sekeping-sekeping, buka tutup peti ais sampailah siap. Walaupun untuk makan sendiri, kualiti kena jaga jugak.
  5. Aiskrim goreng nestle diisi penuh dan padat didalam roti. Jadi kalau boleh isikan sepenuh yang mungkin. Bentukkan dahulu aiskrim menjadi bentuk cakera untuk memudahkan kerja. Jangan sampai bocor. Kalau aiskrim meleleh dan bocor sewaktu dilekatkan, memang tak boleh diselamatkan lagi. Gunakan roti yang lain.
  6. Menggoreng aiskrim sangat mudah. Hanya perlu pastikan minyak cukup panas 230˚C – 250˚C. Roti sangat mudah hangus. Kalau minyak terlalu panas, askrim goreng akan hangus sekelip mata. Kalau minyak kurang panas pula, aiskrim akan cair. Goreng sesaat dua dah cukup. Apabila nampak kulitnya keperangan, teruslah diangkat.
  7. Aiskrim goreng perlu dimakan segera sebaik sahaja digoreng. Nak tuskan minyakpun rasanya macam tak sempat. Dari kuali terus ke piring terus lari untuk dihidangkan pada suami. Kalau boleh gorengkan satu persatu.
  8. Lama dahulu, aiskrim goreng ni popular di pasar malam. Sekarang, usahawan pasar malam lebih suka berjualan produk yang senang dijaga, untung besar. Kalau boleh, mereka nak produk yang dah siap sepenuhnya. Cuma perlu buka paket dan goreng sekejap di gerai. Habis berniaga, boleh balik terus tidur. Tak perlu fikir nak beli bahan, nak proses bahan, nak masak dan sebagainya. Lepas tu bising bila ada usahawan lain yang jual produk yang sama, jenama yang sama tapi kualiti perkhidmatan yang lebih baik dari kita.