Kalau boleh memang nak makan sayur kampung selalu tapi bila berada dibandar ni, sayur kampung sedikit sukar dicari. Hargapun lebih tinggi dari sayur biasa seperti sawi, kangkung dan bayam.
Jika di kampung, saya cuma ambil pucuk ubi bahagian hujungnya yang kuncup sahaja. Barulah lembut dan sedap. Dibandar, daun yang keras dan kasar ni pun dijual juga. Jadi cara memasaknya juga perlu diubah. Kalau untuk dimakan bersama keluarga, mungkin kita boleh berbelanja lebih untuk menggunakan betul-betul pucuknya sahaja. Jika untuk berniaga, kos perlu dijaga. Apa yang dibeli, perlu digunakan sebaik mungkin. Barulah mendapat keuntungan maksimum.


Bahan-bahan untuk Pucuk Ubi Masak Lemak Putih bersama Keledek
200g Pucuk Ubi Kayu tanpa batang dan tangkai
½ bi Bawang Besar
1 ulas Bawang Putih
5 ekor Ikan Bilis
1 bj Cili Merah
100ml Santan Pekat
100g Keledek Putih
300ml Air
Garam secukup rasa


Cara membuat Pucuk Ubi Masak Lemak Putih bersama Keledek
  1. Masak air yang banyak sehingga mendidih. Masukkan pucuk ubi dan rebus sehingga lembut.
  2. Tuskan pucuk ubi. Perah untuk mengeluarkan air dan potong kepada saiz yang sesuai.
  3. Keledek dibuang kulit, didadu besar dan direbus sehingga empuk, Tuskan.
  4. Bawang besar dan bawang putih yang dihiris nipis. Ikan bilis dibelah kecil dan cili merah dihiris serong.
  5. Masukkan semua bahan kedalam periuk dan masak sehingga mendidih
  6. Hidangkan bersama nasi untuk makan tengah hari atau malam.


Tip Masakan Komersial
  1. Masakan kampung sering mendapat sambutan di hotel-hotel terkemuka. Para pelancong mungkin mengaguminya tetapi bagi pelanggan yang biasa menikmatinya akan merasa sedikit kecewa. Manakan tidak, pucuk ubi dan sampai tahap daun ubi. Keras dan kejung. Ada juga pucuk paku yang dipotong bersama batangnya yang liat berserat. Memang tak boleh nak kunyah. Jika daun direbus dahulu, tentu ia lebih lembut dan sedap.
  2. Kaedah merebus pucuk ubi terlebih dahulu sesuai untuk pucuk ubi yang lebih tua. Setelah direbus ia menjadi lebih lembut. Pucuk ubi juga diperah supaya rasa pahitnya dapat dikurangkan. Jika anda menggunakan bahagian pucuk yang lembut, tak perlu la gunakan kaedah ini. Kaedah ini hanya sesuai untuk usahawan yang merasakan pucuk ubi sukar didapati dan perlu menggunakan setiap bahagian yang dibeli sebaik mungkin.
  3. Ubi keledek juga direbus terlebih dahulu untuk memudahkan kerja. Kaedah ini tak memerlukan pemerhatian. Rebus dan tinggalkan. Setengahjan kemudian baru tengok. Kaedah biasa, memerlukan pemerhatian lebih kerana dikhuatiri pucuk ubi akan terlebih masak sehingga memudarkan warnanya. Faktor timing yang biasanya menjadi masalah kebanyakkan chef yang sibuk, tidak akan timbul lagi.
  4. Lemak putih memang sangat sesuai untuk sayuran kampung. Sayur yang paling saya gemari seperti pucuk manis, turi, pucuk labu, meranti dan sebagainya. Keledek pula sebagai tambahan untuk sumber karbohidrat.