Sebenarnya saya memang sangat beruntung. Setelah stress bekerja di bandar, berdiri seharian kepanasan di dapur, saya perlu melegakan segala ketegangan. Ramai yang berkata pulang kekampung berehat dan bertemu sanak saudara akan melegakan ketegangan. Melegakan badan yang sengal-sengal dengan duduk berbual mesra diserambi rumah dan pasti akan lupa segala masalah kerja di bandar. Dan saya lebih beruntung. Saya bukan sahaja dapat pulang kekampung sewaktu cuti, berjumpa kaum keluarga, sanak saudara malah saya dapat berehat di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas kerana ia sangat berhampiran dengan rumah saya di kampung. Malah lebih dekat dari Hutan Lipur Taka Melur yang saya pernah ceritakan suatu ketika dahulu. Dan yang paling saya suka, tempat ini tidak sesak dengan pengunjung.

Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis hanya terletak kira-kira 3 kilometer dari rumah saya, 14 kilometer dari pekan Labis. Pusat Rekreasi ini terletak dalam sebuah pekan yang kecil dikenali sebagai Pekan Air Panas sempena sumber air panas yang ditemui sewaktu penerokaannya pada 1801. Pekan ini dibuka secara rasminya pada hari Khamis 3 Disember 1806.

Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis mempunyai 4 kolam utama dengan berbagai kedalaman dan dikelilingi oleh tasik buatan. Pelbagai kemudahan infrastruktur juga disediakan seperti, surau, tandas, taman permainan kanak-kanak, tempat meletak kenderaan dan sebagainya. Sewaktu saya mengunjunginya pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu, telah terdapat tapak senaman lengkap dengan pelbagai peralatan senaman dan Taman Semut yang dipenuhi pelbagai replika berbagai semut, labah-labah dan serangga-serangga yang lain.

Tak dapat diceritakan kelegaan yang saya dapat sebaik sahaja berendam dalam kolam air panas. Pada mulanya rasa perit seluruh badan seperti direbus tapi lama kelamaan, apabila dah biasa, saya berasa sangat selesa. Peluh akan memercik keluar seperti berada di spa. Kalau di Taka Melur saya dapat fish spa, tetapi di sini saya menikmati sauna pula.

Selain itu, air dari kolam ini dipercayai dapat mengubati pelbagai penyakit kulit seperti panau, kurap, kudis buta, dan sebagainya. Merendamkan diri didalam air panas boleh menghilangkan lenguh-lenguh badan. Air kolam ini juga kaya dengan mineral dengan suhu yang dikawal sekitar 42C. Air di kolam utama sentiasa mendidih dan kita akan dapat melihat gelembung-gelembung udara yang keluar sepanjang masa.

Hilang semua masalah, lega seluruh badan, lupa semua yang berkaitan ebook masakan barat, terbakar semua kalori yang disebabkan terlalu banyak makan sewaktu hari raya. Gambar-gambar diatas adalah gambar yang sempat saya rakamkan namun masih banyak tempat menarik yang tak dapat saya snap. Pada mulanya nak ambil lepas berendam kemudian setelah berendam, rasa dah tak larat pulak. Lepas ni baru la seronok memulakan kerja-kerja memasak yang saya minati.