Setiap kali pelajar-pelajar saya belajar memasak, saya akan memberikan bahan-bahan yang diperlukan, resepi dan kaedah memasak yang sama. Mereka akan mendapat segalanya dalam kuantiti yang sama setiap seorang tetapi hasil yang diperolehi tak pernah sama. Ada yang berwarna gelap, ada yang cerah, ada yang sangat menyelerakan dan ada juga yang termasuk dalam kategori tidak boleh dimakan.

Mengapa hasil mereka terlalu berbeza sedangkan saya memberikan segala-galanya sama setiap seorang. Saya juga memantau masakan mereka, tempoh masakan, bahan perasa dan hampir segala-galanya tetapi tetap ada perbezaan. Setelah bertahun-tahun dalam bidang ini, kini saya membuat kesimpulan, hasil masakan pelajar-pelajar saya bukan sahaja bergantung kepada bahan-bahan dan kaedah yang mereka gunakan tetapi juga bergantung secara tidak langsung kepada sikap, perangai dan apa yang terdapat dalam hati pelajar-pelajar itu sendiri.

Tentu anda pernah mendengar mengenai "air tangan ibu". Tidak mungkin dapat kita lupakan nikmatnya air tangan ibu. Setahu saya, ibu saya menyediakan nasi goreng hanya menggunakan nasi, lada, bawang putih, bawang merah, ikan bilis, minyak dan garam sahaja tetapi rasa nasi goreng itu masih terbayang-bayang di ingatan. Dia tidak pernah menggunakan sos cili, tomato, tiram atau sos ikan. Juga tidak menggunakan stok ayam, pati ayam, perencah atau apa sahaja produk-produk yang banyak dijual di pasaran sekarang ni. Mungkin sedikit belacan sekali sekala untuk kelainan. Bagaimana ibu masak boleh menjadi begitu sedap? Mungkin anda akan mengetahuinya setelah anda menjadi ibu.

Tip saya, sebelum anda mula memasak, cuba ikhlaskan hati. Niatkan segala yang anda buat hanya kerana Allah untuk keluarga anda dan mulakan dengan Bismillah. Insya Allah, akan teralirlah tenaga kedalam masakan anda menjadikan masakan anda lebih sedap, lebih berkat dan lebih berkhasiat. Insya Allah juga, hidangan itu tidak akan mendatangkan mudarat kepada anda dan keluarga anda. Konsep ini adalah konsep yang sama digunakan dalam tip-tip menuntut ilmu, tip-tip memperolehi ketenangan atau tip-tip kejayaan dimana antara lain sebelum tidur anda dikehendaki merenung semula apa yang telah anda perbuat sepanjang hari dan memaafkan kesalahan orang lain. Mengenai konsep aliran tenaga pula telah banyak digunakan didalam produk-produk komersial sekarang seperti air minuman botol, penapis air, air cond, ionizer, peti sejuk dan yang paling popular minuman kesihatan penyembuh pelbagai penyakit. Akhir sekali saya harap anda dapat memperolehi keberkatan dalam apa sahaja yang anda lakukan untuk kebaikan anda semua.