Kadang-kadang saya berasa sangat risau dengan masa depan awak semua. Saya tak nampak ke arah mana awak akan pergi setelah awak tamat belajar di sini. Adakah betul keputusan awak untuk belajar di sini atau awak dipaksa oleh ibubapa awak. Mungkin juga awak tiada pilihan ditempat lain sehingga terpaksa belajar disini.

Saya sentiasa memerhatikan awak dan menilai keupayaan awak semua. Dalam peperiksaan awak seperti tidak pernah menjejakkan kaki ke dapur. Takkan sampai sekarang awak masih tak tahu memasak nasi. Dah banyak hidangan yang awak sediakan bersama saya. Segala jenis hidangan, dari timur ke barat semuanya awak dah pernah masak. Masakan melayu, cina, india, thailand semuanya awak dah pelajari. Hidangan perayaan, perkahwinan semuanya awak dan cuba. Bila dalam peperiksaan, awak mati kutu. Semua yang dibuat tak menjadi. Betul ke awak minat memasak?

Saya sentiasa berusaha untuk awak semua. Cuba perhatikan gambar-gambar ini. Banyak yang saya telah belanjakan untuk awak. Saya gunakan wang saya sendiri untuk memberikan kefahaman kepada awak. Saya beli pinggan yang cantik agar hidangan awak menarik. Saya belikan bunga-bungaan untuk menghiasi meja makan awak. Saya beli perhiasan untuk menjelaskan lagi tema masakan awak. Saya belanjakan beberapa ratus ringgit untuk awak supaya awak lebih tekun, lebih minat pelajari bidang yang telah awak pilih. Terima kasih kepada kawan-kawan awak yang sudi meminjamkan hiasan-hiasan mereka untuk digunakan bersama-sama. Kawan-kawan awak inilah yang benar-benar ingin belajar yang memiliki ciri-ciri individu yang berjaya dalam bidang ini. Dan kepada awak, jangan pula awak rosakkan segala-gala yang dipinjamkan kepada awak. Jambangan bunga jangan pula awak cerai-ceraikan. Perhiasan meja jangan pula awak hilangkan. Pinggan mangkuk jangan pula awak pecahkan.

Ramai yang ketawa bila saya katakan, awak perlu memasak dengan penuh kasih sayang. Awak guna bahan yang paling mahalpun belum tentu masakan akan sedap. Awak guna resepi paling hebat pun belum tentu akan menjadi. Tolong ikhlaskan diri awak. Pejamkan mata sebentar dan fikirkan untuk apa awak belajar dan untuk siapa awak belajar. Saya sebagai guru awak sentiasa mendoakan kejayaan awak.