Saya memang jarang membuat aiskrim kerana dirumah saya tiada penggemar aiskrim. Cuma sekali-sekala bila ada kawan-kawan atau saudara mara datang baru la terasa nak buat. Itupun kalau saya tahu mereka penggemar aiskrim. Kalau saya buat juga, memang tak akan ada yang makan. Membazir je. Aiskrim coklat dalam peti ais dirumah saya pun rasanya dah melebihi 2 tahun saya simpan. Rasanya dah lama expired. Saja je nak buat pekasam.

Kalau dah jarang buat tu, maknanya kurang la kemahiran. Walaubagaimanapun dibawah ini ada resepi aiskrim coklat yang saya gunakan setiap kali teringin nak buat. Teringin nak buat je bukan teringin nak makan. Anda boleh cuba dan kajilah agar resepi ini lebih menjimatkan, mudah disediakan dan bolehlah berkongsi bersama saya dalam ruang komen dibawah. Nak letak gambar pun boleh sebab ruang komen blog saya memang boleh berkongsi gambar sekali. Bagi yang dapat entri ini melalui email, kena la klik tajuk entri ini dulu untuk komen di blog saya. Tak perlu la reply email tu kerana saya mahu setiap yang kita bincangkan dikongsikan bersama pengunjung-pengunjung yang lain.

Bahan-bahan untuk Aiskrim Coklat
4 bj kuning telur
4 cmb susu tepung
300ml air
2 cmb serbuk koko
150ml krim putar
100 gula kastor

Cara membuat Aiskrim Coklat
  1. Panaskan air sehingga mendidih.
  2. Masukkan susu tepung dan serbuk koko. kacau sehingga semuanya larut sempurna. Tutup api dan biarkan suam.
  3. Didalam periuk yang lain, pukul kuning telur dan gula sehingga kembang.
  4. Tuangkan larutan koko suam tadi sambil dipukul perlahan-lahan.
  5. Panaskan adunan perlahan-lahan sambil dikacau. Pastikan adunan tidak mendidih.
  6. Setelah adunan menjadi lebih pekat, sekadar menyalut belakang senduk, tutup api.
  7. Tapis dan sejukkan adunan sehingga ke suhu bilik.
  8. Campurkan krim putar kedalam adunan. Kacau rata.
  9. Masukkan kedalam bekas dan bekukan didalam peti ais.
  10. Setelah separuh beku (kira-kira 2 jam) keluarkan. Putarkan dengan kelajuan tinggi untuk memecahkan kristal ais.
  11. Tuang semula kedalam bekas dan bekukan semula.
  12. Ulangi langkah 10 dan 11 jika masih belum berpuashati dengan tekstur aiskrim.
  13. Hidangkan dalam mangkuk dan dihias dengan wafer, buah-buahan, coklat cair, coklat rice dan sebagainya.

Tip Masakan Komersial

  1. Bahan-bahan diatas amat mudah diubahsuai. Anda boleh menambah dan mengurangkan kuantiti gula mengikut tahap kemanisan yang anda hendak. Begitu juga jika anda inginkan rasa yang lebih bercoklat dan lebih lemak. Ubahsuai je kuantiti serbuk koko dan susu. Tiada apa yg menakutkan.
  2. Susu tepung boleh diganti dengan susu cair jika susu cair lebih murah ditempat anda. Gunakan susu cair 300ml menggantikan susu tepung dan air.
  3. Aiskrim colek menggunakan bahan yang lebih murah. Bahan seperti telur dan whipping cream yang mahal boleh digantikan dengan tepung jagung untuk aiskrim bersusu dan gelatin untuk aiskrim tanpa susu. Anda cuba buat eksperimen sendiri dan tolong kongsikan dalam komen dibawah.
  4. Cuba juga menggunakan buah-buahan. Kenal pasti buah-buahan yang sesuai digandingkan dengan susu dan yang mana tidak sesuai.