Aktiviti hari keluarga diteruskan untuk hari ketiga. Pagi-pagi lagi sudah dimulai dengan qiamulail seawal jam 4 pagi. Aktiviti awal pagi begini sudah tentu kurang  mendapat sambutan. Masing-masing lena dibuai mimpi.

Menu sarapan hari ini, mi hoon goreng dan ubi rebus dengan sambal tumis. Tak terkira nikmatnya makan ubi rebus. Terasa macam duduk di kampung. Memang dah lama saya tak makan ubi rebus ni. Balik kampung pun belum tentu dapat makan ubi kerana biasanya terlalu banyak makanan menyebabkan malas nak cabut ubi. Kalau di bandar memang saya tak pernah beli. Tak sampai hati nak beli.

Setelah itu kami semua berkumpul di dewan untuk penyampaian hadiah sukan dan cabutan bertuah. Tapi sebelum itu kami mengadakan bual bicara ala forum perdana dan bercerita mengenai Hj Omar Mardhan sambil mengenang kisah-kisah silam.

Pukul 10 pagi, ada lagi makanan dihidangkan. Memang boleh bertambah berat badan kalau tinggal lama-lama kat sini. Nasib baik cuma 3 hari sahaja. Sungguh lazat kuih bom dan karipap yang dihidangkan. Pandai sungguh orang yang membuatnya. Kalau boleh, ingin rasanya berguru dengan dia.

Majlis penyampaian hadiah diteruskan. Hampir semua yang hadir dapat hadiah bezanya cuma besar, kecil, mahal atau murah je. Bayi pun dapat hadiah juga. Yang paling penting, kami semua gembira pada hari itu.

Sebelum pulang, seperti biasa kami semua bersalam-salaman. Bertukar-tukar maklumat seperti alamat dan nombor telefon. Keluarga yang bakal menerima menantu sibuk mengedarkan kad jemputan. Warga tua sibuk menjemput cucu cicit piut berkunjung dan bermalam  di rumah mereka. Mungkin belum berkurang rindu dihati mereka. Mungkin juga mereka ingin lebih mengenali keturunan mereka yang baru kali pertama bertemu muka. Kami pulang setelah menjamu selera makan tengah hari asam ikan pari dan beberapa jenis sayur. Entah bila dapat bertemu lagi. Jika bertemu lagi, adakah mereka masih mengingati. Hanya ada gambar sebagai kenangan. Tak sabar rasanya menunggu perjumpaan hari keluarga Hj Omar Mardhan kali ke-3, insya Allah 2 tahun lagi.