Kita akan nampak perbezaan jelas dari segi harga untuk aiskrim dalam bekas yang berada dipasaran. Yang pertama, harganya sangat mahal melampaui RM20 malah ada yang lebih RM30 walaupun kuantitinya sedikit sahaja. Jenis yang kedua berharga disekitar belasan ringgit sahaja manakala jenis yang ketiga, paling murah diantara RM5 hingga RM10. Untuk perbandingan ini, kita perlu melakukan sedikit pengiraan untuk memastikan isipadu aiskrim yang kita bandingkan adalah sama.


Mengapa harga aiskrim ini jauh berbeza? Nanti saya ceritakan dalam tip  masakan komersial diakhir artikel ini. Sekarang ni lebih baik kita kaji dulu resepi Aiskrim yang lembut, gebu, halus dan sedap dibawah ini. Resepi aiskrim ini walaupun menggunakan bahan-bahan yang murah tetapi mempunyai rasa yang setanding dengan aiskrim yang terdapat di pasaran. Bukan itu sahaja, satu resepi dibawah kita boleh dapat lebih 3 liter aiskrim iaitu diantara 50 hingga 70 scoop. Berniaga aiskrim atau produk yang menggunakan aiskrim seperti coconut shake, float, waffle dan sebagainya akan lebih menguntungkan. Kalau tak suka aiskrim dari bahan-bahan murah ni, boleh cuba Resepi Aiskrim Vanilla Halus Berkrim atau Resepi Aiskrim Coklat Berkrim



Bahan-bahan untuk Aiskrim Colek Lembut, Halus, Gebu dan Sedap.
80g Susu Pekat Manis 
40 g Susu tepung
500g Air
150 – 200g Gula Pasir
20g Tepung Jagung larutkan bersama 50g Air
1g Garam
25g 1 cmb Ovalette
Perasa atau pewarna mengikut kesukaan



Cara membuat Aiskrim Colek Lembut, Halus, Gebu dan Sedap
  1. Masukkan semua bahan kecuali larutan tepung jagung dan ovalette kedalam periuk. 
  2. Panaskan diatas api sederhana sambil dikacau perlahan hingga semua bahan larut sepenuhnya.
  3. Apabila larutan mendidih dan mula membuak, masukkan larutan tepung jagung sambil dikacau dengan pantas hingga larutan menjadi pekat.
  4. Kecilkan api dan tunggu ia mendidih semula. Setelah mendidih, tutup api dan biarkan sejuk diatas dapur.
  5. Setelah sejuk, masukkan larutan tadi kedalam sebuah bekas dan sejukbekukan semalaman.
  6. Apabila telah beku, keluarkan dari peti ais dan pecahkan menjadi ketulan kecil.
  7. Masukkan dalam mixer dan pukul pada kelajuan sederhana hingga ais menjadi ketulan halus.
  8. Masukkan ovalette kemudian pukul dengan kelajuan paling tinggi sehingga menjadi halus, gebu dan kembang lebih kurang 5 kali ganda.
  9. Perisakan dan warnakan mengikut kegemaran anda. Masukkan dalam bekas dan sejukbekukan sepenuhnya sebelum dihidang.



Tip Masakan Komersial
  1. Resepi diatas tidak menggunakan sebarang agen penaik, tiada cream, whipping cream atau telur yang boleh menjadikan ia kembang dan gebu tetapi itulah hakikatnya. Jika anda tak cuba, anda tak akan percaya resepi ini menghasilkan aiskrim yang gebu, halus dan sedap. Bahan-bahannya juga murah dengan modal sekitar dua hingga tiga ringgit sahaja. Bahan yang paling mahal hanyalah susu tepung sahaja itupun hanya 40g. Boleh kebas sikit susu formula anak.
  2. Kuantiti bahan sepenuhnya bergantung kepada anda. Kurangkan atau lebihkan ikut suka tidak akan mempengaruhi hasil. Anda boleh rasa tahap kemanisan ketika mendidihkan larutan. Bagaimanapun perlu diingat, setelah ia dipukul menjadi creamy, kita akan dapati rasa manisnya berkurangan. Nak tahu kenapa, anda kena tanya pakar lidah.
  3. Harga aiskrim sepenuhnya bergantung kepada kos bahan yang digunakan. Yang pertama bahan asasnya seperti yang saya gunakan dalam resepi diatas. Jika menggunakan susu segar, tentu lebih tinggi harganya. Saya menggunakan gabungan susu pekat manis dan susu tepung sahaja kerana ia lebih mudah diperolehi dan saya dapat menentukan berapa lemak aiskrim saya nanti. Cubalah gunakan susu yang terkenal dengan kesedapannya untuk aiskrim yang sedap.
  4. Yang kedua adalah bagaimana cara kita memperisakan aiskrim kita. Bahan inilah yang paling mahal. Kalau setakat menggunakan perisa dan pewarna sahaja mana syok. Paling selekeh pun mesti ada serbuk koko dan chocolate chip atau rice. Lepas tu nak juga kekacang, biskut2, nougat dan sebagainya. Inilah diantara bahan yang mahal yang terdapat pada aiskrim mahal. Coklat dan koko bukan sebarang. Mesti nak coklat terbaik Belgium. Begitu juga dengan kekacang. Hazelnut, pistachio dan sebagainya bukan murah. Lepas tu nak pulak di masukkan biskut hancur seperti oreo dan sebagainya barulah Rocky Road!
  5. Seperti yang saya nyatakan tadi, anda boleh perisakan aiskrim colek ni bagaimana cara sekalipun yang anda mahu. Anda boleh hanya dengan menggunakan esen vanilla sahaja. Atau serbuk koko. Semua perisa dan perwarna sesuai dimasukkan setelah aiskrim cukup gebu selepas dipukul. Cara ini lebih baik kerana anda boleh membancuh banyak sekaligus kemudian barulah di bahagikan kepada beberapa bahagian untuk diperisakan. 
  6. Jika anda ingin mencampurkan kekacang, pastikan kekacang telah dibakar dan masak sepenuhnya. Lebih baik jika kacang disalut gula terlebih dahulu seperti croquant supaya ia kekal rangup untuk jangkamasa yang lebih lama. Jika ingin masukkan biskut, pilih biskut yang keras dan padat.
  7. Saya cadangkan anda gunakan buah-buahan segar yang didadu kecil sebagai perasa asli aiskrim ini. Buah buah ini akan kekal segar kerana ia sentiasa disejukbekukan. Pilihlah buah apa pun seperti beri, pisang, nenas, oren, epal dan sebagainya. 
  8. Anda boleh sesuaikan kepekatan aiskrim ini untuk jenis-jenis aiskrim yang lain. Jika anda menggunakan mangkuk kertas atau bekas plastik, resepi diatas cukup sempurna. Jika anda ingin menggunakan kayu aiskrim, anda memerlukan aiskrim yang kurang gebu supaya ia melekat kuat pada tangkainya. Caranya mudah sahaja, kurangkan penggunaan tepung jagung dan kedua, jangan pukul terlalu lama. Anda boleh praktikkan salah satu cara atau kedua-duanya bergantung kepada bagaimana aiskrim yang anda inginkan.
  9. Saya memukul aiskrim ini menggunakan mixer murah saya sahaja. Dengan kelajuan paling tinggi ia memerlukan 15 minit untuk kembang sepenuhnya. Jadi kalau anda inginkan yang padat, separuh masa daripada itu sudah mencukupi.